ماجوريتي م.ک.ت. امنو ستوجو کلوار کراجاءن سبلوم 1 اوݢوس

ماجوريتي مجليس کرجا ترتيڠݢي امنو تله برستوجو اونتوق مناريق سمولا سوکوڠن ترهادڤ کراجاءن ڤرايکتن ناسيونل (ڤ.ن.) سبلوم 1 اوݢوس.

ممتيق لاڤورن فري مليسيا تودي⹁ سأورڠ اهلي مجليس کرجا ترتيڠݢي امنو برکات بهاوا مريک دڤڠݢيل ڤريسيدن ڤرتي⹁ احمد زاهد حميدي سچارا برڤريڠکت باݢي منداتکن ڤرستوجوان.

“کڤوتوسن (اونتوق مناريق سوکوڠن) اين توروت اکن مڽکت ڤرنچڠن کومڤولن (منتري لوار نݢري) هيشم الدين حسين ⹁ يڠ ماهوکن امنو اونتوق ککل ددالم ڤ.ن. اونتوق بلياو دلنتيق سباݢاي تيمبلن ڤردان منتري⹁” کات اهلي ترسبوت يڠ اڠݢن ناماڽ ددده.

بريتا ترسبوت تيبا کورڠ سجم سلڤس اهلي ڤرليمن ڤادڠ رڠس⹁ نصري عزيز⹁ يڠ مڠاکوءي ديري ممولاکن ڤيتيشن ممبلاکڠي هيشم الدين سباݢاي واکيل باريسن ناسيونل کأݢوڠ⹁ ملاکوکن تيندقن ڤوسيڠن يو دان مڽاتاکن سوکوڠن ترهادڤ محي الدين سرتا کراجاءن ڤ.ن.

اهلي م.ک.ت. ترسبوت مڠاتاکن بهاوا هاڽ ببراڤ اهلي م.ک.ت. سهال يڠ بلوم دڤڠݢيل کڤيمڤينن امنو⹁ تراوتاماڽ منتري٢ کراجاءن.

“امنو ڤرلو ممبوات کڤوتوسن سݢرا کران سيتواسي نݢارا سماکين تروق. اڤاته لاݢي امنو تله منتڤکن جڠک ماس 14 هاري. تيمڤوه ترسبوت همڤير تامت.”

سبلوم اوسها ترسبوت دتنداتاڠني ستياڤ اهلي م.ک.ت.⹁ کاتاڽ⹁ زاهد تله منجلسکن کواجرن کڤيمڤينن دالم کڤوتوسن ايت⹁ دان مڽبوت اڤ يڠ برلاکو کتيک مڠادڤ دولي يڠ مها موليا يڠ دڤرتوان اݢوڠ بولن لڤس.

اهلي م.ک.ت. ترسبوت توروت مڽاتاکن بهاوا ڤريسيدن ڤرتي تيدق ڤرلو ڤرستوجوان سموا اهلي ڤرليمن امنو⹁ کران مريک ترايکت ڤد کڤوتوسن م.ک.ت.

بلياو مڠاولڠي بهاوا مشوارت اݢوڠ تاهونن امنو ڤد بولن مچ لالو تله ممبري مندت کڤد زاهد اونتوق ممبينچڠ دڠن م.ک.ت. دالم مميليه تاريخ يڠ سسواي اونتوق مناريق سمولا سوکوڠن ايت.

“امنو تيدق ماهو تروس ترايکت دڠن کݢاݢلن ڤردان منتري کلاڤن دان کراجاءن ڤ.ن. دالم مڠاوروس نݢارا.

“مليسيا کيني سدڠ مڠهادڤي ساتو کريسيس کيقينن ڤد تاهڤ مکسيموم.”

Majoriti MKT UMNO Setuju Keluar Kerajaan Sebelum 1 Ogos

Baca versi Jawi di sini.

Majoriti Majlis Kerja Tertinggi UMNO telah bersetuju untuk menarik semula sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum 1 Ogos.

Memetik laporan Free Malaysia Today, seorang Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata bahawa mereka dipanggil presiden parti, Ahmad Zahid Hamidi secara berperingkat bagi mendapatkan persetujuan.

“Keputusan (untuk menarik sokongan) ini turut akan menyekat perancangan kumpulan (Menteri Luar Negeri) Hishamuddin Hussein, yang mahukan UMNO untuk kekal di dalam PN untuk beliau dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri,” kata ahli tersebut yang enggan namanya didedah.

Berita tersebut tiba kurang sejam selepas Ahli Parlimen Padang Rengas, Nazri Aziz, yang mengakui diri memulakan petisyen membelakangi Hishamuddin sebagai wakil Barisan Nasional ke Agong, melakukan tindakan U-turn dan menyatakan sokongan terhadap Muhyiddin serta kerajaan PN.

Ahli MKT tersebut mengatakan bahawa hanya beberapa ahli MKT sahaja yang belum dipanggil kepimpinan UMNO, terutamanya menteri-menteri kerajaan.

“UMNO perlu membuat keputusan segera kerana situasi negara semakin teruk. Apatah lagi UMNO telah menetapkan jangka masa 14 hari. Tempoh tersebut hampir tamat.”

Sebelum usaha tersebut ditandatangani setiap Ahli MKT, katanya, Zahid telah menjelaskan kewajaran kepimpinan dalam keputusan itu, dan menyebut apa yang berlaku ketika mengadap Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong bulan lepas.

Ahli MKT tersebut turut menyatakan bahawa presiden parti tidak perlu persetujuan semua MP UMNO, kerana mereka terikat pada keputusan MKT.

Beliau mengulangi bahawa mesyuarat agung tahunan UMNO pada bulan Mac lalu telah memberi mandat kepada Zahid untuk membincang dengan MKT dalam memilih tarikh yang sesuai untuk menarik semula sokongan itu.

“UMNO tidak mahu terus terikat dengan kegagalan Perdana Menteri kelapan dan kerajaan PN dalam mengurus negara.

“Malaysia kini sedang menghadapi satu krisis keyakinan pada tahap maksimum.”

زاهد ڤڠݢيل اهلي ڤرليمن امنو تنداتاڠن سورت تاريق ديري دري ڤريکاتن ناسيونل

امنو ڤوست سدڠ ممڠݢيل اهلي ڤرليمنڽ سچارا برڤريڠکت اونتوق منداڤت ڤراکوان برسام منيڠݢلکن کراجاءن ڤريکتن ناسيونل (ڤ.ن.) سبلوم 1 اوݢوس.

سومبر ڤرتي يڠ لايق دڤرچاياءي ممبريتاهو ڤيهق اخبر⹁ لبيه 10 اهلي ڤرليمن يڠ جوݢ اهلي مجليس ترتيڠݢي امنو دڤڠݢيل منموءي ڤريسيدن ڤرتي⹁ داتوء سري دوکتور فلسفه احمد زاهد حميدي يڠ توروت دحاضيري تيمبالنڽ⹁ داتوء سري اوتام محمد حسن سرتا ستياءوسها اݢوڠ امنو⹁ داتوء سري دوکتور فلسفه احمد مسلن دڤجابت امنو.

“ڤريسيدن دڠن تيمبالن برچادڠ مڠموکاکن ساتو اوصول کڤد اهلي مجليس ترتيڠݢي سوڤايا امنو تاريق سوکوڠن درڤد کراجاءن دالم ماس تردکت.

“السن مريک⹁ سوده سمڤاي ماس امنو ڤرلو کتواءي والاوڤون راماي برڤنداڤت سکارڠ بوکن ماس يڠ سسواي⹁” کاتاڽ کتيک دهوبوڠي.

جلس سومبر لاݢي⹁ تيندوقن ڤوچوق ڤيمڤينن ممڠݢيل ببراڤ اهلي مجليس ترتيڠݢي سچارا برڤريڠکت کران ککاڠن وقتو کيني يڠ تيدق بوليه مڠاداکن سبارڠ مشوارت.

“جادي مريک تله ممڠݢيل ببراڤ م.ت. اونتوق ڽاتاکن ڤرستوجوان. کالاو ستوجو برمعنا مريک ڤرلو تنداتاڠن دڠن چادڠن ايت.

“اد يڠ تيدق برستوجو سبب نق منجاياکن چادڠن مجليس کرجا ترتيڠݢي اين اداله اهلي ڤرليمن. کالاو اهلي ڤرليمن تيدق تاريق سوکوڠن دري کراجاءن ڤىريکتن ناسيونل⹁ برمعنا کڤوتوسن م.ت. ايت تيدق اد کسن⹁” اوجرڽ لاݢي.

سچارا جلس⹁ تيندقن ڤوچوک ڤيمڤينن امنو ايت برتنتڠن دڠن کڽاتاءن ڤڠاره ڤيليه راي امنو⹁ داتوق سري تاج الدين عبد الرحمان يڠ منݢسکن امنو اکن ککل دڠن ڤ.ن. سهيڠݢ اوݢوس اين سوسولن ڤندميک کوۏيد-19 يڠ ماسيه سوکر دبندوڠ.

Zahid Panggil MP UMNO T’tangan Surat Tarik Diri Dari PN

Baca versi Jawi di sini.

UMNO Pusat sedang memanggil ahli parlimennya secara berperingkat untuk mendapat perakuan bersama meninggalkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum 1 Ogos.

Sumber parti yang layak dipercayai memberitahu Utusan Malaysia, lebih 10 ahli ahli parlimen yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO dipanggil menemui Presiden parti, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang turut dihadiri Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan serta Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan di pejabat UMNO.

“Presiden dengan timbalan bercadang mengemukakan satu usul kepada Ahli Majlis Tertinggi supaya UMNO tarik sokongan daripada kerajaan dalam masa terdekat.

“Alasan mereka, sudah sampai masa UMNO perlu ketuai walaupun ramai berpendapat sekarang bukan masa yang sesuai,” katanya ketika dihubungi.

Jelas sumber lagi, tindakan pucuk pimpinan memanggil beberapa ahli majlis tertinggi secara berperingkat kerana kekangan waktu kini yang tidak boleh mengadakan sebarang mesyuarat.

“Jadi mereka telah memanggil beberapa MT untuk nyatakan persetujuan. Kalau setuju bermakna mereka perlu tandatangan dengan cadangan itu.

“Ada yang tidak bersetuju sebab nak menjayakan cadangan Majlis Kerja Tertinggi ini adalah ahli parlimen. Kalau ahli parlimen tidak tarik sokongan dari kerajaan PN, bermakna keputusan MT itu tidak ada kesan,” ujarnya lagi.

Secara jelas, tindakan pucuk pimpinan UMNO itu bertentangan dengan kenyataan Pengarah Pilihan Raya UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang menegaskan UMNO akan kekal dengan PN sehingga Ogos ini susulan pandemik Covid-19 yang masih sukar dibendung. -{Utusan Digital]