ڤردان منتري دماسوقکن کهوسڤيتل

ڤردان منتري⹁ تن سري محي الدين محمد ياسين دماسوقکن کهوسڤيتل ستله مڠعالمي چيريت-بيريت سجق سمالم.

حال ترسبوت دمعلومکن ڤجابت ڤردان منتري دالم ساتو کڽاتاءن ريڠکس ڤاݢي اين.

“ڤجابت ڤردان منتري ايڠين ممعلومکن بهاوا يڠ امت برهورمت ڤردان منتري تله مڠعالمي دياريا سجق سمالم.

“سهوبوڠن ايت⹁ بلياو تله ددفتر ماسوق کسبواه هوسڤيتل دأيبو نݢارا ڤاݢي اين اونتوق منريما راوتن دان ڤمنتاوان⹁” کات کڽاتاءن ترسبوت.

ڤد بولن مي تاهون لالو⹁ تيمبول سڤيکولاسي بهاوا محي الدين منداڤتکن راوتن باره دسيڠاڤورا.

باݢايماناڤون⹁ ڤجابت ڤردان منتري منافيکن ڤرکارا ايت.

ڤد 2018⹁ محي الدين دلاڤور منجالني ڤمبدهن دسيڠاڤورا اونتوق مراوت باره ڤنکرياس.

محي الدين منجلسکن مڠناءي تاهڤ کصيحتنڽ تاهون لالو دڠن مڠاتاکن دي ماسيه بوليه منجالنکن توݢسڽ دڠن باءيق.

“الحمد لله⹁ ستاکت اين ساي ممڤو منجالنکن توݢس دان تق ترݢڠݢو سبب ڤرنه مڠهادڤي مسئله سبݢيتو⹁” کاتاڽ.

PM Dimasukkan ke Hospital

Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Md Yassin dimasukkan ke hospital setelah mengalami cirit-birit sejak semalam.

Hal tersebut dimaklumkan Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan ringkas pagi ini.

“Pejabat Perdana Menteri ingin memaklumkan bahawa YAB Perdana Menteri telah mengalami diarea sejak semalam.

“Sehubungan itu beliau telah didaftar masuk ke sebuah hospital di ibu negara pagi ini untuk menerima rawatan dan pemantauan,” kata kenyataan tersebut.

Pada bulan Mei tahun lalu timbul spekulasi bahawa Mahiaddin mendapatkan rawatan barah di Singapura.

Bagaimanapun, pejabat perdana menteri menafikan perkara itu.

Pada 2018, Mahiaddin dilapor menjalani pembedahan di Singapura untuk merawat barah pankreas.

Mahiaddin menjelaskan mengenai tahap kesihatannya tahun lalu dengan mengatakan dia masih boleh menjalankan tugasnya dengan baik.

“Alhamdulillah, setakat ini saya mampu menjalankan tugas dan tak terganggu sebab pernah menghadapi masalah sebegitu,” katanya.