امنو بري 14 هاري اونتوق کراجاءن ڤڠݢيل سيدڠ ڤرليمن

امنو مڽوکوڠ ڤنوه کدوا-دوا کڽاتاءن ميديا استان نݢارا دان ڤڽيمڤن موهور بسر راج٢ ملايو يڠ منظاهيرکن ڤنديرين سري ڤدوک بݢيندا يڠ دڤرتوان اݢوڠ دان راج٢ ڤمرينته يڠ منيتهکن اݢر ڤرليمن سݢرا برسيدڠ.

ڤريسيدنڽ⹁ داتوء سري دوکتور فلسفه احمد زاهد حميدي برکات⹁ سباݢايمان يڠ تله دڤرسمڤهکن کڤد يڠ دڤرتوان اݢوڠ⹁ امو برڤنديرين ڤرليمن امت مستحق اونتوق دأداکن باݢي سݢرا ممباوا ڤلباݢاي تونتوتن دان هارڤن رعيت يڠ سدڠ کسمڤيتن دالم مندڤني ڤندميک کوۏيد-19 دسمڤيڠ ممستيکن وجود اکاءونتابيليتي دالم اوروسن ڤنتدبيرن کراجاءن.

“جوسترو⹁ تيدق ڤرلوله بردولق-داليق لاݢي ايستيله ‘سچڤت موڠکين’ دان ‘سݢرا’ يڠ دݢوناکن ددالم کدوا-دوا کڽاتاءن ميديا ڤريحال سيدڠ ڤرليمن⹁ يڠ حقيقتڽ منظاهيرکن کسڤاکتن سري ڤدوک بݢيندا يڠ دڤرتوان اݢوڠ دان دولي٢ يڠ مها موليا راج٢ ڤمرينته.

“امنو برڤنديرين تݢس اونتوق مندسق کراجاءن مڠهورماتي تيته يڠ دڤرتوان اݢوڠ دان راج٢ ڤمرينته اݢر ممڠݢيل سيدڠ ڤرليمن دالم تيمڤوه 14 هاري درڤد تريخ کڽاتاءن اين.

“کݢاݢلن کراجاءن ملقساناکن تيته ترسبوت دأڠݢڤ ساتو بنتوق ڤندرهاکاءن دان تيدق مڠهورماتي اينستيتوسي راج٢ ڤمرينته⹁” کاتاڽ دالم کڽاتاءن ميديا⹁ هاري اين.

اوجرڽ لاݢي⹁ سباݢاي سبواه ڤرتي يڠ دأسسکن اتس توجوان ممليهارا دان ممبيلا اينستيتوسي راج٢ ملايو سباݢايمان ترمکتوب دالم فصل 3 ڤرلمباݢاءن امنو⹁ ساتو مشوارت خاص مجليس کرجا ترتيڠݢي اکن دأداکن باݢي ممعتمدکن تيندقن سلانجوتڽ.

Umno Beri 14 Hari Untuk Kerajaan Panggil Sidang Parlimen

UMNO menyokong penuh kedua-dua kenyataan media Istana Negara dan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja yang menzahirkan pendirian Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah yang menitahkan agar Parlimen segera bersidang.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebagaimana yang telah dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, UMNO berpendirian Parlimen amat mustahak untuk diadakan bagi segera membawa pelbagai tuntutan dan harapan rakyat yang sedang kesempitan dalam mendepani Pandemik COVID-19 di samping memastikan wujud akauntabiliti dalam urusan pentadbiran kerajaan.

“Justeru, tidak perlulah berdolak-dalik lagi istilah ‘secepat mungkin’ dan ‘segera’ yang digunakan di dalam kedua-dua kenyataan media perihal Sidang Parlimen, yang hakikatnya menzahirkan kesepakatan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan DYMM Raja-Raja Pemerintah.

“UMNO berpendirian tegas untuk mendesak Kerajaan menghormati titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah agar memanggil Sidang Parlimen dalam tempoh 14 hari daripada tarikh kenyataan ini.

“Kegagalan Kerajaan melaksanakan titah tersebut dianggap satu bentuk penderhakaan dan tidak menghormati Institusi Raja-Raja Pemerintah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Ujarnya lagi, sebagai sebuah parti yang diasaskan atas tujuan memelihara dan membela Institusi Raja-Raja Melayu sebagaimana termaktub dalam Fasal 3 Perlembagaan UMNO, satu Mesyuarat Khas Majlis Kerja Tertinggi akan diadakan bagi memuktamadkan tindakan selanjutnya. –{UMNO Online]