ڤوليس اکن ڤڠݢيل تاکي الدين – ک.د.ن.

منتري دالم نݢري⹁ داتوء سري حمزه زين الدين تيدق منولق ڤيهقڽ اکن ممڠݢيل منتري دجابتن ڤردان منتري (ڤرليمن دان حال احوال اوندڠ٢)⹁ داتوء سري تاکي الدين حسن اونتوق درقم کترڠن.

حمزه برکات⹁ اي برايکوتنکڽاتاءن تاکي الدين يڠ ددعوى درهاک ترهادڤ تيته يڠ دڤرتوان اݢوڠ⹁ السلطان عبد الله رعاية الدين المصطافى بالله شه.

“ساي سوده معلومکن سسياڤا سهاج يڠ ملاکوکن ڤڠهاسوتن يڠ بوليه مڽيبرکن سسواتو کورڠ سنڠڽ اڤابيلا اد لاڤورن يڠ دبوات⹁ ڤوليس اکن سياست کران کادڠ کالا ساي نق کامو (ورتاون) باݢي معلومت لنجوت کڤد ساي⹁ کادڠ٢ کامو سموا چاکڤ تيدق معلومت لنجوت مڽببکناورڠ لاءين يڠ جادي مسئله.

“جادي اڤابيلا اد معلومت لنجوت⹁ کيت اکن سياست اڤ يڠ سبنرڽ دي چاکڤ⹁” کاتاڽ دالم سيدڠ اخبر برکاءيتن ڤرينته کاولن ڤرݢرقن 3.0 دڤجابتڽ هاري اين.

حمزه برکات⹁ ڤيهق برکواس اکن ممستيکن داهولو کندوڠن اوچڤن تاکي الدين سبلوم تيندقن بوليه دأمبيل ترهادڤ بلياو.

“بيارله ڤوليس سياست⹁ سوڤايا کيت بوليه داڤت اڤ يڠ دي چاکڤ. ساي اکن ڤستيکن داهولو (کندوڠن اوچڤن) دان کيت اکن ڤرݢي کڤد يڠ لبيه لنجوت سبب کيت تق بوليه تروس امبيل سيکشن مان سلاݢي کيت تق تاهو.

“کالاو کيت نق تودوه کيت کنا تاهو کسالهن اڤ يڠ دلاکوکن بارو اد سيکشن (ڤرتودوهن)⹁” کاتاڽ.

حمزه برکات دميکين مڠاولس مڠناءي لاڤورن ڤوليس ڤمودا ڤاکتن هارڤن (ڤ.ھ.) يڠ دبوات ترهادڤ تاکي الدين. مڠاولس لنجوت⹁ حمزه برکات⹁ سياستن ڤوليس تيدق اکن مڠيرا درجت سساورڠ ايت.

“سسياڤا سهاج يڠ اد لاڤورن ڤوليس ترهادڤڽ کيت اکن بوات سياستن⹁ کيت تيدق اد درجت مڠناءي باب ايت⹁” کاتاڽ لاݢي.

سمالم⹁ کتوا ڤمودا ڤ.ھ. شزني منير محمد اثنين برکات⹁ کڽاتاءن تاکي الدين ترهادڤ تيته اݢوڠ اداله تيندقن درهاک.

ڤد رابو لالو⹁ تاکي الدين برکات⹁ اݢوڠ تيفق مڽبوت ماس ترتنتو اونتوق سيدڠ ڤرليمن دبوک سݢرا دان تريخ يڠ دڽاتاکن ڤردان منتري⹁ تن سري محي الدين محمد ياسين اونتوق توجوان يڠ سام جوݢ سوده همڤير.

سبلوم اين اݢوڠ برڤندڠن سيدڠ ڤرليمن ڤرلو دأداکن سچڤت موڠکين اونتوق ممبحثکن اوردينن٢ ضرورة دان ڤلن ڤموليهن نݢارا.

نݢري سمبيلن موهون ڤرکنن اݢوڠ اداکن سيدڠ دون

کراجاءن نݢري سمبيلن اکن مموهون ڤرکنن يڠ دڤرتوان اݢوڠ السلطان عبد الله رعاية الدين المصطافى بالله شه ملالوءي يڠ دڤرتوان بسر نݢري سمبيلن توانکو محرز المرحوم توانکو منور اونتوق ديوان اوندڠن نݢري (دون) کمبالي برسيدڠ.

منتري بسر داتوء سري امين الدين هارون برکات ڤربينچڠن تله دأداکن برسام سڤيکر دون داتوء ذو الکفل محمد عمر باݢي مرنچڠ ڤلقساناءن ڤرسيدڠن دون نݢري اين⹁ سمالم.

“ستروسڽ ساي اکن ممڤرسمبهکن حاصيل ڤربينچڠن ترسبوت کڤد توانکو محرز باݢي منداڤتکن ڤرکنن بݢيندا اݢر ڤرسيدڠن دون داڤت دأداکن.

“ڤرسيدڠن دون هندقله دڤڠݢيل⹁ دڤروروݢ دان دبوبرکن ڤد سواتو تريخ سباݢايمان يڠ دفيکيرکن سسواي اوليه يڠ دڤرتوان اݢوڠ سلڤس براونديڠ دڠن يڠ دڤرتوان بسر نݢري سمبيلن⹁” کاتاڽ دالم ساتو کڽاتاءن هاري اين.

کالي تراخير دون نݢري اين برسيدڠ اداله ڤد 3 ديسيمبر 2020 سلاما ليما هاري.

امين الدين برکات تريخ ڤرسيدڠن يڠ اکن دأڠکت اونتوق ڤرکنن توانکو محرز توروت مڠامبيل کيرا تيمڤوه نوتيس سکورڠ-کورڠڽ 28 هاري کڤد اهلي دون سلارس دڠن ڤراتورن IV⹁ ڤرينته 5⹁ ڤراتورن دان ڤرينته تتڤ ديوان اوندڠن نݢري تاهون 1960.

جلسڽ⹁ سکيراڽ مستحق دان ڤرلو⹁ نوتيس يڠ سبراڤ سݢرا بوليه دکلوارکن ترتعلوق کڤد ڤرکنن توانکو محرز.

امين الدين توروت منجونجوڠ کاسيه ڤندڠن يڠ دظاهيرکن اوليه سري ڤدوک اݢر ڤرسيدڠن ڤرليمن دأداکن ڤد قدر سݢرا باݢي ممبوليهکن اوردينن٢ ضرورة دان ڤلن ڤموليهن نݢارا دبحثکن اوليه اهلي ديوان رعيت.

ڤربينچڠن خاص راج٢ ملايو دأستان نݢارا بارو٢ اين دحاضيري اوليه سلطان ترڠݢانو⹁ سلطان سلاڠور⹁ يڠ دڤرتوان بسر نݢري سمبيلن⹁ سلطان سجوهر⹁ سلطان ڤرق⹁ سلطان قدح⹁ ڤمڠکو راج ڤهڠ دان راج مودا ڤرليس مواکيلي راج ڤرليس.

Polis Akan Panggil Takiyuddin – KDN

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin tidak menolak pihaknya akan memanggil Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Hal Ehwal Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan untuk dirakam keterangan.

Hamzah berkata, ia berikutan kenyataan Takiyuddin yang didakwa derhaka terhadap titah Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Saya sudah maklumkan sesiapa sahaja yang melakukan penghasutan yang boleh menyebarkan sesuatu kurang senangnya apabila ada laporan yang dibuat, polis akan siasat kerana kadang kala saya nak kamu (wartawan) bagi maklumat lanjut kepada saya, kadang-kadang kamu semua cakap tidak maklumat lanjut menyebabkan orang lain yang jadi masalah.

“Jadi bila ada maklumat lanjut, kita akan siasat apa yang sebenarnya dia cakap,” katanya dalam sidang media berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 di pejabatnya hari ini.

Hamzah berkata, pihak berkuasa akan memastikan dahulu kandungan ucapan Takiyuddin sebelum tindakan boleh diambil terhadap beliau.

“Biarlah polis siasat, supaya kita boleh dapat apa yang dia cakap. Saya akan pastikan dahulu (kandungan ucapan) dan kita akan pergi kepada yang lebih lanjut sebab kita tak boleh terus ambil seksyen mana selagi kita tak tahu.

“Kalau kita nak tuduh kita kena tahu kesalahan apa yang dilakukan baru ada seksyen (pertuduhan),” katanya.

Hamzah berkata demikian mengulas mengenai laporan polis Pemuda Pakatan Harapan (PH) yang dibuat terhadap Takiyuddin.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata, siasatan polis tidak akan mengira darjat seseorang itu.

“Sesiapa sahaja yang ada laporan polis terhadapnya kita akan buat siasatan, kita tidak ada darjat mengenai bab itu,” katanya lagi.

Semalam, Ketua Pemuda PH, Shazni Munir Mohd Ithnin berkata, kenyataan Takiyuddin terhadap titah YDPA adalah tindakan derhaka.

Pada Rabu lalu, Takiyuddin berkata, YDPA tidak menyebut masa tertentu untuk sidang Parlimen dibuka segera dan tarikh yang dinyatakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk tujuan yang sama juga sudah hampir.

Sebelum ini YDPA berpandangan sidang Parlimen perlu diadakan secepat mungkin untuk membahaskan Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara. –{MalasyiaGazette]

Negeri Sembilan Mohon Perkenan Agong Adakan Sidang DUN

Kerajaan Negeri Sembilan akan memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melalui Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) kembali bersidang.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata perbincangan telah diadakan bersama Speaker DUN Datuk Zulkefly Mohamad Omar bagi merancang pelaksanaan persidangan DUN negeri ini, semalam.

“Seterusnya saya akan mempersembahkan hasil perbincangan tersebut kepada Tuanku Muhriz bagi mendapatkan perkenan baginda agar persidangan DUN dapat diadakan.

“Persidangan DUN hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Yang di-Pertuan Agong selepas berunding dengan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kali terakhir DUN negeri ini bersidang pada 3 Dis 2020 selama lima hari.

Aminuddin berkata sebarang tarikh persidangan yang akan diangkat untuk perkenan Tuanku Muhriz turut mengambil kira tempoh notis sekurang-kurangnya 28 hari kepada ahli DUN selaras dengan Peraturan IV, Perintah 5, Peraturan dan Perintah Tetap Dewan Undangan Negeri Tahun 1960.

Jelasnya, sekiranya mustahak dan perlu, notis yang seberapa segera boleh dikeluarkan tertakluk kepada perkenan Tuanku Muhriz.

Aminuddin turut menjunjung kasih pandangan yang dizahirkan oleh Seri Paduka agar persidangan Parlimen diadakan pada kadar segera bagi membolehkan Ordinan-ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan oleh ahli Dewan Rakyat.

Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara baru-baru ini dihadiri oleh Sultan Terengganu, Sultan Selangor, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Sultan Johor, Sultan Perak, Sultan Kedah, Pemangku Raja Pahang dan Raja Muda Perlis yang mewakili Raja Perlis. -{Malaysiakini]

اوڠکڤن ‘سچڤت موڠکين’ باڽق تفسيرن – تڠکو غزالي

تيته يڠ دڤرتوان اݢوڠ⹁ السلطان عبد الله رعاية الدين المصطافى بالله شه سوڤايا ڤرسيدڠن ڤرليمن دبوک ‘سچڤت موڠکين’ ممبري ڤلباݢاي تفسيرن کڤد باڽق ڤيهق.

اهلي ڤرليمن ݢوا موسڠ⹁ تڠکو غزالي حمزه برکات⹁ اد يڠ برڤنداڤت اوڠکڤن ايت دالم بهاس ايڠݢريس ممباوا معصود ‘it is like yesterday‘ اتاو ‘سمالم.’

تمبه بلياو⹁ ڤردان منتري تيدق بوليه منصيحت يڠ دڤرتوان اݢوڠ ملڠݢر ڤرکارا 55 ڤرلمباݢاءن.

“اين کران⹁ يڠ دڤرتوان اݢوڠ⹁ دباوه ڤرکارا 55 ايت برتڠݢوڠجاوب ممڠݢيل ڤرليمن دالم ماس انم بولن دري تريخ اخير ڤرسيدڠن ڤرليمن يڠ لڤس.

“جک تيدق⹁ يڠ دڤرتوان اݢوڠ دان ڤردان منتري تله ملڠݢر ڤرلمباݢاءن دان سومڤه جاوتن⹁” کاتاڽ دالم ساتو کڽاتاءن ڤد هاري خميس.

ڤد رابو⹁ يڠ درتوان اݢوڠ برتيته اݢر ڤرسيدڠن ڤرليمن ڤرلو دأداکن سچڤت موڠکين باݢي مناڠني کوۏيد-19 دان مڽلامتکن ايکونومي نݢارا.

منوروت داتوء ڤڠلولا بيجاي دراج استان نݢارا⹁ داتوء ايندرا احمد فضيل شمس الدين⹁ ڤرکارا ايت ڤرلو دلقساناکن اونتوق ممبوليهکن اوردينن٢ ضرورة دان ڤلن ڤموليهن نݢارا دبحثکن اوليه اهلي٢ ديوان رعيت.

تيته اݢوڠ سباݢاي کتوا اوتام ڤرليمن ڤرلو دهورمتي – رئيس يتيم

سڤيکر ديوان نݢارا⹁ رئيس يتيم برکات سموا ڤيهق ڤرلو مڠهورمتي ڤندڠن يڠ دڤرتوان اݢوڠ⹁ السلطان عبد الله رعاية الدين المصطافى بالله شه دان براوسها سوڤايا ڤرليمن دبوک سݢرا.

کاتاڽ⹁ ڤندڠن السلطان عبد الله منڤتي ڤرکارا 55 ڤرلمباݢاءن ڤرسکوتوان دان هاروس دهورمتي کران اݢوڠ يڠ برڤرانن سباݢاي کتوا نومبور ساتو ڤرليمن.

“ايسوڽ سکاراڠ اداله بيلا دان (معصود ڤرکاتاءن سسݢرا⹁ موڠکين ايت نمڤقڽ تيدق بوليه لبيه دري 1 اوݢوس (تريخ ضرورة تامت⹁) لاݢيڤون تريخ اصل ڤڠاشتهارن ضرورة دبوات ڤد 12 جانواري لالو.

“جادي تريخ 1 اوݢوس ايت لبيه کورڠ سمڤورناله تيمڤوه انم بولن سوڤايا ڤرليمن بوليه برسيدڠ سمولا. چوما سبلوم تيمڤوه ايت⹁ ڤرلو دکموکاکن نوتيس سوڤايا مشوارت برسيدڠ⹁” کاتاڽ منوروت لاڤورن ڤورتل ڤ.ن. بي.بي.سي.

مڠايکوت ڤرکارا 55 ڤرلمباݢاءن ڤرسکوتوان⹁ هاڽ يڠ دڤرتوان اݢوڠ سهاج بوليه ممڠݢيل ڤرليمن اونتوق برسيدڠ⹁ سلاءين ممڤوڽاءي کواس مطلق مڠهنتيکن اتاو ممبوبرکن ڤرليمن.

بݢيندا توروت دڤراونتوقکن اونتوق منتڤکن ڤرسيدڠن ڤرليمن دالم تيمڤوه ماس انم بولن انتارا ڤرسيدڠن لڤس دالم ڤڠݢل تراخير دان تريخ مشوارت ڤرتام دالم ڤرسيدڠن ڤڠݢل اکن داتڠ.

Ungkapan ‘Secepat Mungkin’ Banyak Tafsiran – Ku Li

Titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah supaya persidangan Parlimen dibuka ‘secepat mungkin’ memberi pelbagai tafsiran kepada banyak pihak.

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, ada yang berpendapat ungkapan itu dalam bahasa Inggeris membawa maksud ‘it is like yesterday’ atau ‘semalam’.

Tambah beliau, Perdana Menteri tidak boleh menasihat Yang di-Pertuan Agong melanggar Perkara 55 Perlembagaan.

“Ini kerana, Yang di-Pertuan Agong, di bawah Perkara 55 itu bertanggungjawab memanggil Parlimen dalam masa enam bulan dari tarikh akhir persidangan Parlimen yang lepas.

“Jika tidak, Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri telah melanggar perlembagaan dan sumpah jawatan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Pada Rabu, Yang di-Pertuan Agong bertitah agar persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin bagi menangani Covid-19 dan menyelamatkan ekonomi negara.

Menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, perkara itu perlu dilaksanakan untuk membolehkan Ordinan-ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan oleh ahli-ahli Dewan Rakyat.

Titah Agong Sebagai Ketua Utama Parlimen Perlu Dihormati – Rais Yatim

Speaker Dewan Negara, Rais Yatim, berkata semua pihak perlu menghormati pandangan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dan berusaha supaya Parlimen dibuka segera.

Katanya, pandangan Sultan Abdullah menepati Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan dan harus dihormati kerana Agong yang berperanan sebagai Ketua 1 Parlimen.

“Isunya sekarang adalah bila dan (maksud) perkataan sesegera, mungkin itu nampaknya tidak boleh lebih dari 1 Ogos (tarikh darurat tamat), lagipun tarikh asal pengisytiharan darurat dibuat pada 12 Januari lalu.

“Jadi tarikh 1 Ogos itu, lebih kurang sempurnalah tempoh enam bulan supaya Parlimen boleh bersidang semula. Cuma sebelum tempoh itu, perlu dikemukakan notis supaya mesyuarat bersidang,” katanya menurut laporan portal PN BBC.

Mengikut Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan, hanya Yang di-Pertuan Agong sahaja boleh memanggil Parlimen untuk bersidang, selain mempunyai kuasa mutlak menghentikan atau membubarkan Parlimen.

Baginda turut diperuntukkan untuk menetapkan persidangan Parlimen dalam tempoh masa enam bulan antara persidangan lepas dalam penggal terakhir dan tarikh mesyuarat pertama dalam persidangan penggal akan datang. -[Free Malaysia Today]

%d bloggers like this: