Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun berkata, Perdana Menteri, Mahiaddin Md Yassin berhak menetapkan tarikh untuk Parlimen bersidang semula atas alasan yang dirasakan wajar, susulan titah Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja Melayu semalam.
Menurut laporan Free Malaysia Today, beliau berkata komitmen Mahiaddin untuk mengadakan sidang Parlimen sekitar September atau Oktober tidak terlalu lewat, sebaliknya mencukupi bagi menghadapi krisis Covid-19.
“Perdana menteri berkuasa menetapkan tarikh sidang Parlimen dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong. Beliau berhak memanggil sidang mengikut Perlembagaan, malah beliau telah menyatakan secara rasional berkenaan kewajaran tempoh tersebut.
“Antaranya kerana angka Covid-19 dan sebagainya, jadi bagi pihak Parlimen, kita menunggu tarikh persidangan ditetapkan nanti,” katanya, menurut sebuah laporan oleh Utusan Malaysia.
Semalam, Yang di-Pertuan Agong berpandangan sidang Parlimen perlu diadakan dengan segera untuk membahaskan Ordinan-ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara.
Dalam sebuah kenyataan media, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin berkata Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menyedari peranan penting Parlimen untuk membincangkan isu berkaitan Covid-19.
Raja-raja Melayu turut bersependapat dalam perkara tersebut, dan menambah bahawa Dewan-dewan Undangan Negeri juga perlu dibolehkan untuk bersidang dengan segera.
Kelmarin, Mahiaddin ketika mengumumkan Pelan Pemulihan Negara yang merangkumi empat fasa, berkata Parlimen boleh bersidang semula dalam Fasa III Pelan Pemulihan Negara, iaitu sekitar September atau Oktober.
Katanya, kerajaan akan menimbangkan peralihan daripada Fasa I ke Fasa II apabila purata kes harian berkurangan bawah 4,000 kes, sistem kesihatan awam tidak lagi di tahap kritikal dan 10% penduduk lengkap dua dos vaksin.
Mahiaddin berkata, negara akan beralih ke Fasa III jika purata kes harian turun ke bawah 2,000 kes, sistem kesihatan awam di tahap selesa dengan kadar penggunaan katil unit rawatan rapi di paras mencukupi dan 40% penduduk lengkap dua dos vaksin.
Beliau menjangkakan semua sektor ekonomi akan dapat dibuka seawal akhir Oktober apabila negara memasuki Fasa IV, dengan purata kes harian Covid-19 berkurangan kepada 500 kes ke bawah dan 60% penduduk lengkap dos suntikan vaksin.