کڤوتوسن س.ڤ.م. 2020 دعمومکن خميس⹁ 10 جون 2021

کڤوتوسن سيجيل ڤلاجرن مليسيا تاهون 2020 اکن دعمومکن ڤد خميس⹁ 10 جون 2021. ڤرکارا ترسبوت دعمومکن کمنترين ڤنديديقن مليسيا سبنتر تادي ملالوءي ساتو کڽاتاءن اخبر.

منوروت کياتاءن ترسبوت⹁ کڤوتوسن س.ڤ.م. اکن دعمومکن ڤد جم 10.00 ڤاݢي.

کڤوتوسن بوليه دسيمق سچارا دالم تالين ملالوءي ڤورتل لمباݢ ڤڤريقساءن https://lp.moe.gov.my اونتوق منداڤتکن کڤوتوسن ڤنوه.

کڤوتوسن جوݢ بوليه دداڤتي منروسي ڤرخدمتن ايس.عيم.ايس. باݢي منداڤتکن ريڠکسن کڤوتوسن س.ڤ.م. دڠن مناءيڤ SPM<jarak>NoKP<jarak>AngkaGiliran دان هنتر کنومبور 68886. ڤرخدمتن اين اکن اکتيف سهيڠݢ جم 6.00 ڤتڠ ڤد 17 جون 2021.

چالون٢ سکوله يڠ تيدق ممڤوڽاءي چاڤاين اينترنىت اکن دکنلڤستي اوليه ڤيهق سکوله دان ممعلومکن قاعده يڠ سسواي باݢي منداڤتکن کڤوتوسن ترسبوت.

باݢي چالون ڤرسنديرين يڠ تيدق ممڤوڽاءي چاڤاين اينترنىت ڤولا⹁ ڤيهق جابتن ڤنديديقن نݢري اتاو ڤجابت ڤنديديقن داءيره اکن مڠنل ڤستي چالون٢ ترسبوت دان ممعلومکن قاعده سسواي اونتوق منداڤتکن کڤوتوسن ڤڤريقساءن.

Keputusan SPM 2020 Diumumkan Khamis, 10 Jun 2021

Baca versi Jawi di sini.

Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia tahun 2020 akan diumumkan pada Khamis, 10 Jun 2021. Perkara tersebut diumumkan Kementerian Pendidikan Malaysia sebentar tadi melalui satu kenyataan akhbar.

Menurut kenyataan tersebut, keputusan SPM akan diumumkan pada jam 10.00 pagi.

Keputusan boleh disemak secara dalam talian melalui portal Lembaga Peperiksaan https://lp.moe.gov.my untuk mendapatkan keputusan penuh.

Keputusan juga boleh didapati menerusi perkhidmatan SMS bagi mendapatkan ringkasan keputusan SPM dengan menaip SPM<jarak>NoKP<jarak>AngkaGiliran dan hantar ke nombor 68886. Perkhidmatan ini akan aktif sehingga jam 6.00 petang pada 17 Jun 2021.

Calon-calon sekolah yang tidak mempunyai capaian Internet akan dikenal pasti oleh pihak sekolah dan memaklumkan kaedah yang sesuai bagi mendapatkan keputusan tersebut.

Bagi calon persendirian yang tidak mempunyai capaian Internet pula, pihak Jabatan Pendidikan Negeri atau Pejabat Pendidikan Daerah akan mengenal pasti calon-calon tersebut dan memaklumkan kaedah sesuai untuk mendapatkan keputusan peperiksaan.

%d bloggers like this: