ڤرينته ‘توتل لوکداءون’ برمولا 1 جون

ڤنوتوڤن ڤنوه سيکتور سوسيال دان ايکونومي اتاو ‘توتل لوکداءين’ فاس ڤرتام اکن دلقساناکن دسلوروه نݢارا سلاما دوا ميڠݢو برمولا 1 جون اين.

ڤجابت ڤردان منتري دالم ساتو کڽاتاءن ممعلومکن⹁ کڤوتوسن ايت دبوات دالم سيدڠ خاص مجليس کسلامتن نݢارا (م.ک.ن.) مڠناءي ڤڠاوروسن کوۏيد-19 يڠ دڤڠروسيکن ڤردان منتري⹁ تن سري محي الدين ياسين ڤتڠ تادي.

منوروت کڽاتاءن ايت⹁ سڤنجڠ تيمڤوه برکناءن⹁ سموا سيکتور تيدق دبنرکن براوڤراسي کچوالي سيکتور ايکونومي دان ڤرخدمتن ڤرلو يڠ اکن دسنارايکن اوليه م.ک.ن.

“کڤوتوسن اين دبوات سلڤس مڠامبيل کيرا سيتواسي ترکيني ڤنولرن کوۏيد-19 دمليسيا دڠن جومله کيس هارين ملبيهي 8,000 کيس دان کيس اکتيف ملبيهي 70,000 کيس. ستاکت هاري اين⹁ سراماي 2,552 اورڠ منيڠݢل دنيا عقيبت وابق اين دان جومله کماتين سماکين منيڠکت.

“کووجودن ۏاريان٢ بهارو يڠ لبيه ݢانس دڠن قدر کبوليهجڠکيتن تيڠݢي دان ڤانتس توروت ممڤڠاروهي کڤوتوسن هاري اين⹁” جلس کڽاتاءن ترسبوت.

منوروت کڽاتاءن ترسبوت⹁ دڠن ڤنيڠکتن کيس٢ هارين يڠ منونجوقکن ترين‌د کناءيقن سچارا لبيه مندادق سجق متاخير اين⹁ کاڤاسيتي هوسڤيتل دسلوروه نݢارا اونتوق مراوت ڤساکيت کوۏيد-19 جوݢ سماکين ترحد.

کاتاڽ⹁ جک ڤنوتوڤن ڤنيه ايت برجاي مڠورڠکن کيس٢ هارين کوۏيد-19⹁ کراجاءن اکن ملقساناکن ‘لوکداءون’ فاس کدوا ياءيت دڠن ممبنرکن ڤمبوکاءن ببراڤ سيکتور ايکونومي يڠ تيدق مليبتکن ڤرهيمڤونن بسر سرتا بوليه مماتوهي ڤنجارقن فيزيکل.

“لوکداءون فاس کدوا اين اکن دلقساناکن اونتوق تيمڤوه امڤت ميڠݢي سلڤس فاس ڤرتام براخير. ستله براخيرڽ لوکداءون فاس کدوا⹁ لڠکه ستروسڽ ايله مماسوکي فاس کتيݢ⹁ ياءيت ملقساناکن ڤرينته کاولن ڤرݢرقن (ڤ.ک.ڤ.) سڤرتي يڠ برقوات کواس ڤد ماس اين يڠ مان اکتيۏيتي سوسيال تيدق دبنرکن دان همڤير سموا سيکتور ايکونومي دبنرکن براوڤراسي ترتعلوق کڤد ايس.او.ڤي يڠ کتت سرتا کحاضيرن سچارا فيزيکل دتمڤت کرجا يڠ دحدکن⹁” کاتاڽ.

تمبه کڽاتاءن ايت⹁ کڤوتوسن اونتوق براليه دري ساتو فاس کفاس يڠ برايکوتڽ باݢايماناڤون ترتعلوق کڤد ڤنيلاين ريسيکو اوليه کمنترين کصيحتن.

“ڤنيلاين دبوات برداسرکن ڤرکمبڠن کيس٢ هارين سماس دان کاڤاسيتي هوسڤيتل دسلوروه نݢارا اونتوق مراوت ڤساکيت کوۏيد-19. کراجاءن اکن ممستيکن سيستم کصيحتن عوم دنݢارا کيت تيدق اکن رونتوه دان ڤلباݢاي سوکوڠن دان بنتوان اکن دبريکن کڤد کمنترين کصيحتن اونتوق منيڠکتکن کاڤاسيتي هوسڤيتل دسلوروه نݢارا.

“کراجاءن جوݢ اکن منيڠکتکن جومله ڤمبرين ۏکسين دالم تيمڤوه ببراڤ ميڠݢو اکن داتڠ دالم اوسها اونتوق مڠحاصيلکن ايمونيتي کلومڤوق دنݢارا اين. سوسولن کڤوتوسن کراجاءن اونتوق ملقساناکن ڤنوتوڤن ڤنوه سيکتور ايکونومي دان سوسيال⹁ کمنترين کواڠن اکن ممڤرينچيکن ڤاکيج بنتوان کڤد رعيت دان سيکتور ايکونومي يڠ ترکسن⹁” کاتاڽ.

‘Total Lockdown’ Bermula 1 Jun

Penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi atau ‘total lockdown’ fasa pertama akan dilaksanakan di seluruh negara selama dua minggu bermula 1 Jun ini.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan memaklumkan, keputusan itu dibuat dalam Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) Mengenai Pengurusan Covid-19 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin petang tadi.

Menurut kenyataan itu, sepanjang tempoh berkenaan, semua sektor tidak dibenarkan beroperasi kecuali sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu yang akan disenaraikan oleh MKN.

“Keputusan ini dibuat selepas mengambil kira situasi terkini penularan Covid-19 di Malaysia dengan jumlah kes harian melebihi 8,000 kes dan kes aktif melebihi 70,000 kes. Setakat hari ini, seramai 2,552 orang meninggal dunia akibat wabak ini dan jumlah kematian semakin meningkat.

“Kewujudan varian-varian baharu yang lebih ganas dengan kadar kebolehjangkitan tinggi dan pantas turut mempengaruhi keputusan hari ini,” jelas kenyataan tersebut.

Menurut kenyataan terrsebut, dengan peningkatan kes-kes harian yang menunjukkan trend kenaikan secara lebih mendadak sejak mutakhir ini, kapasiti hospital di seluruh negara untuk merawat pesakit Covid-19 juga semakin terhad.

Katanya, jika penutupan penuh itu berjaya mengurangkan kes-kes harian Covid-19, kerajaan akan melaksanakan ‘lockdown’ fasa kedua iaitu dengan membenarkan pembukaan semula beberapa sektor
ekonomi yang tidak melibatkan perhimpunan besar serta boleh mematuhi penjarakan fizikal.

“Lockdown fasa kedua ini akan dilaksanakan untuk tempoh empat minggu selepas fasa pertama berakhir. Setelah berakhirnya lockdown fasa kedua, langkah seterusnya ialah memasuki fasa ketiga, iaitu melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti yang berkuat kuasa pada masa ini yang mana aktiviti sosial tidak dibenarkan dan hampir semua sektor ekonomi dibenarkan beroperasi tertakluk kepada SOP yang ketat serta kehadiran secara fizikal di tempat kerja yang dihadkan,” katanya.

Tambah kenyatan itu, keputusan untuk beralih dari satu fasa ke fasa yang berikutnya bagaimanapun tertakluk kepada penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan.

“Penilaian dibuat berdasarkan perkembangan kes-kes harian semasa dan kapasiti hospital di seluruh negara untuk merawat pesakit COVID-19. Kerajaan akan memastikan sistem kesihatan awam di negara kita tidak akan runtuh dan pelbagai sokongan dan bantuan akan diberikan kepada Kementerian Kesihatan untuk meningkatkan kapasiti hospital di seluruh negara.

“Kerajaan juga akan meningkatkan jumlah pemberian vaksin dalam tempoh beberapa minggu akan datang dalam usaha untuk menghasilkan imuniti kelompok di negara ini. Susulan keputusan kerajaan untuk melaksanakan penutupan penuh sektor ekonomi dan sosial, Kementerian Kewangan akan memperincikan pakej bantuan kepada rakyat dan sektor ekonomi yang terkesan,” katanya. –{Utusan Digital]

داره بياوق اءير بوليه راوت کوۏيد-19؟

کومڤولن ڤڠکاجي دسبواه اونيۏرسيتي مندقوى داره بياوق اءير مڠندوڠي باهن يڠ بوليه منچݢه کنسر⹁ بکتيريا دان کموڠکينن ۏيروس کوۏيد-19.

ڤروفيسور جيتکامول ثاناسک دري فاکولتي ڤراوبتن ۏيترينر⹁ اونيۏرسيتي ماهيدول برکات⹁ کومڤولن ڤڠکاجي ايت اکن منليتي رهسيا سيستم ايمون بياوق اءير يڠ قوات سهيڠݢ ممبوليهکنڽ هيدوڤ دالم اءير ترچمر سرتا ماکن بڠکاي.

کاتڽ⹁ کومڤولن ڤڠکاجي ايت سودن منداڤت کبنرن درڤد کراجاءن اونتوق مڠامبيل سمڤل داره بياوق اءير اونتوق دسليديق.

“سمڤل داره ايت دݢوناکن اونتوق مڠکاجي چيري٢ ڤروتين يڠ ممبنتوق سيستم ايمون دياوق اءير.

“ڤڠکاجي منداڤتي ڤروتين برکناءن بوليه ممبونوه سيل کنسر⹁ بکتيريا دان موڠکين براوڤايا منچݢه جڠکيتن ۏيروس ترماسوق کوۏيد-19⹁” کاتاڽ کڤد اخبر نيشن ثاءيلن‌د.

کومڤولن ڤڠکاجي ايت برچادڠ اونتوق مماتنکن کاجين ترسبوت سلڤس ڤڽليديقن راڤي دلاکوکن.

مريک دجڠک مڽلسايکن کاجين اول ايت منجلڠ ڤڠهوجوڠ تاهون اين سبلوه دݢوناکن اونتوق مڠاوجي کبرکسنن مننتڠ اينفلوءينزا دان کوۏيد-19.

Darah Biawak Air Boleh Rawat Covid-19?

Kumpulan pengkaji di sebuah universiti mendakwa darah biawak air mengandungi bahan yang boleh mencegah kanser, bakteria dan kemungkinan virus Covid-19.

Prof. Jitkamol Thanasak dari Fakulti Perubatan Veterinar, Universiti Mahidol berkata, kumpulan pengkaji itu akan meneliti rahsia sistem imun biawak air yang kuat sehingga membolehkannya hidup dalam air tercemar serta makan bangkai.

Katanya, kumpulan pengkaji itu juga sudah mendapat kebenaran daripada kerajaan untuk mengambil sampel darah biawak air untuk diselidik.

“Sampel darah itu digunakan untuk mengkaji ciri-ciri protein yang membentuk sistem imun biawak air.

“Pengkaji mendapati protein berkenaan boleh membunuh sel kanser, bakteria dan mungkin berupaya mencegah jangkitan virus termasuk Covid-19,” katanya kepada Nation Thailand.

Kumpulan pengkaji itu bercadang untuk mematenkan kajian tersebut selepas penyelidikan rapi dilakukan.

Mereka dijangka menyelesaikan kajian awal itu menjelang penghujung tahun ini sebelum digunakan untuk menguji tahap keberkesanan menentang influenza dan Covid-19. -{Utusan Digital]

%d bloggers like this: