Adakah Ini Bendera Kesultanan Melayu Melaka?

Baca versi Jawi di sini.

Rakyat Malaysia begitu bangga dengan kehebatan kerajaan Melayu Melaka. Namun, pernahkah kita terfikir akan bagaimanakah reka bentuk bendera Kesultanan Melayu Melaka yang kita banggakan itu?

Lazimnya dalam hal ini, ada di antara kita yang sama ada:

  • tidak terfikir tentang hakikat bahawa Kesultanan Melayu Melaka mempunyai bendera negeri
  • percaya bahawa reka bentuk bendera Kesultanan Melaka adalah berwarna biru berlambangkan bulan dan bintang kuning, seperti rajah di bawah
Reka bentuk bendera yang dikatakan sebagai bendera Kesultanan Melayu Melaka.

Malah, sejak kebelakangan ini, ramai yang mempercayai bahawa inilah reka bentuk bendera Kesultanan Melayu Melaka.

Saya melihat kekhilafan ini bermula daripada ceteknya pengetahuan kita tentang sejarah negara sehingga boleh terpedaya dengan bendera yang direka untuk satu permainan video sebagai bendera Kesultanan Melayu Melaka.

Hal ini bermula sejak bulan Ogos 2013, apabila sebuah syarikat penerbit permainan video, Paradox Interactive, mengeluarkan satu permainan video strategi baharu yang diberi nama Europa Universalis IV (EU4).

Di dalam permainan video itu, Kesultanan Melayu Melaka digambarkan sebagai sebuah negara (nation) bernama Malacca dan mereka menggunakan reka bentuk di atas sebagai lambang negara Malacca. Turut direka dalam permainan video itu juga ialah bendera untuk wilayah-wilayah (provinces) Pahang dan Kelantan.

Jelasnya, lambang Malacca yang dicipta untuk EU4 itu adalah mengambil inspirasi daripada reka bentuk kanton bendera negeri Melaka yang digunakan pada hari ini.

Untuk rekod, bendera negeri Melaka yang digunakan pada hari ini hanya mula digunakan selepas tertubuhnya Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1957, dan reka bentuknya mengambil inspirasi daripada bendera Malaysia yang dicipta pada tahun 1950, lebih 400 tahun selepas kejatuhan kerajaan Melaka.

Oleh kerana permainan video itu berkonsepkan alam semesta silang (alternate universe), maka apa yang dipaparkan dalam EU4 adalah berbeza daripada fakta sejarah sebenar. Justeru, ketepatan sejarah bendera yang digunakan bukanlah satu keutamaan bagi mereka.

Malangnya, setelah lambang rekaan itu tersebar, ada yang terpedaya dan merasakan bahawa itu adalah bendera Kesultanan Melayu Melaka.

Walhal, jika diperhatikan, terdapat elemen yang begitu asing pada bendera rekaan tersebut. Penggunaan warna biru sebagai warna latar dan warna utama bendera secara jelas menunjukkan bahawa ia bukanlah bendera Kesultanan Melayu Melaka. Ini adalah kerana pada ketika itu:

  • Warna biru sebegitu ialah satu warna yang asing serta tidak memberi makna yang signifikan kepada orang Melayu
  • Pewarna biru sukar untuk diperolehi

Pada zaman dahulu, warna biru merupakan satu warna yang tidak mempunyai kepentingan dalam perlambangan budaya, peradaban dan kehidupan orang Melayu.

Warna-warna utama bagi orang Melayu pada ketika itu adalah merah dan putih, di mana merah digunakan para tentera dan putih digunakan oleh Sultan.

Contoh video yang menjelaskan sejarah Kesultanan Melayu Melaka dengan menggunakan reka bentuk tersebut sebagai bendera Melaka.

Malangnya, ada pula pihak yang terkeliru, lantas menggunakan bendera rekaan permainan video ini di dalam bahan-bahan tidak formal berkaitan sejarah Kesultanan Melayu Melaka sebagai bendera kesultanan tersebut.

Tangkapan layar laman Wikipedia bahasa Inggeris mengenai Kesultanan Melayu Melaka pada awal September 2020 yang menunjukkan bendera yang salah. Gambar tersebut kemudiannya dipadamkan pada 14 September 2020.

Hal ini menjadikan semakin ramai yang mempercayai bahawa itulah bendera sebenar Kesultanan Melayu Melaka.

Perkara ini bertambah parah memandangkan kita tidak mempunyai rekod sejarah yang lengkap, jelas dan komprehensif tentang bendera-bendera yang pernah digunakan oleh kerajaan-kerajaan Kesultanan Melayu di Tanah Melayu pada zaman dahulu.

Setakat ini saya masih gagal menjumpai apa-apa catatan sejarah yang menjelaskan tentang reka bentuk bendera Kesultanan Melayu Melaka secara terperinci daripada bahan-bahan sejarah yang berkaitan dengan Kesultanan Melayu Melaka.

Perkara yang disebut hanyalah mengenai penggunaan bendera dan juga warna-warna merah dan putih digunakan sebagai warna negeri.

Maka jelaslah bahawa bendera di atas bukanlah bendera Kesultanan Melayu Melaka yang sebenarnya. Janganlah kita meremehkan sejarah negara dengan menokok tambah sesuatu yang tidak benar.

Bendera negara bukanlah hal yang remeh. Kita harus sedar bahawa bendera negara melambangkan kedaulatan sesebuah negara.

Kenalilah dan hormatilah sejarah negara, dan peliharalah maruah negara bangsa.


Rencana berkaitan:

%d bloggers like this: