اکريل ساني دلنتيق کتوا ڤوليس نݢارا بهارو⹁ برقوات کواس 4 مي

تيمبالن کتوا ڤوليس نݢارا⹁ اکريل ساني عبد الله ساني دلنتيق سباݢاي کتوا ڤوليس نݢارا يڠ بهارو⹁ برقوات کواس ثلاث دڤن ياءيت 4 مي 2021.

ڤݢاواي کانن ڤوليس ايت منريما سورت ڤلنتيقن سباݢاي کتوا ڤوليس نݢارا درڤد منتري دالم نݢري⹁ حمزة زين الدين⹁ هاري اين.

ڤلنتيقن اکريل ساني سباݢاي کتوا ڤوليس نݢارا ک-13 اداله باݢي مڠݢنتيکن عبد الحميد بادور يڠ تامت کونترک ڤد 3 مي اين. بلياو ممݢڠ جاون ايت سجق 4 مي 2019.

حمزة ڤد سيدڠ ميديا سلڤس مڽرهکن سورت ڤلنتيقن کڤد اکريل ساني دکوالا لومڤور هاري اين برکات ڤلنتيقن ايت تله منداڤت ڤرکنن يڠ دڤرتوان اݢوڠ السلطان عبد الله رعاية الدين المسطفى بلله شاه.

اي جوݢ سوسولن سلڤس منريما نصيحت ڤردان منتري محي الدين ياسين اتس ڤراکوان سوروهنجاي ڤاسوقن ڤوليس (س.ڤ.ڤ.).

“ساي نق معلومکن ستله ڤروسيس دلاکوکن س.ڤ.ڤ. دان دڤرستوجوءي اوليه سموا اهلي سوروهنجاي.

“سموا ستوجو اکريل ساني دأڠکت سباݢاي کتوا ڤوليس نݢارا يڠ بارو ترماسوق عبد الحميد بادور⹁” کاتاڽ.

حمزة جوݢ مڠعمومکن ڤلنتيقن اکريل ساني اداله سهيڠݢ 3 اوکتوبر 2021 ياءيت سهيڠ تيمڤوه ڤرخيدمتنڽ دالم ڤوليس تامت.

اکريل ساني يڠ دلاهيرکن ڤد 3 اوکتوبر 1961 دڤتاليڠ جاي⹁ سلاڠور ايت برکلولوسن سرجان ساءين‌س (ڤڠاوروسن) دري اونيۏرسيتي اوتارا مليسيا دان مڽرتاءي ڤوليس دراج مليسيا ڤد 2 فيبرواري 1986 سباݢاي کاديت اسيستن سوڤراينتيندن ڤوليس (ا.س.ڤ.).

دي تله ممݢڠ ڤلباݢاي جاوتن دڤريڠکت داءيره⹁ نݢري دان ايبو ڤجابت بوکيت امن سڤنجڠ ڤرخيدمتن دالم ڤاسوقن براونيفورم ايت.

انتارا جاوتن يڠ ڤرنه دسندڠڽ اداله ڤسوروهجاي ڤوليس ساراوق⹁ کتوا ڤوليس ڤرق⹁ ڤڠاره جابتن ڤنچݢهن جنايه دان کسلامتن کومونيتي⹁ ڤڠاره جابتن سياستن جنايه کومرسيل سرتا ڤڠاره جابتن سومبر ستراتىݢيک دان تيکنولوݢي.

Acryl Sani Dilantik IGP Baharu, Berkuat Kuasa 4 Mei

Timbalan Ketua Polis Negara, Acryl Sani Abdullah Sani dilantik sebagai Ketua Polis Negara yang baru, berkuat kuasa Selasa depan (4 Mei).

Pegawai kanan polis itu menerima surat pelantikan sebagai ketua polis negara daripada Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin, hari ini.

Pelantikan Acryl Sani sebagai IGP ke-13 adalah bagi menggantikan Abdul Hamid Bador yang tamat kontrak pada 3 Mei ini. Dia memegang jawatan itu sejak 4 Mei 2019.

Hamzah pada sidang media selepas menyerahkan surat pelantikan kepada Acryl Sani di Kuala Lumpur hari ini berkata pelantikan itu telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Ia juga susulan selepas menerima nasihat Perdana Menteri Muhyiddin Yassin atas perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP).

“Saya nak maklumkan setelah proses dilakukan SPP dan dipersetujui oleh semua ahli suruhanjaya.

“Semua setuju Acryl Sani diangkat sebagai IGP yang baru termasuk Abdul Hamid Bador,” katanya 

Hamzah juga mengumumkan pelantikan Acryl Sani sebagai IGP adalah sehingga 3 Okt 2021 iaitu sehingga tempoh perkhidmatannya dalam polis tamat.

Acryl Sani dilahirkan pada 3 Okt 1961 di Petaling Jaya, Selangor itu berkelulusan Sarjana Sains (Pengurusan) dari Universiti Utara Malaysia dan menyertai Polis Diraja Malaysia pada 2 Feb 1986 sebagai Kadet Assistant Superintendent of Police (ASP).

Dia telah memegang pelbagai jawatan di peringkat daerah, negeri dan Ibu Pejabat Bukit Aman sepanjang perkhidmatan dalam pasukan beruniform itu.

Antara jawatan yang pernah disandangnya adalah Pesuruhjaya Polis Sarawak, Ketua Polis Perak, Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil serta Pengarah Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi. -{Malaysiakini]