Asakan Untuk Zahid Undur: Siapakah Pengganti?

Desakan pimpinan UMNO untuk Ahmad Zahid Hamidi mengundur diri daripada jawatan Presiden parti itu semakin lantang setelah tersebar luasnya rakaman audio yang dikatakan perbualan antara beliau dan Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Terkini akhbar-akhbar utama melaporkan, Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah turut bersuara, menyatakan bahawa jika rakaman tersebut benar, maka Zahid tidak layak lagi untuk memimpin parti tersebut.

Memetik laporan akhbar hari ini, Tengku Razaleigh mengatakan bahawa Zahid tidak sepatutnya bertindak sedemikian apatah lagi setelah ahli UMNO meletakkan harapan yang tinggi kepadanya untuk memimpin parti itu.

“Pada pandangan saya tak baguslah, seorang pemimpin patut tidak berlagak macam itu. Dia mesti lebih bertanggungjawab sebab orang meletakkan harapan kepada dia untuk memimpin dengan lebih baik.

“Mengenai rakaman audio ini, tak tahulah betul atau tak tapi dengar suara macam dia punya suara.

“Kalau benar itu suara dia, kalau benar dia mempunyai niat macam itu. Sebagaimana suara dia sememangnya dia tidak bertanggungjawab, tidak layak kekal di situ.”

Tengku Razaleigh Hamzah – ‘Jika rakaman audio tulen, Zahid tak layak lagi pimpin Umno’ – Malaysiakini

Terdahulu, Ahli Parlimen Padang Rengas, Mohamed Nazri Aziz turut memberi pandangan beliau tentang hal ini. Menurutnya, Zahid tidak lagi mempunyai kredibiliti untuk memimpin UMNO dan Barisan Nasional.

Nazri turut menamakan Mohamad Hasan iaitu Timbalan Presiden UMNO sebagai seorang yang layak menggantikan Zahid untuk menakhodai UMNO dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 nanti.

“Zahid perlu berundur segera. Soal siapa akan ganti bukan masalah kerana kita ikut sahaja hierarki parti. Mohamad Hasan sebagai orang nombor dua boleh ambil alih kepimpinan.

“Kalau ada ‘warlords’ yang tidak setuju, itu adalah masalah mereka kerana bagi saya, perkara yang betul untuk dibuat adalah mengikut hierarki kerana itu diputuskan oleh akar umbi semasa pemilihan parti.

“Saya yakin Mohamad Hasan mampu ketuai UMNO dan saya harap beliau boleh lakukan perubahan dalam parti.”

Mohamed Nazri Aziz – Nazri Aziz pula gesa Zahid berundur, mahu Mat Hasan ambil alih – Astro Awani

Sebelum ini, Nazri Aziz dan Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam, Zakaria Dullah turut menyatakan bahawa peluang UMNO untuk memenangi PRU15 di bawah pimpinan Zahid adalah amat tipis.

“Selagi dia (Ahmad Zahid) ada, UMNO tidak akan dilihat sebagai parti yang bersih kerana perbicaraannya.

“Sekiranya Zahid berundur, ia tidak akan menimbulkan masalah mengenai siapa yang harus memimpin parti kerana kita hanya mengikut hierarki. Tok Mat (Mohamad Hasan) ambil alih.”

Mohamed Nazri Aziz – Nazri cadang Mat Hasan ambil alih kepimpinan Umno – Malaysiakini
%d bloggers like this: