مديديق: ڤلاجر هاروس برڤادا-ڤادا دالم مڽمبوت تامت ڤڤريقساءن

Baca versi Rumi di sini.

ڤرتوبوهن ڤرموافقتن ڤنديديقن مليسيا (مديديق) هاري اين تله مڠلوارکن ساتو کڽاتاءن اخبر برايکوتن تامتڽ ڤڤريقساءن سيجيل ڤلاجرن مليسيا (س.ڤ.م.) سمالم.

دالم کڽاتاءن ترسبوت⹁ ستياءوسها مديديق⹁ احمد علي کريم تله مڠايڠتکن ڤلاجر سلوروه نݢارا اونتوق برڤادا-ڤادا کتيک مڽمبوت تامت ڤڤريقساءن⹁ دان جاڠن سمڤاي اي مڠهينا دان مرندهکن ايميج اينستيتوسي ڤنديديقن.

باچ کڽاتاءن ڤنوه (برتوليس):

مڠناءي سمبوتن تامت س.ڤ.م. دالم کالڠن موريد

ڤڤريقساءن سيجيل ڤلاجرن مليسيا (س.ڤ.م.) 2020 تله براخير ڤد خميس⹁ 25 مچ 2021 دالم کأداءن يڠ تراتور. مديديق مڠاوچڤکن ستيڠݢي-تيڠݢي تهنيئه کڤد سموا چالون٢ س.ڤ.م. 2020 يڠ تله برجاي مڠهاروڠي ڤڤريقساءن دڠن ڤنوه سماڠت سرتا مماتوهي سموا ايس.او.ڤي. يڠ تله دتتڤکن. ڤرجواڠن چالون٢ س.ڤ.م. 2020 اداله امت منچابر عقيبة برباݢاي-باݢاي رينتڠن کران ڤنولرن وابق کوروناۏيروس 2019 (کوۏيد-19).
مديديق جوݢ ايڠين مراکمکن اوچڤن تهنيئه کڤد ک.ڤ.م. دان سموا ڤتوݢس يڠ تله برتوڠکوس-لوموس دالم اوسها اونتوق ممستيکن سݢالا-ݢالاڽ برجالن دڠن لنچر دان سلامت.
ڤد ماس يڠ سام⹁ مديديق ايڠين مڠايڠتکن ڤارا ڤلاجر اݢر برڤادا-ڤادا کتيک مڽمبوت تامت ڤڤريقساءن س.ڤ.م.. سݢالا جنيس سمبوتن هاروسله جاڠن سمڤاي مڠهينا دان مرونتوهکن ايميج اينستيتوسي ڤنديديقن.
اکتيۏيتي مليمڤر کروسي دان ميجا بيليق درجه دان منچونتيڠ باجو سکوله اداله انتارا چارا سمبوتن يڠ منجادي ايکوتن⹁ ماله سريڠ دکوڠسي دميديا سوسيال دڠن راس بڠݢ. کيت جوݢ مڽقسيکن اکسي٢ لاءين تيدق سوڤن سڤرتي ممباليڠ بوکو سکوله کدالم سوڠاي سرتا مماکي ݢورو.
سموا ڤيهق خاصڽ ڤارا ڤلاجر هاروس سدر بهاوا ستياڤ ايليمن ڤنديديقن هاروسله دهورماتي. اداله منجادي بوداي رعيت مليسيا اونتوق تيدق ملتقکن بوکو٢ دباوه ڤارس کاکي سباݢاي تندا هورمت کڤد علمو. جوسترو⹁ ڤربواتن مڠهينا ݢورو٢ اداله برتنتڠن دڠن نيلاي بوداي کيت يڠ منجونجوڠ تيڠݢي علمو يڠ برمنفعت. ادب دالم منونتوت علمو هندقله دجاݢ اݢر علمو يڠ دتونتوت اکن دبرکاتي.
مديديق مڽرو ڤارا ڤلاجر سوڤايا سنتياس برواسڤادا اکن حال٢ سبݢيني سرتا تيدق موده ترايکوت-ايکوت دڠن ڤربواتن نيݢاتيف يڠ بوليه مرونتوهکن مارواه بڠسا.

“رعيت دان ڤنديديقن برڤيسه تيادا”
يڠ بنر⹁

احمد علي بن عبد الکريم
ستياءوسها⹁
ڤرتوبوهن ڤرموافقتن ڤنديديقن مليسيا (مديديق)

ME’DIDIK: Pelajar Harus Berpada-pada Dalam Menyambut Tamat SPM

Baca versi Jawi di sini.

Pertubuhan Permuafakatan Pendidikan Malaysia (ME’DIDIK) hari ini telah mengeluarkan satu kenyataan akhbar berikutan tamatnya peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) semalam.

Dalam kenyataan tersebut, Setiausaha ME’DIDIK, Ahmad Ali Karim telah mengingatkan pelajar seluruh negara untuk berpada-pada ketika menyambut tamat peperiksaan, dan jangan sampai ia menghina dan merendahkan imej institusi pendidikan.

Baca kenyataan penuh (bertulis):

MENGENAI SAMBUTAN TAMAT SPM DALAM KALANGAN MURID

Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 telah berakhir pada Khamis, 25 Mac 2021 dalam keadaan yang teratur. ME’DIDIK mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua calon-calon SPM 2020 yang telah berjaya mengharungi peperiksaan dengan penuh semangat serta mematuhi semua SOP yang telah ditetapkan. Perjuangan calon-calon SPM 2020 adalah amat mencabar akibat berbagai-bagai rintangan kerana penularan wabak koronavirus 2019 (Covid-19).
ME’DIDIK juga ingin merakamkan ucapan tahniah kepada KPM dan semua petugas yang telah bertungkus-lumus dalam usaha untuk memastikan segala-galanya berjalan dengan lancar dan selamat.
Pada masa yang sama, ME’DIDIK ingin mengingatkan para pelajar agar berpada-pada ketika menyambut tamat peperiksaan SPM. Segala jenis sambutan haruslah jangan sampai menghina dan meruntuhkan imej institusi pendidikan.
Aktiviti melempar kerusi dan meja bilik darjah dan menconteng baju sekolah adalah antara cara sambutan yang menjadi ikutan, malah sering dikongsi di media sosial dengan rasa bangga. Kita juga menyaksikan aksi-aksi lain tidak sopan seperti membaling buku sekolah ke dalam sungai serta memaki guru.
Semua pihak khasnya para pelajar harus sedar bahawa setiap elemen pendidikan haruslah dihormati. Adalah menjadi budaya rakyat Malaysia untuk tidak meletakkan buku-buku di bawah paras kaki sebagai tanda hormat kepada ilmu. Justeru, perbuatan menghina guru-guru adalah bertentangan dengan nilai budaya kita yang menjunjung tinggi ilmu yang bermanfaat. Adab dalam menuntut ilmu hendaklah dijaga agar ilmu yang dituntut akan diberkati.
ME’DIDIK menyeru para pelajar supaya sentiasa berwaspada akan hal-hal sebegini serta tidak mudah terikut-ikut dengan perbuatan negatif yang boleh meruntuhkan maruah bangsa.

“RAKYAT DAN PENDIDIKAN BERPISAH TIADA”
Yang benar,

AHMAD ALI BIN A. KARIM
Setiausaha,
Pertubuhan Permuafakatan Pendidikan Malaysia (ME’DIDIK)

کو لي: اورڠ ملايو تيدق ريلا منجادي همبا عبدي

Baca versi Rumi di sini.

سباݢاي انق ديديق المرحوم تونکو عبد الرحمان⹁ تڠکو غزالي حمزه لبيه ممهمي دان مڠهاياتي سماڠت اصلڤرجواڠن امنو بربنديڠ رامايڤميمڤين امنو لاءين⹁ اڤاته لاݢي مريک يڠ ڤرنه مننتڠ کڤيمڤينن تونکو داهولو.

تڠکو غزالي منݢسکن امنو تيدق دتوبوهکن کران ڤراساءن دڠکي.

ماله اصل سجاره ڤنوبوهن امنو بوکنله برتوجوان ڤوليتيک⹁ تتاڤي مروڤاکن ساتو ڤرجواڠن کبڠساءن يڠ دبڠکيت اوليه رعيت تانه ملايو.

ڤرجواڠن رعيت ياج يڠ دتراجوءي امنو اداله اونتوق ممبيلا راج٢ ملايو سرتا مارواه بڠسا دمي ڤراساءن کاسيه سايڠ کڤد راج دان نݢارا.

اورڠ ملايو تيدق ريلا منجادي همبا عبدي بريتيش ملالوءي ڤنوبوهن ملايان يونيئن.

منوروت تڠکو⹁ والاوڤون ممڤوڽاءي سماڠت کبڠساءن يڠ کوات⹁ اورڠ ملايو تيدق راسيس ماله تله منريما قوم لاءين دڠن تاڠن تربوک.

راماي اورڠ مودا يڠ تيدق مڠنالي سجاره ڤرجواڠن نݢارا بڠسا. اد يڠ برسيکڤ اڠکوه ترهادڤ مريک يڠ لبيه داهولو مراس اسم ݢارم کهيدوڤن⹁ ماله مراساکن ديري لبيه بيجق سرتا سوده چوکوڤ برڤڠالمن.

راماي جوݢ يڠ برسيکڤ تيدق ڤدولي سرتا تيدق مڠامبيل برت اکن سجاره نݢارا.

ݢينراسي مودا هاروس کمبالي کڤد سجاره اسس ڤرجواڠن اورڠ ملايو سوڤايا روح ڤرجواڠن اصل کيت تيدق هيلڠ دتلن زمان.

Ku Li: Orang Melayu Tidak Rela Jadi Hamba Abdi

Baca versi Jawi di sini.

Sebagai anak didik Almarhum Tunku Abdul Rahman, Tengku Razaleigh Hamzah lebih memahami dan menghayati semangat asal perjuangan UMNO berbanding ramai pemimpin UMNO lain, apatah lagi mereka yang pernah menentang kepimpinan Tunku dahulu.

Tengku Razaleigh menegaskan UMNO tidak ditubuhkan kerana perasaan dengki.

Malah asal sejarah penubuhan UMNO bukanlah bertujuan politik, tetapi merupakan satu perjuangan kebangsaan yang dibangkit oleh rakyat Tanah Melayu.

Perjuangan rakyat Raja yang diterajui UMNO adalah untuk membela Raja-raja Melayu serta maruah bangsa demi perasaan kasih sayang kepada Raja dan negara.

Orang Melayu tidak rela menjadi hamba abdi British melalui penubuhan Malayan Union.

Menurut Tengku, walaupun mempunyai semangat kebangsaan yang kuat, orang Melayu tidak rasis malah telah menerima kaum lain dengan tangan terbuka.

Ramai orang muda yang tidak mengenali sejarah perjuangan negara bangsa. Ada yang bersikap angkuh terhadap mereka yang lebih dahulu merasa asam garam kehidupan, malah merasakan diri lebih bijak serta sudah cukup berpengalaman.

Ramai juga yang bersikap tidak peduli serta tidak mengambil berat akan sejarah negara.

Generasi muda harus kembali kepada sejarah asas perjuangan orang Melayu supaya roh perjuangan asal kita tidak hilang ditelan zaman.


Rencana berkaitan: