سلطان سلاڠور لارڠ ݢونا کلمة الله دالم اڤ٢ ڤرچيتقن کريستيان

Baca versi Rumi di sini.

سلطان سلاڠور⹁ سلطان شرف الدين ادريس شاه برتيته ملارڠ ڤڠݢوناءن کلمة الله دالم کيتب باءيبل ترجمهن بهاس ملايو اتاو ڤرچيتقن اڤ٢ بوکو دان توليسن اݢام کريستيان.

بݢيندا برتيته⹁ اي باݢي ممليهارا کلمة سوچي اومة إسلام ايت يڠ مان کلمة الله ايله کلمة سوچي اومة إسلام مرجوعع کڤد توهن يڠ مها اسا يڠ ممڤوڽاءي صفة٢ کسمڤورناءن.

“بيتا مڠاولاڠي ڤنديرين بيتا بهاوا کلمة الله ايله سواتو کلمة سوچي اومة إسلام دان هاڽ بوليه دݢوناکن اونتوق مرجوع کڤد توهن يڠ مها اسا يڠ ممڤوڽاءي صفة٢ کسمڤورناءن.

“کلمة الله سام سکالي تيدق بوليه دلتقکن دتمڤت يڠ ساله اتاو دݢوناکن سلاءين درڤد مقصود توهن يڠ مها اسا يڠ منجادي اسس ڤݢڠن عقيدة اومة إسلام. نامون دميکين سکيراڽ ڤرکاتاءن “توهن” دݢوناکن سباݢاي ترجمهن کڤد ڤرکاتاءن “God”⹁ بيتا تياد هالڠن اتس ڤڠݢوناءن ڤرکاتاءن “توهن” ترسبوت⹁” تيته بݢيندا دالم ساتو کڽاتاءن هاري اين.

ڤد 10 مچ لالو⹁ مهکمه تيڠݢي کوالا لومڤور مموتوسکن بهاوا کراجاءن تله ملاکوکن کسيلڤن دالم مڠلوارکن لارڠن ڤڠݢوناءن کلمة “الله” ڤد تاهون 1986 کڤس مشارکت بوکن إسلام.

جوسترو⹁ مهکمه سام مموتوسکن سأورڠ وانيتا کريستيان يڠ بربڠسا ملاناو برحق مڠݢوناکن کلمة “الله” اونتوق توجوان کأݢاماءن دان ڤنديديقن.

حکيم نور بي عريفن ممبنرکن تيندقن اوندڠ٢ اوليه جيل ائلن‌د دالم کملوت يڠ برلاروتن همڤير 13 تاهون.

ڤد 11 مي 2008⹁ چکرا ڤادت برجودول ‘چارا هيدوڤ دالم کراجاءن الله’⹁ ‘هيدوڤ بنر دالم کراجاءن الله’ دان ‘عبادة يڠ بنر دالم کراجاءن الله’⹁ تله درمڤس درڤد جيل ائلن‌د سباءيق دي تيبا دترمترمينل تمبڠ موره (ايل. سي. سي. تي.) دسڤڠ.

دالم ڤڠحکيمنڽ⹁ نور بي برکات ارهن اوليه کمنترين دالم نݢري ڤد 1986 اونتوق تيدق ممبنرکن ڤڠݢوناءن امڤت ڤرکاتاءن “الله⹁ بيت الله⹁ کعبة دان صلاة” مڽالهي اوندڠ٢ دان تيدق راسيونل.

“ڤڠݢوناءن ڤرکاتاءن ايت تيدق اکن مڠݢڠݢو کتنترامن عوام⹁” کاتڽ.

نور بي برکات ڤرکاتاءن ايت جوݢ بوليه دݢوناکن اونتوق توجوان ڤڠاجرن کران تله دݢوناکن لبيه 400 تاهون.

کراجاءن ڤرسکوتوان ڤد 15 مچ لالو مڠموکاکن رايوان مڠناءي حق مڠݢوناکن کلمة الله دکالڠن مشارکت بوکن براݢام إسلام کيني کڤريڠکت مهکمه رايوان.

ڤرکارا ايت دصحکن اوليه ڤݢوام چارا نݢارا عبد الرزاق موسا.

دالم ڤد ايت⹁ سلطان شرف الدين منݢسکن اي جوݢ اداله سلارس دڠن کڤوتوسن مهکمه ڤرسکوتوان ددالم کيس تيتولر رومن کيثوليک ارچبيشوڤ ءوف کوالا لومڤور ملاون منتري دالم نݢري ڤد تاهون 2014 دان فطوى يڠ دوارتاکن دنݢري سلاڠور ڤد 18 فيبرواري 2010 يڠ مڽاتاکن بهاوا کلمة الله تيدق بوليه دݢوناکن اتاو دساماکن ادڠن توهن باݢي اݢام٢ بوکن إسلام يڠ لاءين.

“اداله منجادي کواجيڤن باݢي اورڠ إسلام اونتوق مڽکت ڤڠݢوناءن کلمة الله جک ترداڤت اونسور٢ ڤڽالهݢوناءن اتاو ڤڠهيناءن ترهادڤ کلمة الله ترسبوت.

“بيتا منݢسکن بهاوا اداله منجادي تڠݢوڠجاوب سموا اومة إسلام تراوتاماڽ اومة إسلام دنݢري سلاڠور اونتوق منجاݢ کسوچين کلمة الله ڤد ستياڤ ماس دان ددالم اڤ جوا کأداءن سکاليڤون.

“بيتا جوݢ منيتهکن اݢر رعيت بيتا يڠ بوکن براݢام إسلام دنݢري سلاڠور سنتياس اکور دان مماتوهي لارڠن ڤڠݢوناءن کلمة الله سڤرتيمان يڠ دڤراونتوقکن دباوه ايناکمن اݢام بوکن إسلام (ڤڠاولن ڤرکمباڠن دکالڠن اورڠ إسلام⹁ 1988) يڠ تله دوارتاکن ڤد 7 جولاي 1988⹁” تيته بݢيندا.

تيته بݢيندا سباݢاي کتوا اݢام إسلام سلاڠور⹁ بݢيندا تتڤ اکن ممڤرتاهنکن کسوچين کلمة الله اين کران ممليهارا کسوچين کلمة الله اين اداله منجادي تونتوتن اݢام.

Sultan Selangor Larang Guna Kalimah Allah Dalam Apa-Apa Percetakan Kristian

Baca versi Jawi di sini.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah melarang pengunaan kalimah Allah dalam kitab Bible terjemahan Bahasa Melayu atau percetakan apa-apa buku dan tulisan agama Kristian

Baginda bertitah, ia bagi memelihara kalimah suci umat Islam itu yang mana kalimah Allah ialah kalimah suci umat Islam merujuk kepada Tuhan Yang Maha Esa yang mempunyai sifat-sifat kesempurnaan.

“Beta menegaskan bahawa penggunaan kalimah Allah dalam kitab Bible (terjemahan Bahasa Melayu) atau percetakan apa-apa buku-buku dan tulisan-tulisan agama Kristian di dalam apa-apa bentuk sekalipun yang mengandungi kalimah Allah tetap dilarang sama sekali penggunaannya di negeri Selangor.

“Beta mengulangi pendirian beta bahawa kalimah Allah ialah suatu kalimah suci umat Islam dan hanya boleh digunakan untuk merujuk kepada Tuhan yang maha esa yang mempunyai sifat-sifat kesempurnaan.

“Kalimah Allah sama sekali tidak boleh diletakkan di tempat yang salah atau digunakan selain daripada maksud Tuhan yang maha esa yang menjadi asas pegangan akidah umat Islam. Namun demikian sekiranya perkataan “Tuhan” digunakan sebagai terjemahan kepada perkataan “God”, beta tiada halangan atas penggunaan perkataan “Tuhan” tersebut,” titah baginda dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 10 Mac lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa kerajaan telah melakukan kesilapan dalam mengeluarkan larangan penggunaan kalimah “Allah” pada tahun 1986 kepada masyarakat bukan Islam.

Justeru, mahkamah sama memutuskan seorang wanita Kristian yang berbangsa Melanau berhak menggunakan kalimah “Allah” untuk tujuan keagamaan dan pendidikan.

Hakim Nor Bee Ariffin membenarkan tindakan undang-undang oleh Jill Ireland dalam kemelut yang berlarutan hampir 13 tahun.

Pada 11 Mei 2008, CD berjudul ‘Cara Hidup Dalam Kerajaan Allah’, ‘Hidup Benar Dalam Kerajaan Allah’ dan ‘Ibadah Yang Benar Dalam Kerajaan Allah’, telah dirampas daripada Jill Ireland sebaik dia tiba di Terminal Tambang Murah (LCCT) di Sepang.

Dalam penghakimannya, Nor Bee berkata arahan oleh Kementerian Dalam Negeri pada 1986 untuk tidak membenarkan penggunaan empat perkataan “Allah, Baitullah, Kaabah dan solat” menyalahi undang-undang dan tidak rasional.

“Penggunaan perkataan itu tidak akan mengganggu ketenteraman awam,” katanya.

Nor Bee berkata perkataan itu juga boleh digunakan oleh masyarakat untuk tujuan pengajaran kerana telah digunakan lebih 400 tahun.

Kerajaan Persekutuan pada 15 Mac lalu mengemukakan rayuan mengenai hak menggunakan kalimah Allah di kalangan masyarakat bukan beragama Islam kini ke peringkat Mahkamah Rayuan.

Perkara itu disahkan oleh Peguam Cara Negara Abdul Razak Musa.

Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin menegaskan ia juga adalah selaras dengan keputusan Mahkamah Persekutuan di dalam kes Titular Roman Catholic Archbishop of Kuala Lumpur melawan Menteri Dalam negeri pada tahun 2014 dan fatwa yang diwartakan di negeri Selangor pada 18 Februari 2010 yang menyatakan bahawa kalimah Allah tidak boleh digunakan atau disamakan dengan Tuhan bagi agama-agama bukan Islam yang lain.

“Adalah menjadi kewajipan bagi orang Islam untuk menyekat penggunaan kalimah Allah jika terdapat unsur-unsur penyalahgunaan atau penghinaan terhadap kalimah Allah tersebut.

“Beta menegaskan bahawa adalah menjadi tanggungjawab semua umat Islam terutamanya umat Islam di Negeri Selangor untuk menjaga kesucian kalimah Allah pada setiap masa dan di dalam apa jua keadaan sekalipun.

“Beta juga menitahkan agar rakyat beta yang bukan beragama Islam di negeri Selangor sentiasa akur dan mematuhi larangan penggunaan kalimah Allah sepertimana yang diperuntukkan di bawah Enakmen Ugama Bukan Islam (Pengawalan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam, 1988) yang telah diwartakan pada 7 Julai 1988,” katanya.

Titah baginda sebagai ketua agama Islam Selangor, baginda tetap akan mempertahankan kesucian kalimah Allah ini kerana memelihara kesucian kalimah Allah ini adalah menjadi tuntutan agama. -{Malaysiakini]

اوندي 18: ءون ک تق ءون؟

Baca versi Rumi di sini.

سباݢاي سأورڠ بليا⹁ ايسو اوندي 18 امت دکت دهاتي ساي. ساي تله بايق منوليس تنتڠ حال اين سبلوم رڠ اوندڠ٢ ترسبوت دلولوسکن ڤد تاهون 2019.

کتيک ايت⹁ ڤارا ڤميمڤين ڤوليتيک درڤد سموا ڤرتي ڤوليتيک تله برساتو مڽوکوڠ اوندي 18⹁ خصڽ ارمادا يڠ ممڤرجواڠکن هق اورڠ مودا. انتارا الاسنڽ ايله حال اين سلارس دڠن عملن ديموکراسي دنيا.

مک ڤد 16 جولاي 2019⹁ ديوان رعيت تله ملولوسکن رڠ اوندڠ٢ ڤرلمباݢاءن (ڤينداءن) 2019 باݢي منورونکن هد عمور مڠاوندي⹁ ڤندفترن ڤڠاوندي اءوتوماتيک⹁ دان منورونکن عمور چالون برتنديڠ ڤيليهن راي کڤد 18 تاهون.

باريسن اهلي ڤرليمن کراجاءن دان ڤمبڠکڠ منچيڤتا سجاره اڤابيلا مڽوکوڠ ماجوريتي لبيه دوا ڤرتيݢ باݢي ملولوسکن رڠ اوندڠ٢ (ڤينداءن) 2019⹁ دديوان رعيت⹁ ثلاث. سڤيکر داتوء محمد عريف محمد يوسف کتيک مڠعمومکن ڤرکارا ايت برکات⹁ سراماي 211 اهلي مڽوکوڠ⹁ ملبيهي جومله يڠ دڤرلوکن ياءيت 148 اورڠ.

عيم.ستار – سجاره ترچيڤتا⹁ ڤرليمن لولوس رڠ اوندڠ٢ اوندي 18 تاهون – 16 جولاي 2019

ڤد 25 جولاي 2019⹁ ديوان نݢارا ملولوسکن رڠ اوندڠ٢ ترسبوت دڠن ماجوريتي دوا ڤرتيݢ.

ڤينداءن برکناءن ممڤراوليه سوکوڠن 47 درڤد 68 اهلي ديوان نݢارا ياءيت ملبيهي دوا ڤرتيݢ اوندين ماجوريتي يڠ دڤرلوکن⹁ سلڤس 24 سيناتور مڠامبيل بهاݢين دالم سيسي ڤربحثن.

هارين ميترو – ديوان نݢارا لولوس عمور مڠاوندي 18 تاهون – 25 جولاي 2019

مک بليا دسلوروه نݢارا دڠن ݢمبيرا مراعيکن حال اين دان راماي يڠ برچيتا-چيتا اونتوق مڠاوندي ڤدد ڤ.ر.ع. 15.

منتري دجابتن ڤردان منتري (حال احوال اوندڠ٢)⹁ تقي الدين حسن ڤد نوۏيمبر 2020⹁ مڠصحکن بهاوا ڤراتورن بهارو اين اکن دتريما ڤاکاي سليوات-ليواتڽ جولاي تاهون اين.

مڽديهکن لاݢي⹁ کباکڠن اين کدڠرڠ ڤولا کڽاتاءن ببراڤ ڤميمڤين کراجاءن ممڤرسوءالکن ايسو يڠ تله دڤوتوسکن اوليه مريک سنديري.

کنڤ سهيڠݢ باݢاي رومه سياڤ ڤاهت بربوڽي؟

کماتڠن ڤارا بليا اونتوق ممبوات ڤيليهن تله دڤرسوءالکن. والحال⹁ دوا تاهون يڠ لالو ڤارا ڤميمڤين برڤنداڤت بهاوا بليا براوسيا 18 تاهون تله ماتڠ اونتوق مڠاوندي.

دالم سيتواسي اين⹁ راماي يڠ ريساو اڤاکه اسڤيراسي اوندي 18 يڠ تله دجنجيکن اکن ترچاڤاي؟

بليا ترتاڽ-تاڽ⹁ اونتوق ڤ.ر.ع. 15⹁ اوندي 18 ءون ک تق ءون؟

Undi 18: On ke Tak On?

Baca versi Jawi di sini.

Sebagai seorang belia, isu Undi 18 amat dekat di hati saya. Saya telah banyak menulis tentang hal ini sebelum RUU tersebut diluluskan pada tahun 2019.

Ketika itu, para pemimpin politik daripada semua parti politik telah bersatu menyokong Undi 18, khasnya Armada yang memperjuangkan hak orang muda. Antara alasannya ialah hal ini selaras dengan amalan demokrasi dunia.

Maka pada 16 Julai 2019, Dewan Rakyat telah meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had umur mengundi, pendaftaran pengundi automatik, dan menurunkan umur calon bertanding pilihan raya kepada 18 tahun.

Barisan Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang mencipta sejarah apabila menyokong majoriti lebih dua pertiga bagi meluluskan Rang Undang-undang (Pindaan) 2019, di Dewan Rakyat, Selasa.Speaker Datuk Mohamad Ariff Md Yusof ketika mengumumkan perkara itu berkata, seramai 211 ahli menyokong, melebihi jumlah yang diperlukan iaitu 148 orang.

MStar – Sejarah tercipta, Parlimen lulus RUU undi 18 tahun -16 Julai 2019

Pada 25 Julai 2019, Dewan Negara meluluskan RUU tersebut dengan majoriti dua per tiga.

Pindaan berkenaan memperoleh sokongan 47 daripada 68 ahli Dewan Negara iaitu melebihi dua pertiga undian majoriti yang diperlukan, selepas 24 senator mengambil bahagian dalam sesi perbahasan.

Harian Metro – Dewan Negara lulus umur mengundi 18 tahun – 25 Julai 2019

Maka belia di seluruh negara dengan gembira meraikan hal ini dan ramai yang bercita-cita untuk mengundi pada PRU15.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-undang), Takiyuddin Hassan pada November 2020, mengesahkan bahawa peraturan baharu ini akan diterima pakai selewat-lewatnya Julai tahun ini.

Menyedihkan lagi, kebelakangan ini kedengaran pula kenyataan beberapa pemimpin kerajaan mempersoalkan isu yang telah diputuskan oleh mereka sendiri.

Kenapa sehingga bagai ‘rumah siap pahat berbunyi’?

Kematangan para belia untuk membuat pilihan telah dipersoalkan. Walhal, dua tahun yang lalu para pemimpin berpendapat bahawa belia berusia 18 tahun telah matang untuk mengundi.

Dalam situasi ini, ramai yang risau apakah aspirasi Undi 18 yang telah dijanjikan akan tercapai?

Belia tertanya-tanya, untuk PRU 15, Undi 18 on ke tak on?