Sultan Johor, Sultan Ibrahim ibni Sultan Iskandar hari ini menitahkan bahawa kalimah Allah hanya boleh digunakan bagi tujuan agama Islam sahaja, seperti yang telah difatwakan dahulu.
Menerusi sebuah kenyataan akhbar yang dikeluarkan hari ini, Baginda sekali lagi menegaskan bahawa tuhan agama lain bukan Allah, kerana Allah SWT berfirman dalam ayat 14 Surah Taha bahawa tiada tuhan melainkan Allah.
Kalimah “Allah” merupakan nama yang khusus kepada Tuhan yang disembah oleh umat Islam. Nama “Allah” ini diberi oleh diri-Nya, bukan berasal daripada mana-mana akar kata, tetapi kata nama khas yang merujuk kepada Allah, Tuhan Yang Maha Esa, Tuhan yang disembah oleh umat Islam. Firman Allah SWT dalam surah Taha ayat 14 yang bermaksud: “Sesungguhnya Akulah Allah; tiada Tuhan melainkan Aku; oleh itu, sembahlah akan Daku, dan dirikanlah solat untuk mengingati Daku”.
Baginda Sultan Johor mengingatkan semula bahawa sebagai Ketua Agama Islam di Negeri Johor, Baginda menjaga sensitiviti umat Islam di negeri itu.
Apabila timbul kembali isu penggunaan kalimah Allah untuk digunakan pada tuhan yang lain daripada maksud yang sebenar, saya merasa amat dukacita kerana perkara ini boleh menimbulkan perbalahan dan persepsi yang kurang elok terhadap keharmonian Bangsa Johor yang hidup bermuafakat di dalam satu negeri. Adalah perlu sensitiviti umat Islam dan kesepakatan hidup berbilang kaum dan agama ini diambil kira dalam apa jua keputusan atau penghakiman kerana isu-isu sensitif ini sangat dekat di hati saya selaku Ketua Agama Islam di Negeri Johor khususnya apabila isu tersebut berkait rapat di dalam ruang sempadan agama Islam.
Baginda turut menyeru Kerajaan Persekutuan untuk meneruskan rayuan dalam prosiding ini, dan mengarahkan Majlis Agama Islam Negeri Johor untuk mengambil apa-apa tindakan yang perlu bagi menyokong usaha rayuan tersebut.
Selaku Ketua Agama Islam di negeri Johor, saya menyeru kepada Kerajaan Persekutuan agar meneruskan rayuan dalam prosiding ini. Malah, saya akan mengarahkan Majlis Agama Islam Negeri Johor mengambil apa-apa tindakan yang perlu dan wajar bagi menyokong usaha-usaha rayuan ini.


Reblogged this on Karim’s Blog.
LikeLike