Nampaknya Ku Li Masih Berbisa

Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah terkenal sebagai seorang ‘nononsense leader‘ atau pemimpin tegas yang sangat dihormati. Jarang bersuara keras dan berbahasa kasar; Tengku biasanya lebih suka mendengar daripada bersuara.

Saya sangat menghormati sikap rendah diri Tengku. Malah tidak ramai rakyat yang tahu, apatah lagi menghargai jasa Tengku membina ekonomi negara pada ketika negara baru dibentuk.

Setelah lama berada di luar pentadbiran negara, ramai yang menganggap Tengku sudah tidak lagi berpengaruh. Namun hakikatnya, Tengku Razaleigh Hamzah masih berbisa dan kata-kata beliau masih mendapat perhatian dan digeruni.

Baru-baru ini ketika ditemu bual akhbar The Malaysian Insight, Tengku telah mengandaikan PAS bagai “pelacur politik” merujuk kepada tindakan dan langkah politik yang diambil parti itu.

Nampaknya, kata-kata Tengku masih mampu membuatkan ramai tersentap. Kecuh orang politik memperkatakan hal ini; seperti biasa, ada yang menyokong dan ada yang menghentam.

Sila baca: Di Sebalik Kemelut Politik, Ramai Gesa Ku Li Dilantik Jadi PM

Saya membaca berbagai-bagai komen di media sosial. Menariknya, hanya kenyataan tersebut yang mendapat liputan.

Banyak isi penting yang diperkatakan Tengku dalam temu bual tersebut, namun tidak langsung disebut; apatah lagi diulas. Mungkin ramai yang belum berpeluang mendengar keseluruhan temu bual tersebut.

Bagi pihak yang marah, ada yang menghentam dan sehingga menuduh Tengku melabelkan PAS sebagai pelacur; walhal pada hakikatnya ‘pelacur politik’ dan ‘pelacur’ membawa maksud dan implikasi yang berbeza.

Bagi yang menyokong Tengku pula, mereka melihat andaian itu dibuat kerana pendirian dan tindakan PAS yang dilihat sering berubah hala tuju serta telah bersama dengan mereka yang membawa wadah-wadah politik yang berbeza ideologinya demi mencapai matlamat.

Ramai juga yang mengatakan Tengku lebih mengenali PAS berbanding sesetengah pemimpin UMNO lain memandangkan Tengku pernah bekerjasama dengan PAS semasa beliau menerajui Semangat 46. Tengku Razaleigh telah membantu PAS mengalahkan Barisan Nasional di Kelantan ketika mereka berada di bawah gabungan Angkatan Perpaduan Ummah.

Sila baca: Adakah Ini Kebenaran Di Sebalik Penubuhan Semangat 46?

Pada masa yang sama, UMNO juga sering dilabelkan dengan pelbagai nama dan gelaran yang lebih jelik oleh pelbagai pihak.

Kenyataan Tengku sebagai tokoh yang telah lama merasa asam garam ini dapat diinterpretasikan dengan pelbagai cara. Saya melihat teguran Tengku itu sebagai satu metafora kepada sikap politik dan bukannya ‘plain speech‘ atau percakapan yang membawa maksud terus terang. Jika kita mengatakan seseorang itu ibarat ‘lipas kudung’, bukan bermakna orang itu kudung atau seekor lipas.

Semua orang mempunyai pandangan yang berbeza; namun semua perhatian ini membuktikan suara Tengku Razaleigh masih berbisa, didengar dan dipandang oleh rakyat.

%d bloggers like this: