ليما اهلي ڤرليمن ڤ.ک.ر. تريما اوݢوتن & سوݢوقن: انوار

کتوا ڤمبڠکڠ⹁ داتوء سري انوار ابراحيم منددهکن بهاوا ليما درڤد اهلي ڤرليمن ڤرتي ايت منريما اوݢوتن دان سوݢوقن سباݢاي ‘اومڤن’ اونتوق مناريق دوکوڠن (سوکوڠن) مريک.

جلس انوار⹁ اوݢوتن تربابيت هاڽ اونتوق مندرا اهلي ڤرليمن ڤمبڠکڠ اݢر مڽاتکن سوکوڠن ڤد ڤيهق ترتنتو.

“دالم کيس س.ڤ.ر.م. يڠ تربارو⹁ ميمڠ ڽات اي جادي سنجاتا ڤوليتيک. کالاو لومڤت⹁ سياستن دتڠݢوه⹁ کامو تتڤ ددرا.

“ساي ڤاݢي ايسوق اکن توليس ڤد کتوا ڤسوروجهاي س.ڤ.ر.م.⹁ داتوء سري اعظم باکي ممينتا ڤرتموان اونتوق جلسکن حال سدميکين.

“سلاءين يڠ برهورمت ندرة (ندرة اسماعيل – سکيجڠ)⹁ (اهلي ڤرليمن) ڤادڠ سراي⹁ سوڠاي سيڤوت⹁ ڤوتاتن⹁ ميري ميمڠ سبوت اد يڠ مريک بري اوݢوتن اتاو ڤلاوا دڠن ڤلباݢاي سوݢوقن دان اومڤن اونتوق مناريق دوکوڠن مريک⹁” دده انوار لاݢي.

اوجرڽ⹁ سموا ڤميمڤين ڤ.ک.ر. دڤريڠکت ڤوست دان نݢري سنتياسا مڽوکوڠ اݢيندا ممبنترس جنايه.

نامون تݢس انوار⹁ جک اوݢوتن دبوات دمي منکن ببراڤ اهلي ڤرليمن ڤمبڠکڠ اݢر منداڤت سوکوڠن⹁ کاتڽ ايت اداله ڤوليتيک ڤنيڤوان.

“ساي نق تݢسکن دسيني⹁ دڠن تاريق ليما اتاو انم اورڠ کڤرليمن ڤون بلوم چوکوڤ 110 اهلي ڤرليمن.

“اين ساي ڤستي دڠن کڽاتاءن يڠ جلس⹁” کاتڽ لاݢي.

دالم ڤرکمبڠن برکاءيتن⹁ انوار توروت منددهکن بهاوا ترداڤت منتري کانن برتمو دڠن اهلي ڤرليمن کوالا لاڠت⹁ دوکتور سيۏيئر جايکومر سبلوم اهلي ڤرليمن ايت مڠعمومکن کلوار ڤ.ک.ر. بارو٢ اين.

“دي (دوکتور سيۏيئر) جومڤ ساي سميڠݢو سبلوم ايت⹁ دي جومڤ ساي دان سبوت فصل مسئله يڠ دي هادڤي.

“ساي بريتاهو دي⹁ جڠن ريساو جک دي تيدق برساله⹁ کيت (ڤ.ک.ر.) اکن ڤرتاهن دي.

“کمودين دي چاکڤ⹁ دي برجومڤ دڠن منتري کانن يڠ جوݢ مڠاوݢوت دي⹁” کات انوار لاݢي.

سبلوم اين⹁ دوکتور سيۏيئر دالم ساتو کڽاتاءن ميديا ممعلومکن بلياو ملتقکن جاوتن سباݢاي ناءيب ڤريسيدن ڤ.ک.ر. دان کلوار دري ڤرتي ايت برکوات کواس سرتا-مرتا ڤد 13 مچ لالو.

منوروتڽ⹁ تيندقن ايت دبوات سلڤس بلياو کچيوا ترهادڤ سيتواسي ڤوليتيک يڠ برلاکو دنݢارا اين.

دالم ڤد ايت⹁ دوکتور سيۏيئر توروت مڠعمومکن مڽوکوڠ کراجاءن ڤريکتن ناسيونل.

Lima MP PKR Terima Ugutan & Sogokan: Anwar

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan bahawa lima daripada Ahli Parlimen parti itu menerima ugutan dan sogokan sebagai ‘umpan’ untuk menarik dukungan (sokongan) mereka.

Jelas Anwar, ugutan terbabit hanya untuk mendera Ahli Parlimen Pembangkang agar menyatakan sokongan kepada pihak tertentu.

“Dalam kes SPRM yang terbaru, memang nyata ia jadi senjata politik. Kalau lompat, siasatan ditangguh, kamu tetap didera.

“Saya pagi esok akan tulis pada Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki meminta pertemuan untuk jelaskan hal sedemikian.

“Selain Yang Berhormat Natrah (Natrah Ismail – Sekijang), (Ahli Parlimen) Padang Serai, Sungai Siput, Putatan, Miri memang sebut ada yang mereka beri ugutan atau pelawa dengan pelbagai sogokan dan umpan untuk menarik dukungan mereka,” dedah Anwar lagi.

Ujarnya, semua pemimpin PKR di peringkat pusat dan negeri sentiasa menyokong agenda membanteras jenayah.

Namun tegas Anwar, jika ugutan dibuat demi menekan beberapa Ahli Parlimen Pembangkang agar mendapat sokongan, katanya itu adalah politik penipuan.

“Saya nak tegaskan disini, dengan tarik lima atau enam orang ke Perikatan Nasional (PN), dia belum lagi dapat majoriti.

“Sekarang dia (PN) dapat tiga Ahli Parlimen, (jika) enam Ahli Parlimen pun belum cukup 110 Ahli Parlimen.

“Ini saya pasti dengan kenyataan yang jelas,” katanya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Anwar turut mendedahkan bahawa terdapat Menteri Kanan bertemu dengan Ahli Parlimen Kuala Langat, Dr Xavier Jayakumar sebelum Ahli Parlimen itu mengumumkan keluar PKR.

“Dia (Dr Xavier) jumpa saya seminggu sebelum itu, dia jumpa saya dan sebut pasal masalah yang dia hadapi.

“Saya beritahu dia, jangan risau jika dia tidak bersalah, kita (PKR) akan pertahankan dia.

“Kemudian dia cakap, dia berjumpa dengan Menteri Kanan yang juga mengugut dia,” kata Anwar lagi.

Sebelum ini, Dr Xavier dalam satu kenyataan media memaklumkan beliau meletakkan jawatan sebagai Naib Presiden PKR dan keluar dari parti itu berkuat kuasa serta-merta pada 13 Mac lalu.

Menurutnya, tindakan itu dibuat selepas beliau kecewa terhadap situasi politik yang berlaku di negara ini.

Dalam pada itu, Dr Xavier turut mengumumkan menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN). -{Astro Awani]