منتري اݢام: ايسو کلمة الله ترلالو اول اونتوق دبيچڠ

Baca versi Rumi di sini.

منتري دجابتن ڤردان منتري (حال احوال اݢام) سيناتور داتوء سري ذو الکفل محمد البکري برکات⹁ ماسيه ترلالو اول اونتوق ڤيهقڽ مڠاولس برهوبوڠ کڤوتوسن مهکمه ممبنرکن ڤڠݢوناءن کلمة الله دان تيݢ ڤرکاتاءن لاءين دالم ڤنربيتن اݢام کريستيان دنݢ‮ارا اين.

اوجرڽ‮⹁ ڤرکارا ايت ممرلوکن ڤربينچڠن دالمن داري سموا اسڤيک ترماسوق اوندڠ٢ داب ڤندڠن ڤلباݢاء ڤيهق.

“يڠ اين ساي توڠݢو دولو⹁ ساي ماهو بينچڠ دالم ماس تردکت اين. اي مليبتکن ڤربينچڠن دالمن دولو دان کمودين کيت ليهت (ڤڽلسا‮ين) يڠ ترباءيق.

“ساي کنا تيڠوق دري سݢي سموا اسڤيک⹁ دري سݢي اوندڠ٢⹁ اݢام کيت⹁ دان ڤندڠن٢ ترداهولو دان متاخير. سناو ايت کيتا اکن تيڠوق⹁ ان شاء الل‮ه. ترلالو اول ساي نق کومين⹁” کاتڽ.

بلياو برکات دميکين سباݢاي مڠاولس لاڤورن برهوبوڠ مهکمه تيڠݢي يڠ مموتوسکن ڤڠانوت اݢام کريستيان بوليه مڠݢوناکن کلمة الله دان تيݢ ڤرکاتاءن لاءين⹁ دالم ڤنربيتن اݢام ايت⹁ او‮نتوق ڤنديديقن دالم کومونيتي مريک.

سلاءين کلمة الله⹁ ڤڠݢوناءن ڤ‮رکاتاءن ياءيت صلاة⹁ کعبة دان بيت الله جوݢ دبنرکن کڤد اورڠ کريستيان.

ترداهولو⹁ ميديا ملاڤورکن موافقت ناسيونل مڽاتکن کڤريهاتينن يڠ امت سيريوس کأتس کڤوتوسن مهکمه تيڠݢي يڠ منبنرکن کلمة٢ إسلام اوليه ‮بوکن إسلام ددالم ڤنربيتن ماسيڠ٢.

سهوبوڠن ايت⹁ مشوارت موافقت ناسيونل يڠ برلڠسوڠ مالم تادي مڠݢسا کراجاءن مرايو اونتوق ممباوا ڤڠحاکيمن ايت کمهکمه راي‮وان.

Menteri Agama: Isu Kalimah Allah Terlalu Awal Untuk Dibincang

Baca versi Jawi di sini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Seri Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, masih terlalu awal untuk pihaknya mengulas berhubung keputusan mahkamah membenarkan penggunaan kalimah Allah dan tiga perkataan lain dalam penerbitan agama Kristian negara ini.

Ujarnya, perkara itu memerlukan perbincangan dalaman dari semua aspek termasuk undang-undang dan pandangan pelbagai pihak.

“Yang ini saya tunggu dulu, saya mahu bincang dalam masa terdekat ini. Ia melibatkan perbincangan dalaman dulu dan kemudian kita lihat (penyelesaian) yang terbaik.

“Saya kena tengok dari segi semua aspek, dari segi undang-undang, agama kita dan pandangan-pandangan terdahulu dan mutakhir. Semua itu kita akan tengok, Insya-Allah. Terlalu awal saya nak komen,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan berhubung Mahkamah Tinggi yang memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan lain, dalam penerbitan agama itu, untuk pendidikan dalam komuniti mereka.

Selain kalimah Allah, penggunaan perkataan iaitu solat, Kaabah dan Baitullah juga dibenarkan kepada orang Kristian.

Terdahulu, media melaporkan Muafakat Nasional (MN) menyatakan keprihatinan yang amat serius ke atas keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan kalimah-kalimah Islam oleh orang bukan Islam di dalam penerbitan masing-masing.

Sehubungan itu, mesyuarat MN yang berlangsung malam tadi menggesa kerajaan merayu untuk membawa penghakiman itu ke Mahkamah Rayuan.-{Astro Awani]

MN Desak Kerajaan PN Bawa Kes Kalimah Allah Ke Mahkamah Rayuan

Mesyuarat Jawatankuasa Perunding Muafakat Nasional (MN) yang berlangsung malam ini, menggesa kerajaan membawa keputusan penghakiman berhubung isu penggunaan kalimah Islam ke Mahkamah Rayuan.

Menerusi kenyataan dikeluarkan MN, gabungan itu menyatakan keprihatinan amat serius terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan penggunaan kalimah-kalimah Islam oleh orang bukan Islam dalam penerbitan masing-masing.

“Mesyuarat juga menggesa kerajaan Persekutuan untuk mengambil inisiatif menyegerakan pelaksanaan pengharmonian sistem perundangan negara dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan mesyuarat juga bersetuju untuk terus mengukuhkan MN.

Kenyataan media itu diedarkan Setiausaha Agung Umno merangkap Setiausaha Agung MN Datuk Seri Ahmad Maslan menerusi aplikasi Whatsapp dan laman Twitternya.

Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini memutuskan bahawa penganut agama Kristian di seluruh negara boleh menggunakan kalimah ‘Allah’ dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan agama mereka untuk tujuan pendidikan.

Tiga perkataan itu ialah Baitullah, Kaabah dan solat.

Ini susulan keputusan Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Nor Bee Ariffin, yang bersidang sebagai Hakim Mahkamah Tinggi, membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh wanita suku kaum Melanau dari Sarawak yang beragama Kristian, Jill Ireland Lawrence Bill.

Terdahulu mesyuarat MN berkenaan antara Umno dan PAS berlangsung kira-kira tiga jam di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di Kuala Lumpur, antara lain membincangkan agenda pemerkasaan gabungan itu.

Mesyuarat dipengerusikan bersama Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan dan rakan sejawatnya dari PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan disertai 12 ahli pimpinan tertinggi masing-masing dari kedua-dua parti. -{BERNAMA]

%d bloggers like this: