SPM Bakal Dirombak

Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) mengesahkan telah memulakan langkah melakukan transformasi terhadap sistem dan pensijilan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) yang telah berusia lebih 50 tahun.

Pengarah Peperiksaan LPM, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Datuk Pkharuddin Ghazali berkata, perbincangan di peringkat lembaga dan kementerian sedang dibuat dalam usaha memastikan sistem SPM bersesuaian dengan perkembangan zaman khususnya teknologi maklumat yang begitu laju.

“Pemikiran ke arah penambahbaikan sistem pentaksiran sedang dibuat melihat kepada perkembangan semasa dan trend pentaksiran masa kini,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Menurutnya, kajian dan penglibatan dengan pihak-pihak berkepentingan termasuk pakar-pakar perlu diadakan sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Ini bagi memastikan kita mendapatkan input sebelum perkara ini diumumkan.

“Pensijilan SPM adalah berkait dengan pengiktirafan di peringkat antarabangsa. Justeru, sebarang perubahan perlu berlaku secara teratur dengan mengambil kira pengiktirafan sijil kita (SPM) di peringkat antarabangsa,” katanya.

Mengulas lanjut, Pkharuddin berkata, pentaksiran sememangnya mempunyai banyak kaedah berdasarkan mata pelajaran tertentu.

“Jadi itu yang kita sedang teliti dan fikirkan kaedah bersesuaian dan memerlukan sedikit masa.

“Malah, LPM turut melihat kemudahan teknologi yang ada masa kini. Kaedah itu boleh ditambah baik dan menjadi faktor pertimbangan kita dalam perbincangan itu nanti,” katanya.

Dalam pada itu, Pkharuddin berkata, LPM mengambil maklum pandangan pihak tertentu dan masyarakat yang mahukan transformasi dilakukan terhadap pentaksiran SPM yang telah berusia 50 tahun itu.

“Jadi insya-ALLAH kita akan ambil senario semasa sebagai langkah untuk memikirkan kaedah penambahbaikan dalam sistem taksiran.

“Cuma belum sampai masa untuk kita kata bagaimana kaedah semua itu,” katanya. -{Sinar Harian]