Rasuah Berleluasa Hingga Masuk Pintu Rumah

Baca versi Jawi di sini.

Mutakhir ini, isu rasuah kembali menjadi topik yang hebat diperkatakan di pelbagai media.

Masalah ini tidak sepatutnya timbul jika kita patuh akan perintah Allah.

Baik bilis atau jerung, semuanya salah di sisi Islam.

Ramai yang menuding jadi menyalahkan orang lain, ada golongan muda yang hanya menyalahkan golongan senior, walhal orang muda juga terlibat dalam rasuah.

Ada yang memberi alasan mereka tiada pilihan dan terpaksa memberi rasuah; ada pula yang mendakwa mereka terpaksa meminta rasuah untuk mencukupkan belanja.

Nilai hidup moden yang terlalu mementingkan kejayaan material telah meminggirkan aspek pembangunan spiritual dalam diri kanak-kanak yang akhirnya menjadikan mereka membesar tanpa perasaan peka akan hinanya perbuatan rasuah.

Ibu bapa yang terlalu bersifat materialistik kurang mementingkan aspek didikan nilai-nilai murni dan kerohanian serta usaha membentuk sahsiah diri anak-anak kerana ini semua dianggap perkara remeh.

Malah, tidak hairan apabila ada anak-anak yang menilai kasih sayang ibu bapa mereka berdasarkan nilai material; kerana itulah cara mereka dibesarkan.

Tanpa daya tahan yang utuh, ramai yang tersasar apabila melihat peluang luas terbuka di depan mata.

Dan lebih malang lagi, secara tidak sedar, perbuatan bersifat rasuah juga kadang-kala berlaku antara anggota keluarga, sama ada untuk mendapatkan sokongan, kasih sayang atau apa sahaja.

Tidak semua perkara boleh diajar di sekolah sahaja tanpa asuhan daripada ibu bapa. Tambahan, nilai murni yang diajar di sekolah tidak akan memberi makna jika nilai-nilai ini tidak dipraktikkan dalam kehidupan mereka sehari-hari di rumah.

Melentur buluh, biarlah dari rebungnya. Ibu bapa mesti menunjukkan contoh yang baik serta selalu berbincang dengan anak-anak tentang perkara-perkara begini sejak awal lagi.

Pelbagai kempen tidak akan bermakna tanpa keinsafan dan iman yang teguh.

%d bloggers like this: