PPBM Mahu Kekalkan PN, Tidak Mahu PRU

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mahu mengekalkan pimpinan kerajaan Perikatan Nasional, dan tidak mahu mengadakan Pilihan Raya Umum dalam masa terdekat ini, kata Ketua Penerangannya Wan Saiful Wan Jan.

Menerusi sebuah kenyataan akhbar selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi parti tersebut malam semalam, Wan Saiful berkata Pilihan Raya Umum hanya wajar diadakan apabila perkembangan pandemik Covid-19 berada pada tahap terkawal.

Selain daripada itu, parti itu juga bersetuju untuk mengadakan satu siri Jelajah Bersatu 2021 dalam masa terdekat bagi memberi penerangan berkenaan isu semasa.

Mesyuarat PPBM Tentang Banjir, Covid; Kenyataan Esok

Mesyuarat Parti Pribumi Bersatu Malaysia hanyalah tentang kepentingan rakyat termasuk isu banjir dan Covid-19.

Perkara itu dikatakan oleh Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Ahmad Faizal Azumu sebentar tadi ketika ditemui wartawan di luar pejabat parti itu.

Ketua Armada, Senator Wan Ahmad Fayhsal pula memaklumkan kepada pihak akhbar bahawa parti itu akan mengeluarkan sebuah kenyataan pada pagi esok.

Berita lanjut menyusul esok.

Mesyuarat MKT: UMNO Bincang Putus Hubungan Dengan PPBM PRU15

Majlis Kerja Tertinggi UMNO telah membincangkan usul-usul yang dibangkit Mesyuarat Perwakilan Bahagian UMNO baru-baru ini, termasuk untuk memutuskan hubungan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pada Pilihan Raya Umum ke-15 nanti.

Hal itu disahkan oleh Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan dalam sebuah kenyataan akhbar bertulis yang dikeluarkan sebentar tadi, selepas mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi parti itu.

Perbincangan tersebut dibuat ketika Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang diadakan sebentar tadi bagi membincangkan beberapa hal termasuk usul-usul lain seperti untuk memperkukuhkan kerjasama UMNO-PAS melalui Muafakat Nasional, dan mendesak PRU15 diadakan dalam suku pertama tahun ini.

Kesemua hal ini akan dibawa ke Perhimpunan Agung UMNO nanti yang akan diadakan pada 31 Januari 2021.

Terdahulu, UMNO telah mengadakan sebuah mesyuarat biro politik yang melibatkan pengerusi badan-badan perhubungan parti tersebut, dan adalah dipercayai bahawa ia juga telah membincangkan hal ini sekali.

%d bloggers like this: