Ahli Parlimen Gerik Meninggal Dunia

Ahli Parlimen Gerik, Datuk Hasbullah Osman, 63, meninggal dunia pada pukul 7 petang tadi di Raub, Pahang dipercayai akibat serangan jantung.

Perkara itu disahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Hulu, Datuk Aznel Ibrahim.

Menurutnya, berdasarkan maklumat daripada isteri Hasbullah, Ahli Parlimen Gerik itu mengadu sakit perut dan dibawa ke sebuah klinik untuk pemeriksaan.

Beliau berkata, isterinya masuk ke dalam klinik dan membuat pendaftaran untuk rawatan dan kembali semula ke kereta.

“Saya dimaklumkan, sebaik sahaja isterinya sampai di kereta, didapati Hasbullah dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Anak kecil yang dipangkunya jatuh ke bahagian kaki. Petugas kesihatan segera memberikan rawatan kecemasan namun beliau gagal diselamatkan,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, difahamkan jenazah Hasbullah kini dibawa ke Hospital Raub. –{Utusan Digital]

2 ADUN PAN Nafi Keluar Parti Untuk Sertai PKR?

Selepas Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Meru, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar diisytihar keluar Amanah, muncul spekulasi dikaitkan dua Adun berhubung hal yang sama.

Mereka ialah Adun Morib, Hasnul Baharuddin dan Adun Hulu Kelang, Saari Sungib yang dikatakan akan keluar parti untuk menyertai PKR.

Bagaimanapun, kedua-duanya menafikan spekulasi bahawa mereka akan mengikuti jejak Fakhrulrazi.

“Tak betul tu (dakwaan sertai PKR). Tadi ada orang hantar kepada saya nombor keahlian (dalam PKR), saya memang tidak pernah isi apa-apa borang atau bagi maklumat diri untuk menyertai PKR dan itu memang tidak betul.

“Saya nafikan keahlian tersebut dan masih setia dengan parti saya,” kata Hasnul.

Sementara itu, Shari turut menolak dakwaan tersebut dan berkata tiada sebab untuk dia melompat parti dalam satu gabungan.

“Saya nafikan. Buat apa nak lompat parti sesama kawan (gabungan),” katanya.

Untuk rekod, gabungan Pakatan Harapan (PH) sehingga kini merangkumi parti dari DAP, PKR dan Amanah.

Terdahulu, Amanah Selangor dalam satu kenyataan mengesahkan Fakhrulrazi bukan lagi anggota parti itu.

Namun tidak lama selepas itu, Fakhrulrazi berkata dia tidak mengisytiharkan keluar parti sebaliknya perkara itu diumumkan Amanah sendiri.

Dia juga mengatakan tidak menerima sebarang notis dan hanya mendapat tahu mengenai hal itu melalui media sosial.

Ditanya apakah dia sudah menyertai PKR, Mohd Fakhrulrazi tidak mahu mengulas dan menjawab akan memberi penjelasan apabila “sampai masa”.

“Tak tahu. No comment. Sekarang lebih kepada fokus nak kerja sebagai Adun, sebab rakyat yang pilih. Saya kena selesaikan mandat itu.

“Nanti saya akan jelaskan bila sampai masa,” katanya lagi.

Sementara itu, Hasnul dan Saari turut menjelaskan bahawa mereka akan kekal bersama Amanah dan tidak akan menyertai PKR.

“Tidak (sertai PKR) dan setia dengan Amanah,” kata Hasnul. -{Malaysiakini]

%d bloggers like this: