BN Bincang Sama Ada Muhyiddin Perlu Letak Jawatan: Hishamuddin

Barisan Nasional (BN) akan mendapatkan pandangan daripada Ahli-Ahli Parlimen parti itu  mengenai sama ada wujud keperluan untuk Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan sebagai Perdana Menteri.

Bendahari Agung BN, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, beliau mahu mendapatkan padangan daripada rakan-rakannya dalam parti berhubung perkara tersebut petang ini.

“Itulah sebab kita bincangkan, saya mahu dengar pandangan BN,” katanya ringkas kepada media di Lobi Menara Dato Onn, PWTC di sini hari ini.

Beliau ditanya wartawan sama ada Muhyiddin perlu meletak jawatan susulan keputusan Majlis Raja-Raja yang menolak cadangannya untuk mengisytiharkan darurat.

Sementara itu, ketika ditanya adakah UMNO masih lagi menyokong Perikatan Nasional (PN), Hishammuddin yang juga Menteri Luar memberitahu, beliau tidak mengetahui tentang perkara berkenaan.

“Saya tidak tahu kita tunggu mesyuarat UMNO dulu,” ujarnya.

Terdahulu, Hishammuddin bersama beberapa lagi rakannya dalam Kabinet iaitu Khairy Jamaluddin, Tan Sri Annuar Musa, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Datuk Halimah Saddique tiba di PWTC selepas menghadiri mesyuarat Kabinet di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.

Ahli-ahli Parlimen lain mengambil pendekatan ‘mengunci mulut’ daripada menjawab pertanyaan yang diajukan oleh media yang telah berkumpul sejak pukul 12 tengahari tadi.

Ketika berita ini ditulis, beberapa Ahli Parlimen BN yang memegang jawatan menteri sudah berada di bangunan berkenaan untuk membincangkan isu politik semasa tanah air. –{MalaysiaGazette]

Ahli Kabinet Tinggalkan Perdana Putra: Apa Yang Dibincangkan?

Menteri-menteri kerajaan Perikatan Nasional mula meninggalkan pejabat Perdana Menteri di Putrajaya setelah selesai bermesyuarat bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Mesyuarat tersebut diadakan susulan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah yang menolak cadangan Muhyiddin untuk mengisytihar darurat di Malaysia.

Pemimpin-pemimpin parti komponen Perikatan Nasional dan Barisan Nasional yang hadir termasuk Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, bekas Presiden MIC S A Vigneswaran, dan Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin.

Kesemua ahli kabinet mengunci mulut dan tidak memberi apa-apa komen ketika meninggalkan Perdana Putra, dan enggan mendedeahkan isi kandungan mesyuarat tersebut.

Menteri Luar Negeri, Hishamuddin Hussein ketika ditahan wartawan di luar pagar Perdana Putra berkata bahawa beliau sedang bergegas ke PWTC untuk mesyuarat khas Ahli Parlimen Barisan Nasional di ibu pejabat UMNO.

Sila baca: Ahli Dewan Rakyat BN Bermesyuarat di PWTC

Ahli Dewan Rakyat BN Bermesyuarat di PWTC

Ahli-ahli parlimen BN bermesyuarat hari ini susulan keputusan Yang di-Pertuan Agong menolak cadangan darurat oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hari ini.

“Hari ini semua (perkara).

“Jadi mesyuarat hari ini, jika ada sebarang keraguan kita boleh tanya apa saja,” kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Zahidi Zainul Abidin di bangunan Umno di Kuala Lumpur.

Anggota parlimen Padang Besar berkata, mereka akan membincangkan situasi semasa, penolakan perintah darurat oleh Agong dan pandangan BN.

Zahidi juga berkata mereka akan membincangkan bagaimana membantu rakyat yang terjejas dengan Covid-19.

Mengulas sokongan terhadap Muhyiddin, dia berkata mereka masih bersama perdana menteri.

Dia tidak bersetuju dengan gesaan anggota Majlis Tertinggi Umno Mohd Puad Zarkashi supaya Muhyiddin meletakkan jawatan setelah cadadangannya ditolak Agong semalam.

Antara yang dilihat hadir termasuk bekas perdana menteri Najib Razak, veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah, anggota parlimen Pasir Salak MP Tajuddin Abdul Rahman dan timbalan speaker Dewan Rakyat yang juga anggota parlimen Pengerang Azalina Othman Said. -{Malaysiakini]

Insiden Pencemaran Sungai Kim Kim Dikhuatiri Berulang

Walaupun peris­tiwa pencemaran Sungai Kim Kim sudah setahun berlalu, situasi hampir sama berlaku di sebatang sungai berhampiran kawasan kejadian sekali gus me­ngundang kebimbangan penduduk Kampung Sungai Rinting C, di sini.

Para penduduk kampung tersebut dan kawasan sekitar mendakwa mereka menjadi mangsa terbaharu pencemaran alam sekitar yang berpunca dari­pada pembuangan sisa kimia­ dari sebuah kilang.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, pencemaran udara tersebut datang dari sebuah tapak pembuangan sampah haram yang jaraknya hanya kira-kira 80 meter dari rumah penduduk.

Salah seorang penduduk, Khanafi Sudin, 39, berkata, keadaan hampir sama seperti kejadian Sungai Kim Kim berlaku apabila dia kini berasa pening dan seakan-akan mahu demam kerana menghidu bau sisa pencemaran dari kawasan pembuangan sampah haram berkenaan.

“Ketika penduduk melakukan pemeriksaan di tapak pelupusan sampah haram tersebut, mereka menjumpai pelbagai bekas dipercayai berisi bahan kimia.

“Sebahagian sisa buangan itu mengeluarkan asap dan baunya sangat busuk seperti asid sehinggakan penduduk berdekatan terpaksa menutup pintu dan tingkap mereka,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Tambahnya, sebelum ini, pasukan bomba pernah datang melakukan pemeriksaan dan memusnahkan bahan kimia tersebut tetapi perbuatan membuang sisa berbahaya terus berlaku di kawasan berkenaan.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Zainal Abidin, 31, pula memberitahu, lori yang membuang sisa kimia berkenaan kebiasaannya datang pada waktu malam untuk mengelak dikesan penduduk.

“Aduan sudah dilakukan kepada pihak berwajib kerana kami bimbang masalah yang lebih besar boleh berlaku kerana terdapat sebuah sekolah di kawasan berhampiran,” ujarnya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Datuk Seri Che Zakaria Mohd Salleh berkata, perkara tersebut akan dilaporkan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri, Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPGG), Pejabat Tanah dan Galian serta Kementerian Kesihatan.

Beliau tidak mahu kejadian Sungai Kim Kim berulang sehingga memberi kesan buruk kepada penduduk.

“Tindakan segera perlu diambil termasuk menyiasat dari mana sisa buangan tersebut datang kerana ia sangat berbahaya. Ini ekoran kedudukan tapak pembuangan sampah haram begitu hampir dengan penempatan penduduk dan Sungai Rinting,” katanya. –{Utusan Digital]

Khaled Nordin: Keputusan Agong Isyarat Jangan Salah Guna Perlembagaan

Naib Presiden Umno, Mohamed Khaled Nordin berharap keputusan Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja Melayu menolak cadangan kerajaan Perikatan Nasional mengisytiharkan darurat menjadi pengajaran yang mematangkan semua pihak.

Katanya, keputusan itu sangat bijaksana dan “secara tidak langsung memberi makna yang selayaknya kepada peruntukan Perlembagaan Persekutuan agar ia tidak digunakan sewenang-wenangnya”.

Beliau berkata, keputusan itu turut menunjukkan keyakinan Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah terhadap keupayaan sistem kesihatan negara, penjawat awam dan rakyat dalam mengatasi krisis Covid-19.

“Kebijaksanaan dan hikmah Tuanku dalam perkara ini meyakinkan patik serta rakyat Malaysia bahawa institusi raja sentiasa mengutamakan denyut nadi rakyat, meraikan demokrasi dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Keputusan Agong itu turut diraikan pengguna media sosial dengan hashtag #DaulatTuanku dan pujian kepada Sultan Abdullah.

Antara mereka yang memberi respons kepada hashtag itu ialah Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan dan Ketua Pemuda parti itu, Asyraf Wajdi Dusuki. Mereka berdua turut memuat naik kenyataan Istana Negara ke Twitter.

Bekas menteri sumber manusia dan Ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kula Segaran mengucapkan terima kasih kepada Agong kerana “selalu menjadi raja rakyat dan melakukan yang terbaik untuk negara”.

Katanya, sudah sampai masanya mengetepikan politik dan bekerjasama untuk membendung Covid-19.

Peguam MCA, Chan Quin Er dalam tweetnya berkata, darurat hanya patut diisytiharkan “ketika fungsi normal negara tidak dapat dikekalkan lagi”.

“Keputusan Agong menggambarkan kebanggaan dan rasa cinta terhadap demokrasi kita.”

Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin menerusi Twitternya berkata, ini kali pertama dalam sejarah Malaysia, cadangan utama perdana menteri ditolak.

Presiden Amanah, Mohamad Sabu berkata, parti itu mengucapkan terima kasih kepada keputusan Agong.

“Amanah akan menyokong segala usaha memerangi Covid-19 dan berjanji akan bersama sepenuhnya dalam usaha ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Agong selepas berbincang dengan raja-raja Melayu memutuskan tiada keperluan mengisytiharkan darurat di mana-mana kawasan dalam negara ketika ini kerana kerajaan berjaya menangani pandemik itu dengan baik dan berkesan.

Agong berkata, Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 6 Nov ini amat penting kepada rakyat dalam menangani Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara serta mengingatkan ahli politik berhenti berpolitik bagi mengelakkan kestabilan negara terjejas. -{Free Malaysia Today]

%d bloggers like this: