Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah berpendapat tiada keperluan untuk Seri Paduka Baginda mengisytiharkan darurat di Malaysia atau mana-mana bahagian negara Malaysia.
Kenyataan tersebut diumumkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin sebentar tadi melalui sebuah kenyataan rasmi.
Al-Sultan Abdullah turut mengingatkan ahli-ahli politik untuk memberhentikan segera segala kelakuan politicking yang boleh menggangu kestabilan pemerintahan negara, dan berpendapat bahawa tiada perlunya Ahli-ahli Parlimen meneruskan tindakan tidak bertanggungjawab yang boleh mengganggu gugat kestabilan Kerajaan sedia ada.
Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa Belanjawan Negara 2021 yang akan dibentangkan di sidang Parlimen adalah amat penting kepada rakyat di dalam menangani wabak COVID-19 dan memulihkan ekonominegara.Justeru, peruntukan kewangan amat diperlukan oleh petugas barisan hadapan bagi melancarkan tugas dan tanggungjawab mereka
Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan keyakinan bahawa dengan semangat perpaduan dan juang yang tinggi seperti yang telah pernah dipamerkan bersama, rakyat Malaysia mampu sekali lagi berganding bahu memerangi gelombang ketiga penularan wabak Covid-19 ini.
Seri Paduka Baginda juga menyeru seluruh rakyat, tanpa mengira latar belakang dan khususnya fahaman politik, mengenepikan segala perbezaan dan perbalahan untuk bersatu padu dan bersatu hati memainkan peranan masing-masing dalam membantu kerajaan dan pihak-pihak berkuasa membendung wabak Covid-19
Al-Sultan Abdullah turut mengajak seluruh rakyat untuk bersama-sama berdoa semoga wabak Covid-19 ini dapat dibanteras dengan berkesan dan diakhiri dengan segera.