Yang di-Pertuan Agong Malaysia, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah berkenan mengadakan rundingan dengan Raja-Raja Melayu di Istana Negara dalam masa terdekat susulan menerima mengadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.
Rundingan tersebut adalah bagi membincangkan dan memperhalusi cadangan-cadangan yang telah dikemukakan oleh Muhyiddin Yassin ketika di Istana Abdul Aziz semalam.
Sila baca: PM Mengadap Agong di Kuantan
Di dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan Istana Negara sebentar tadi, Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin mengatakan bahawa dalam sesi yang berlangsung selama lebih kurang satu setengah jam itu, Al-Sultan Abdullah telah berkenan menerima sembah taklimat cadangan-cadangan yang telah dicapai oleh Mesyuarat Khas Jemaah Menteri semalam untuk pertimbangan dan ampun perkenan Seri Paduka Baginda bagi pelaksanaannya.
Adalah dimaklumkan bahawa Al-Sultan Abdullah amat memahami keperluan kelangsungan pentadbiran negara untuk memerangi ancaman wabak COVID-19. Malah, Seri Paduka Baginda turut amat prihatin terhadap kegelisahan dan kegusaran rakyat ekoran daripada perkembangan terkini ini.
Sehubungan dengan itu, Al-Sultan Abdullah turut menasihati seluruh warga Malaysia agar bertenang, tidak panik dan bersabar dalam menghadapi situasi terkini.
Rakyat turut dinasihati agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kekeliruan dan keresahan serta menggugatkan ketenteraman negara ini.
Berhubung dengan kenaikan mendadak kes positif harian COVID-19 dan kewujudan beberapa kluster baharu yang berterusan di negara ini, Al-Sultan Abdullah mengulangi titah nasihat Seri Paduka Baginda kepada rakyat untuk terus memainkan peranan masing-masing dan berdisiplin mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan tatacara amalan kebiasaan baharu dalam membantu pihak berkuasa memerangi COVID-19 demi keselamatan diri serta masyarakat.
Al-Sultan Abdullah turut mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk bersama berdoa semoga Malaysia sentiasa dirahmati dan dilindungi dari segala bentuk ancaman serta penularan Covid-19 ini dapat dibanteras dengan berkesan dan diakhiri dengan segera.
Reblogged this on Karim’s Blog.
LikeLike