Buang Pemimpin UMNO Yang Mendahulukan Kepentingan Parti Lain – Ku Li

Mana-mana ahli UMNO yang mendahulukan kepentingan parti politik lain, boleh dikenakan tindakan displin, termasuk dibuang parti, tegas Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO Tengku Razaleigh Hamzah.

Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata, tindakan itu juga boleh dikenakan terhadap pimpinan tertinggi parti, sekiranya benar ada di kalangan mereka yang mengambil pendekatan sedemikian.

“Bagi saya, sebagaimana yang disuarakan oleh ramai ahli-ahli UMNO di peringkat bawah, sikap yang ditunjuk oleh pimpinan UMNO itu seolah-olah dia tidak hormati perjuangan UMNO.

“Nak mendahulukan pimpinan parti lain. Mengapa begitu? Jadi kalau inilah sikap mereka sebenar, mereka patut diambil tindakan, sampai boleh dibuang daripada parti kalau tidak memperjuangkan kepentingan parti,” katanya ketika ditemui Astro AWANI.

Tengku Razaleigh berkata, adalah tidak wajar untuk mendahulukan kepentingan pihak lawan, khususnya Pakatan Harapan, sedangkan UMNO selama ini tegas tidak bersetuju dengan dasar mereka.

Beliau berkata, pada masa kini, terpulang kepada ahli parti yang mempunyai kesedaran untuk menegur pimpinan UMNO, terutamanya dalam kembali kepada landasan perjuangan sebenar.

“Apakah pimpinan daripada parti pembangkang, mesti didahulukan, dan disokong oleh kita? (Sedangkan kita tak bersetuju dengan dasar-dasar dia.

“Ini terpulang kepada mereka mempunyai sikap yang kuat memperjuangkan perjuangan parti itu sendiri. Kalau mereka fikir kita tidak mempunyai haluan, sebagaimana kehendak dan tuntutan parti dan orang Melayu seluruhnya, maka terpulang kepada ahli-ahli yang sedar, untuk bertindak,” katanya lagi.

Dan tindakan itu, ulas beliau lagi, boleh diambil kepada siapa-siapa pun, termasuk pimpinan utama UMNO.

Bersatu Diterima Menyertai Muafakat Nasional?

Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Muafakat Nasional (MN) yang berlangsung malam ini akan membincangkan penyertaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ke dalam gabungan itu secara rasmi.

Setiausaha Agung Bersama Sekretariat Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa berkata, perkara itu boleh dibincangkan kerana ia pernah diminitkan dalam mesyuarat sebelum ini.

Beliau berkata, mesyuarat disertai Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu untuk memberi nasihat dan membincangkan perkara-perkara penting bagi memperkuat kesepakatan sedia ada.

“Mungkin kemasukan Bersatu itu boleh dibincangkan kerana ia ada dalam minit mesyuarat lepas.

“Biasanya mesyuarat ini kita buat dua minggu sekali namun ada Pilihan Raya Negeri Sabah (PRN) ia terbatal. Lazimnya mesyuarat ini dihadiri Timbalan Presiden UMNO dan Pas sahaja,” katanya pada sidang akhbar selepas menyertai operasi sanitasi di Presint 4, di sini hari ini.

Operasi tersebut disertai Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dan Perbadanan Putrajaya (PPj).

Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata, penyertaan Bersatu sebelum ini telah dimaklumkan secara hitam putih dan presiden-presiden bersetuju untuk menyertai MN.

“Perbincangan kemasukan Bersatu turut memerlukan draf memorandum persefahaman (MoU), piagam yang baharu dan ia tidak boleh menggunakan kaedah sepertimana UMNO dan Pas sebelum ini.

“Kerjasama yang UMNO dengan Pas dulu lama, sekarang ini kita kena draf MoU yang baharu, piagam dan sebagainya.

“Kalau Bersatu masuk tentu ia tidak boleh ambil sahaja piagam lama, MoU lama. Jadi macam mana cara kerjasama itu kita bincang, yang penting kerjasama demi mengutamakan penyatuan dan perpaduan politik Melayu,” katanya.

Ogos lalu, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan parti pimpinannya bersetuju menyertai MN iaitu kerjasama antara UMNO dan Pas. –{Utusan Digital]

%d bloggers like this: