Seorang pemimpin Umno berkata, mustahil parti itu dan PPBM boleh bercantum disebabkan ideologi berbeza selepas PPBM memutuskan untuk membuka keahlian kepada semua kaum.
Ahli Majlis Tertinggi Umno, Ahmad Shabery Cheek berkata, asas untuk 2 parti Melayu itu kembali bersatu ialah keahlian.
Beliau memberi contoh Semangat 46 dan Umno yang kembali bersatu dengan mudah kerana mempunyai corak keahlian sama, iaitu Melayu dan Bumiputera, begitu juga Parti Keadilan dan Parti Rakyat Malaysia yang merupakan parti berbilang kaum.
Tetapi, katanya, PPBM tidak mungkin dapat bersatu dengan Umno kerana ia menggunakan model PKR yang merupakan parti berbilang kaum.
“Sebaliknya, PPBM mudah bercantum dengan PKR, kalau corak keahliannya sama. Mungkin inilah hasrat Azmin Ali dan kawan-kawannya apabila menyertai PPBM. Rindu PKR.
“Mungkin Tengku Razaleigh Hamzah nak guna ‘tingkap masa’ ini buat kejutan. Kalau ada hasrat nak bertemu, jangan bergerak ke lain arah. Matlamat itu penting, walaupun kenderaan kita berbeza buat masa ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azmin yang merupakan bekas timbalan presiden PKR bersama 10 ahli Parlimen lain menyertai PPBM pada 22 Ogos lalu.
Pada masa sama, Presiden PPBM, Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, parti itu sedia meminda perlembagaan untuk membolehkan ahli bersekutu yang bukan Bumiputera mempunyai peranan lebih meluas dan kelak boleh memegang jawatan lebih tinggi dalam parti itu.
Susulan itu, Razaleigh pada Jumaat lalu dilaporkan berkata, keputusan PPBM menerima ahli bukan Melayu menyebabkan parti itu hilang kelayakan menyertai Muafakat Nasional yang merupakan pakatan orang Melayu.
Katanya, Umno tidak pernah menjadi menyertai Perikatan Nasional (PN), sebaliknya hanya menyokongnya untuk membentuk kerajaan demi kestabilan politik negara.
Oleh itu, beliau menggesa pemimpin Umno berundur daripada Kabinet secepat mungkin supaya parti itu tidak “membuang masa” dalam kerajaan. -{Free Malaysia Today]