GEMPAR – Kerajaan Sabah Dah Tumpas?

Bekas ketua menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman hari ini mengumumkan bahawa beliau telah mempunyai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri baharu setelah mendapat sokongan mencukupi daripada Ahli Dewan Undangan Negeri di negeri itu.

Menurutnya, ADUN-ADUN tersebut adalah daripada parti WARISAN, PKR, PPBM dan UMNO.

“Langkah seterusnya ialah menemui gabenor Sabah dan menyerahkan akuan berkanun (SD) daripada Adun kepada beliau,” katanya pada sidang media di Kota Kinabalu tadi.

Beliau turut menambahkan bahawa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Datuk Nardin, Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri telah membuat kunjungan hormat kepada Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri pagi tadi untuk memaklumkan gabungan baharu yang menyokong Perikatan Nasional di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin telah memperolehi sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan baharu.

Spekulasi timbul beberapa minggu ini perubahan akan berlaku dalam kerajaan Sabah berusia 27 bulan pimpinan WARISAN dan Musa, ketua menteri paling lama berkuasa, akan kembali menerajui negeri itu.

Menurut laporan Free Malaysia Today, 14 hingga 16 ADUN gabungan parti pemerintah akan bertukar kem, menyebabkan pembangkang yang kini mempunyai 20 ADUN, mendapat kerusi mencukupi untuk membentuk kerajaan negeri baru.

Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengadakan satu perjumpaan tertutup melibatkan Ahli-ahli Dewan Rakyat dari Perikatan Nasional di bangunan Parlimen petang tadi.

Memetik laporan Utusan Malaysia, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan ketika ditemui berkata, perjumpaan itu adalah pertemuan biasa Ahli Parlimen PN yang membincangkan pelbagai perkara.

Terdapat 65 kerusi DUN di negeri Sabah.

‘Samakan hijrah dengan pelarian rendahkan kedudukan Islam’ – Mufti

Tindakan menyamakan penghijrahan Nabi Muhammad SAW sebagai satu bentuk pelarian disifatkan merendahkan kedudukan Islam.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, terdapat perbezaan yang ketara di antara istilah hijrah dan pelarian.

Menurutnya, hijrah Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah adalah strategi mengukuhkan kedudukan dan kedaulatan Islam melalui medium politik bersumberkan wahyu.

“Maka hijrah tersebut menghasilkan kemuliaan kepada agama Islam dengan agama Islam bertapak kukuh memimpin penduduk di semenanjung tanah Hijaz.

“Istilah pelarian merujuk kepada mangsa perang atau mangsa kerakusan penguasa yang melucutkan kemuliaan dan hak-hak sebagai warganegara kepada mereka walaupun sudah berjaya menempatkan diri ke mana-mana negara yang bersimpati dengan mereka,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Dalam pada itu, Harussani bimbang pemahaman menyamakan hijrah dengan pelarian itu boleh menimbulkan persepsi negatif dan sesuatu yang tidak sihat dalam kalangan umat Islam.

Menurutnya, kenyataan itu juga boleh menyemarakkan sikap Islamophobia dalam kalangan bukan Islam.

“Berdasarkan penilaian saya, pemahaman dan pernyataan yang mengaitkan hijrah Rasulullah SAW sebagai pelarian amat mengelirukan kerana bercanggah dengan al-Quran, as-Sunnah dan pandangan ulamak muktabar.

“Kenyataan ini juga boleh merendahkan kedudukan Islam serta menyamakan darjat Rasulullah SAW dan para sahabat sama seperti pelarian yang lain,” katanya.

Sementara itu, Harussani menasihatkan semua pihak supaya memahami dan mendalami agama Islam melalui susur galur ulama serta kitab-kitab muktabar bukannya dicedok daripada barat yang dihidangkan oleh legasi orientalis.

Menurutnya, umat Islam perlu memelihara kesucian dan keagungan agama Islam yang sentiasa memuliakan Rasulullah SAW dalam setiap keadaan.

Sebelum ini, ketika membahaskan usul titah diraja di Dewan Rakyat, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu mengingatkan bahawa tokoh penting dalam Islam juga pernah menjadi pelarian termasuk Nabi Muhammad SAW.

Kenyataan itu kemudiannya mendapat kecaman banyak pihak yang meminta ia ditarik balik.

Malah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad turut memberikan penjelasan di dalam Parlimen bahawa Nabi Muhammad SAW berhijrah dari Kota Makkah ke Madinah atas perintah dan tuntutan ALLAH SWT namun bukan makna Rasulullah melarikan diri. -{Sinar Harian]

%d bloggers like this: