Apakah Maksud Tersirat Di Sebalik Pencemaran Jata Negara?

Versi Jawi akan menyusul.

Apakah maknanya jika ada dalam kalangan rakyat yang sanggup menghina jata negara?

Ini bukanlah pertama kali simbol negara kita dicemarkan sebegini rupa.

Sebelum ini negara telah kecoh kerana kes pengibaran bendera Malaysia secara terbalik dan penggantian bintang persekutuan (bintang pecah 14) dengan bintang pecah lima, yang sering dikaitkan sebagai simbol komunis pada Jalur Gemilang di sebuah temasya sukan.

Sila baca: Apa Tersirat Di Sebalik Bendera Bintang Pecah Lima?

Pada tahun 2013 pula, sebuah pameran lukisan di Kuala Lumpur memaparkan satu gambar mirip bendera Malaysia, tetapi lambang bulan dan bintang digantikan dengan simbol tengkorak dan tulang (simbol lanun) dan empat bintang pecah lima, bersertakan kapsyen “I is for IDIOT”.

Sila baca: Lagi Penghinaan Terhadap Islam – Kini Di Publika Sri Hartamas

Amat jelas bahawa kini negara berhadapan dengan masalah salah laku yang sangat serius di mana ada dalam kalangan rakyat yang sudah hilang semangat patriotisme dan jati diri serta menentang prinsip dan ideologi negara.

Dimanakah sikap, “Kesetiaan kepada raja dan negara” yang sepatutnya kita hayati sebagai rakyat Malaysia?

Lebih teruk lagi, ada yang sudah hilang sifat ketamadunan dalam diri mereka; seperti sudah hilang punca akibat terlalu keliru tentang hak kebebasan.

Bendera dan jata negara adalah lambang sesebuah negara. Perbuatan meniru serta mengubah bentuk sebarang elemen pada lambang negara adalah perbuatan menghina serta mencabar kedaulatan negara tersebut.

Jata negara kita mempunyai makna yang amat dalam, setiap elemennya memaparkan sejarah serta prinsip asas yang menjadi tunjang pembinaan negara bangsa.

Dipayungi oleh lambang bulan dan bintang Persekutuan yang melambangkan kebesaran agama Islam dan Raja-raja Melayu, perisai yang memaparkan simbol sejarah negeri-negeri yang membentuk Persekutuan Malaysia ini, diangkat pula oleh dua ekor harimau yang melambangkan keberanian dan kekuatan sebuah negara bangsa yang berdaulat dan merdeka.

Amat simbolik apabila dua ekor harimau yang gagah berani memegang perisai yang menjunjung bulan dan bintang Persekutuan. Ianya menggambarkan prinsip asas dan ideologi negara di mana kekuatan negara bangsa terletak di bawah pemerintahan Raja Berpelembagaan yang menjaga Islam iaitu agama bagi negara seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Perbuatan mencemar simbol-simbol kedaulatan negara sendiri adalah sangat keji, ibarat memusuhi negara sendiri.

Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Shah pernah bertitah mengenai perkara ini. Baginda menyifatkan pencemaran simbol negara sebagai satu serangan terhadap kedaulatan negara.

Sila baca: Raja Nazrin: Desecrating flag an attack on nation’s sovereignty

Amat benar titah tuanku, terutamanya apabila agama Islam serta simbol diraja Raja-raja Melayu yang dicemarkan sebegitu rupa.

Sila tekan untuk memperbesarkan gambar.

Lihat sahaja gambar biadap kulit buku, “Rebirth: Reformasi, Resistance, and Hope in New Malaysia”.

Perisai pada jata negara digantikan dengan imej seorang wanita yang berpakaian tidak senonoh. Kedua-dua simbol harimau pula digantikan dengan dua makhluk berwarna merah, yang entah apa maksudnya, mengangkat wanita itu. Lebih biadab lagi apabila mereka meletakkan imej seorang bayi duduk di atas lambang bulan sabit serta ‘memakai’ bintang Persekutuan di keliling mukanya.

Apakah yang cuba mereka gambarkan daripada apa yang mereka paparkan itu?

Perkara ini tidak boleh diambil ringan kerana ianya boleh menggugat keharmonian perpaduan rakyat Malaysia.

Tahniah kepada Polis Diraja Malaysia kerana akan memulakan siasatan dan memanggil semua pihak yang terlibat dalam penerbitan buku ini.

Bagi mereka yang mendakwa bahawa ini adalah hak kebebasan diri, rujuklah kembali Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan, undang-undang negara adalah jelas iaitu kebebasan ada batasannya.

Merujuk kepada hak kebebasan untuk berbuat apa sahaja, saya ingin memetik titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Nazrin Shah yang harus dijadikan ingatan:

“Walau apa pun yang dirasakan seseorang sebagai hak kebebasan diri untuk bersuara, konsekuens tindakan mereka tidak boleh dan tidak patut diabaikan.

“Jika batasan diabaikan atas sebab kebebasan individu, akhirnya kita tidak akan memperkukuhkan tetapi sebaliknya melemahkan ikatan yang menyatukan negara bangsa kita. Kita perlu menanamkan sifat ketanggungjawaban dan kemasyarakatan ke dalam anak-anak muda kita.”

Masalah Pengawalan Emosi Dalam Kalangan Remaja

Baca versi Jawi di sini.

Sebagai seorang remaja, kita berada di era peralihan ke alam dewasa di mana kita perlu berusaha untuk menjadi lebih matang serta belajar mengawal diri secara fizikal dan emosi dalam menjalani kehidupan sehari-hari.

Pada peringkat ini, mungkin ada di antara kita yang keliru di antara kehendak dan tanggungjawab. Kita mahukan lebih kebebasan tetapi pada masa yang sama, kita gagal mendisiplinkan diri serta bertanggungjawab ke atas tingkah laku kita sendiri.

Ramai yang berpendapat bahawa para remaja cenderung untuk memberontak dan sukar mengawal emosi, malah tidak dapat dinafikan bahawa ada dalam kalangan remaja yang menghadapi tekanan emosi dan masalah kesihatan mental.

Mereka yang menghadapi masalah emosi sering kali suka menyendiri dan kemurungan, ada yang tidak dapat mengawal perasaan sedih dan marah serta boleh bertindak agresif tanpa sebab, malah kadang kala bertindak di luar dugaan termasuk mencederakan diri sendiri atau orang lain di sekeliling mereka.

Sering juga kita mendengar ada remaja bertindak memilih jalan yang salah untuk mengatasi masalah ini, contohnya dengan merokok, menghisap vape, menghidu gam, mengambil minuman keras, terlibat dengan penyalahgunaan dadah dan bahan-bahan terlarang lainnya dan berbagai-bagai lagi perbuatan negatif yang lain.

Masalah tekanan emosi biasanya bukanlah sesuatu yang tidak dapat diselesaikan jika remaja terbabit sedar akan masalah yang mereka hadapi serta mempunyai semangat yang kuat dan disiplin diri yang tinggi untuk berusaha mengatasinya. Sokongan dan perhatian ibu bapa juga adalah amat penting dalam membantu para remaja untuk membina kekuatan mental dalam menghadapi cabaran.

Namun masalah akan timbul jika tekanan emosi tidak ditangani dengan cara yang betul. Ini boleh menyebabkan remaja terbabit tidak dapat mengawal emosi dan seterusnya menghadapi masalah lain termasuk masalah kesihatan mental.

Ada yang bertukar menjadi pembuli, bertindak secara tidak waras dan ada yang sanggup mencederakan orang lain atau membunuh diri. Kerap kali mereka tidak merasa bersalah di atas perbuatan mereka, malah mereka merasakan bahawa mereka mempunyai sebab untuk menjustifikasikan segala perbuatan mereka itu.

Malangnya, kini peratusan remaja yang mengalami masalah tekanan emosi adalah tinggi dan perkara ini amatlah membimbangkan kerana jika masalah ini tidak ditangani dengan baik, negara bakal berhadapan dengan berbagai-bagai masalah yang lebih besar.

Lebih teruk lagi, ada segelintir remaja bermasalah yang menggunakan alasan tekanan emosi sebagai cara untuk menuntut perhatian, membebaskan diri daripada tanggungjawab dan juga untuk menjustifikasikan perbuatan negatif mereka supaya mereka tidak dipersalahkan.

Ada pendapat yang mengatakan bahawa antara faktor yang menyebabkan remaja menghadapi tekanan emosi ialah tekanan pelajaran dan peperikaan, harapan ibu bapa yang terlalu tinggi, kurang perhatian dan kasih sayang daripada ibu bapa, persaingan dengan saudara kandung dan kawan-kawan, suasana persekitaran yang tidak kondusif serta penggunaan media sosial secara tidak terkawal.

Tragedi malang seperti kematian ahli keluarga terdekat, mengalami pengalaman yang mengerikan dan remaja yang dibuli secara fizikal atau secara emosi khasnya oleh orang-orang dewasa terdekat yang sepatutnya melindungi para remaja juga meninggalkan kesan emosi yang sangat berat untuk dihadapi oleh para remaja.

Sukar untuk orang yang tidak prihatin untuk memahami perasaan mangsa dan hanya mereka yang pernah mengalami tragedi sebegini yang boleh benar-benar memahami perasaan mangsa; namun ini tidak harus dijadikan sebab untuk mereka mengalah dan terus tertekan.

Sebagai seorang remaja yang pernah mengalami tragedi yang sebegini, saya memahami perasaan anda, tetapi kita harus cuba bangkit dan jangan biarkan tragedi memusnahkan hidup kita.

Para remaja harus kuat, sentiasa berusaha untuk berfikiran dan bersikap positif serta tidak mudah mengalah dalam menghadapi musibah.

Jika tidak dipecah ruyung, di mana boleh mendapat sagu; pengayuh sayang dibasahkan, sampan takkan sampai ke seberang. Yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang.

Maka kita para remaja harus menjadikan tragedi yang kita hadapi sebagai satu cabaran yang bersifat positif dan kita perlu membina kekuatan diri demi untuk menjadi insan yang lebih baik.

Rintangan serta cabaran akan ada di mana sahaja, malah, tiada siapapun yang akan dapat lari daripada menghadapi dugaan hidup; namun iman dan takwa akan membezakan cara kita menangani masalah tekanan dan gangguan emosi.

Adalah menjadi tanggungjawab bagi kita untuk meminta petunjuk daripada Allah SWT dalam apa jua keadaan kerana itulah yang diajar oleh agama kita.

Perkara ini harus diajar dan ditanam di dalam minda anak-anak sejak daripada awal lagi, agar mereka dapat membina kekuatan diri dan berusaha menjadi lebih matang apabila mereka meningkat remaja.

Dengan ini, para remaja akan memasuki era peralihan kepada alam dewasa dengan lebih bersedia dan tidak terpinga-pinga dalam menggalas tanggungjawab yang lebih besar dari hari ke hari.

Jika tidak, akan berterusanlah berlakunya perkara-perkara negatif yang terjadi hanya kerana kegagalan manusia mengawal emosi akibat tiada disiplin diri.

Di sesetengah negara-negara Barat contohnya di Amerika Syarikat, perkara-perkara sebegini bukan lagi asing, contohnya, kes-kes tembakan dan pembunuhan beramai-ramai telah banyak berlaku, termasuklah di sekolah-sekolah dan di dalam sesetengah kes, pelakunya adalah murid di sekolah itu sendiri.

Bagi kebanyakan pelakunya, mereka merasakan bahawa tindakan mereka itu adalah wajar dan mereka mempunyai sebab untuk bertindak demikian; begitu juga dengan kes-kes membunuh diri.

Jika kita tidak mengambil langkah secara serius untuk memperbetulkan keadaan ini, maka masalah ini akan merebak dengan lebih parah dalam kalangan generasi yang akan datang dan ianya akan menjadi semakin sukar untuk diperbetulkan.

Bayangkan apabila generasi yang tidak lagi dapat mengawal emosi menjadi ibu bapa, guru dan pemimpin negara; apakah nilai dan sikap yang akan mereka perturunkan kepada anak bangsa nanti?

Apakah yang bakal terjadi kepada negara dan tamadun bangsa yang telah kita bina selama ini?

Maka terjadilah keadaan yang dikatakan sebagai undang-undang rimba, di mana setiap manusia hidup berdasarkan undang-undang mereka sendiri tanpa menghormati hak orang lain namun pada masa yang sama memaksa orang lain hidup berdasarkan undang-undang yang mereka cipta.

Prinsip moral dan konsep kehidupan bermasyarakat tidak lagi wujud, malah mereka tidak lagi menghormati undang-undang agama serta negara. Mereka merasakan bahawa hanya mereka sahaja yang betul walaupun pada hakikatnya mereka mengalami masalah mental dan tidak lagi hidup bertamadun.

Maka para remaja mesti bijak mengawal emosi, hidup berdisiplin serta menghormati peraturan dan undang-undang agama dan negara. Pilihan ada di tangan kita, kita insan beragama maka kita tidak boleh tunduk kepada kehendak nafsu dan melayan emosi.

Bergaullah bersama mereka yang akan membantu kita menjadi insan yang lebih baik dan jika kita menghadapi masalah tekanan emosi, mintalah pertolongan daripada mereka yang benar-benar ikhlas mahu membantu kita.

Remaja mesti berhati-hati agar jangan sampai kita dipergunakan oleh mereka yang hanya mahu mengambil kesempatan di atas kelemahan diri kita.

Sebagai orang Islam kita mesti berusaha mendekatkan diri kepada Allah SWT dan taat kepada perintahNya serta percaya kepada qada’ dan qadar dan belajar untuk memahami konsep Rukun Iman ini.

مسئله ڤڠاولن ايموسي دالم کالڠن رماج

Baca versi Rumi di sini.

سباݢاي سأورڠ رماج⹁ کيت برادا دإيرا ڤراليهن کعالم ديواس دمان کيت ڤرلو بروسها اونتوق منجادي لبيه ماتڠ سرتا بلاجر مڠاول ديري سچارا فيزيکل دان ايموسي دالم منجالني کهيدوڤن سهارين.

ڤد ڤريڠکت اين⹁ موڠکين اد دأنتارا کيت يڠ کليرو دأنتارا کهندق دان تڠݢوڠجواب. کيت ماهوکن لبيه کبيبسن تتاڤي ڤد ماس يڠ سام⹁ کيت ݢاݢل منديسيڤلينکن ديري سرتا برتڠݢوڠجواب کأتس تيڠکه لاکو کيت سنديري.

راماي يڠ برڤنداڤت بهاوا ڤارا رماج چندروڠ اونتوق ممبرونتق دان سوکر مڠاول ايموسي⹁ ماله تيدق داڤت دينافيکن بهاوا اد دالم کالڠن رماج يڠ مڠهادڤي تکنن ايموسي دان مسئله کصيحتن مينتل.

مريک يڠ مڠهادڤي مسئله ايموسي سريڠ کالي سوک مڽنديري دان کموروڠن⹁ اد يڠ تيدق داڤت مڠاول ڤراساءن سديه دان ماره سرتا بوليه برتيندق اݢريسيف تنڤا سبب⹁ ماله کادڠ کالا برتيندق دلوار دوݢاءن ترماسوق منچدراکن ديري سنديري اتاو اورڠ لاين دسکليليڠ مريک.

سريڠ جوݢ کيت مندڠر اد رماج برتيندق مميليه جالن يڠ ساله اونتوق مڠاتسي مسئله اين⹁ چونتوهڽ دڠن مروکوق⹁ مڠهيسڤ ۏيڤ⹁ مڠهيدو ݢم⹁ مڠمبيل مينومن کراس⹁ ترليبت دڠن ڤڽالهݢوناءن داده دان باهن٢ ترلارڠ لاينڽ دان برباݢاي٢ لاݢي ڤربواتن نيݢاتيف يڠ لاين.

مسئله تکنن ايموسي بياسڽ بوکنله سسواتو يڠ تيدق داڤت دسلسايکن جک رماج تربابيت سدر اکن مسئله يڠ مريک هادڤي سرتا ممڤوڽاءي سماڠت يڠ کوات دان ديسيڤلين ديري يڠ تيڠݢي اونتوق بروسها مڠاتسيڽ. سوکوڠن دان ڤرهاتين ايبو باڤ جوݢ اداله امت ڤنتيڠ دالم ممبنتو ڤارا رماج اونتوق ممبينا کقواتن مينتل دالم مڠهادڤي چابرن.

نامون مسئله اکن تيمبول جک تکنن ايموسي تيدق دتاڠني دڠن چارا يڠ بتول. اين بوليه مڽببکن رماج تربابيت تيدق داڤت مڠاول ايموسي دان ستروسڽ مڠهادڤي مسئله لاين ترماسوق مسئله کصيحتن مينتل.

اد يڠ برتوکر منجادي ڤمبولي⹁ برتيندق سچارا تيدق وارس دان اد يڠ سڠݢوڤ منچدراکن اورڠ لاين اتاو ممبونوه ديري. کرڤ کالي مريک تيدق مراسا برساله دأتس ڤربواتن مريک⹁ ماله مريک مراساکن بهاوا مريک ممڤوڽاءي سبب اونتوق منجوستيفيکاسيکن سݢالا ڤربواتن مريک ايت.

مالڠڽ⹁ کيني ڤراتوسن رماج يڠ مڠالمي مسئله تکنن ايموسي اداله تيڠݢي دان ڤرکارا اين امتله ممبيمبڠکن کران جک مسئله اين تيدق دتاڠني دڠن باءيق⹁ نݢارا باکل برهادڤن دڠن برباݢاي٢ مسئله يڠ لبيه بسر.

لبيه تروق لاݢي⹁ اد سݢلينتير رماج برمسئله يڠ مڠݢوناکن السن تکنن ايموسي سباݢاي چارا اونتوق منونتوت ڤرهاتين⹁ ممبيبسکن ديري درڤد تڠݢوڠجواب دان جوݢ اونتوق منجوستيفيکاسيکن ڤربواتن نيݢاتيف مريک سوڤاي مريک تيدق دڤرسالهکن.

اد ڤنداڤت يڠ مڠاتکن بهاوا انتارا فکتور يڠ مڽببکن رماج مڠهادڤي تکنن ايموسي اياله تکنن ڤلاجرن دان ڤڤريکان⹁ هارڤن ايبوباڤ يڠ ترلالو تيڠݢي⹁ کورڠ ڤرهاتين دان کاسيه سايڠ درڤد ايبو باڤ⹁ ڤرسايڠن دڠن ساودارا کندوڠ دان کاون٢⹁ سواسان ڤرسکيترن يڠ تيدق کوندوسيف سرتا ڤڠݢوناءن ميديا سوسيال سچارا تيدق ترکاول.

تراݢدي مالڠ سڤرتي کماتين اهلي کلوارݢ تردکت⹁ مڠالمي ڤڠالمن يڠ مڠريکن دان رماج يڠ دبولي سچارا فيزيکل اتاو سچارا ايموسي خاصڽ اوليه اورڠ٢ ديواس تردکت يڠ سڤاتوتڽ مليندوڠي ڤارا رماج جوݢ منيڠݢلکن کسن ايموسي يڠ ساڠت برت اونتوق دهادڤي اوليه ڤارا رماج.

سوکر اونتوق اورڠ يڠ تيدق ڤريهاتين اونتوق ممهمي ڤراسان مڠسا دان هاڽ مريک يڠ ڤرنه مڠالمي تراݢد سبݢيني يڠ بوليه بنر-بنر ممهمي ڤراسان مڠسا⁏ نامون اين تيدق هاروس دجاديکن سبب اونتوق مريک مڠاله دان تروس ترتکان.

سباݢاي سأورڠ رماج يڠ ڤرنه مڠالمي تراݢد يڠ سبݢيني⹁ ساي ممهمي ڤراسان اندا⹁ تتاڤي کيت هاروس چوبا بڠکيت دان جاڠن بيارکن تراݢد مموسناهکن هيدوڤ کيت.

ڤارا رماج هاروس کوات⹁ سنتياس بروسها اونتوق برفيکيرن دان برسيکڤ ڤوسيتيف سرتا تيدق موده مڠاله دالم مڠهادڤي مصيبة.

جک تيدق دڤچه رويوڠ⹁ د مان بوليه منداڤت ساݢو⁏ ڤڠايوه سايڠ دباسهکن⹁ سمڤن تقکن سمڤأي ک سبرڠ. يڠ بولت تيدق داتڠ برݢوليق⹁ يڠ ڤيڤيه تيدق داتڠ ملايڠ.

مک کيت ڤارا رماج هاروس منجاديکن تراݢد يڠ کيت هادڤي سباݢاي ساتو چابرن يڠ برصفة ڤوسيتيف دان کيت ڤرلو ممبينا کقواتن ديري دمي اونتوق منجادي انسان يڠ لبيه باءيق.

رينتاڠن سرتا چابرن اکن اد د مان سهاج⹁ ماله⹁ تياد سياڤاڤون يڠ اکن داڤت لاري درڤد مڠهادڤي دوݢان هيدوڤ⁏ نامون ايمان دان تقوى اکن ممبيذاکن چارا کيت مناڠني مسئله تکنن دان ݢڠݢوان ايموسي.

اداله منجادي تڠݢوڠجواب باݢي کيت اونتوق ممينتا ڤتونجوق درڤد الله سبحان وتعالى دالم اڤ جوا کادأن کران ايتله يڠ دأجر اوليه اݢام کيت.

ڤرکارا اين هاروس دأجر دان دتانم د دالم ميندا انق-انق سجق درڤد اول لاݢي⹁ اݢر مريک داڤت ممبينا کقواتن ديري دان بروسها منجادي لبيه ماتڠ اڤابيلا مريک منيڠکت رماج.

دڠن اين⹁ ڤارا رماج اکن مماسوقکي ايرا ڤراليهن کڤد عالم ديواس دڠن لبيه برسديا دان تيدق ترڤيڠا-ڤيڠا دالم مڠݢالاس تڠݢوڠجواب يڠ لبيه بسر دري هاري ک هاري.

جک تيدق⹁ اکن برتروسنله برلاکوڽ ڤرکارا-ڤرکارا نيݢاتيف يڠ ترجادي هاڽ کران کݢاݢالن مأنسي مڠاول ايموسي عقيبة تياد ديسيڤلين ديري.

د سستڠه نݢارا-نݢارا بارت چونتوهڽ د اميريک شريکت⹁ ڤرکارا-ڤرکارا سبݢيني بوکن لاݢي اسيڠ⹁ چونتوهڽ⹁ کيس-کيس تيمبکن دان ڤمبونوهن براماءي-راماي تله باڽق برلاکو⹁ ترماسوقله د سکوله-سکوله دان د دالم سستڠه کيس⹁ ڤلاکوڽ اداله موريد د سکوله ايت سنديري.

باݢي کبڽقان ڤلاکوڽ⹁ مريک مراساکن بهاوا تيندقن مريک ايت اداله واجر دان مريک ممڤوڽاءي سبب اونتوق برتيندق دمکين⁏ بݢيتو جوݢ دڠن کيس-کيس ممبونوه ديري.

جک کيت تيدق مڠمبيل لڠکه سچارا سريوس اونتوق ممڤربتولکن کادأن اين⹁ مک مسئله اين اکن مربق دڠن لبيه ڤاره دالم کالڠن ݢينراسي يڠ اکن داتڠ دان اياڽ اکن منجادي سماکين سوکر اونتوق دڤربتولکن.

بايڠکن اڤابيلا ݢينراسي يڠ تيدق لاݢي داڤت مڠاول ايموسي منجادي ايبو باڤ⹁ ݢورو دان ڤميمڤين نݢارا⁏ اڤاکه نيلاي دان سيکڤ يڠ اکن مريک ڤرتورونکن کڤد انق بڠسا ننتي؟

اڤاکه يڠ باکل ترجادي کڤد نݢارا دان تمدون بڠسا يڠ تله کيت بينا سلاما اين؟

مک ترجاديله کادأن يڠ دکاتاکن سباݢاي اوندڠ-اوندڠ ريمبا⹁ د مان ستياڤ مأنسي هيدوڤ برداسرکن اوندڠ-اوندڠ مريک سنديري تنڤا مڠحرمتي حق اورڠ لاين نامون ڤد ماس يڠ سام ممقسا اورڠ لاين هيدوڤ برداسرکن اوندڠ-اوندڠ يڠ مريک چيڤتا.

ڤرينسيڤ مورل دان کونسيڤ کهيدوڤن برمشارکت تيدق لاݢي وجود⹁ ماله مريک تيدق لاݢي مڠحرمتي اوندڠ-اوندڠ اݢام سرتا نݢارا. مريک مراساکن بهاوا هاڽ مريک سهاج يڠ بتول والاوڤون ڤد حقيقتڽ مريک مڠالمي مسئله مينتل دان تيدق لاݢي هيدوڤ برتمدون.

مک ڤارا رماج مستي بيجق مڠاول ايموسي⹁ هيدوڤ برديسيڤلين سرتا مڠحرمتي ڤراتورن دان اوندڠ-اوندڠ اݢام دان نݢارا. ڤيليهن اد د تاڠن کيت⹁ کيت انسان براݢام مک کيت تيدق بوليه توندوق کڤد کهندق نفسو دان ملاين ايموسي.

برݢاولله برسام مريک يڠ اکن ممبنتو کيت منجادي انسان يڠ لبيه باءيق دان جک کيت مڠهادڤي مسئله تکنن ايموسي⹁ مينتله ڤرتولوڠن درڤد مريک يڠ بنر-بنر إخلاص ماهو ممبنتو کيت.

رماج مستي برهاتي-هاتي اݢر جاڠن سمڤأي کيت دڤرݢوناکن اوليه مريک يڠ هاڽ ماهو مڠمبيل کسمڤتن د اتس کلمهن ديري کيت.

سباݢاي اورڠ اسلام کيت مستي بروسها مندکتکن ديري کڤد الله سبحان وتعالى دان طاعة کڤد ڤرينتهڽ سرتا ڤرچاي کڤد قضاء’ دان قدر دان بلاجر اونتوق ممهمي کونسيڤ روکون ايمان اين.

Dr. Kamarul Akan Saman Pemimpin DAP?

Pensyarah kanan Universiti Utara Malaysia, Dr. Kamarul Zaman Yusoff telah mengumumkan bahawa beliau mahu mengambil saman fitnah terhadap lima orang pemimpin Parti Tindakan Demokratik (DAP).

Melalui sebuah kenyataan yang disiarkan melalui media sosial, beliau menamakan lima pemimpin DAP iaitu Senator Dr. Arifin Omar, Lim Kit Siang, Teresa Kok, Chong Chieng Jen dan Lim Lip Eng, yang telah menfitnah beliau sebelum ini.

Sila baca: UUM Larang Pensyarah Politik Menulis Tulisan Politik

Menurutnya, fitnah-fitnah yang dilontar tersebut mengatakan bahawa beliau adalah bodoh, merupakan seorang yang ekstremis, dan tidak layak bergelar pensyarah universiti awam seperti UUM.

Berikut merupakan kenyataan penuh beliau:


SAMAN FITNAH TERHADAP LIMA PEMIMPIN DAP

Mereka yang biasa mengikuti perkembangan saya sejak beberapa tahun kebelakangan ini pasti mengingati peristiwa hampir tiga tahun lalu di mana saya telah menegur pemimpin DAP, Hannah Yeoh, kerana, melalui bukunya bertajuk “Becoming Hannah”, mendedahkan betapa beliau menggunakan jawatan politik beliau “to preach at churches, to world leaders and to young people” dan betapa beliau “aims to bring Christian faith and service to the public sphere”.

Berikutan teguran saya dan episod-episod selanjutnya, saya telah ditempelak, dituduh, dihina dan diburuk-burukkan oleh pelbagai pihak, khususnya daripada pimpinan DAP, kerana kononnya bodoh, ekstrimis dan tidak layak bergelar pensyarah universiti awam seperti UUM.

SAMAN FITNAH TERHADAP DR ARIFIN OMAR

Berikutan itu juga, saya telah mengumumkan mahu mengambil saman fitnah terhadap salah seorang daripada mereka, iaitu Dr Arifin Omar, yang pada ketika itu merupakan Senator DAP dari Pulau Pinang di atas penerbitan sebuah artikel bertajuk “Dr Ariffin Omar nasihati Kamarul supaya guna akal” di dalam laman web dan page Roketkini serta artikel lain bertajuk “Senator DAP nasihati Kamarul supaya guna akal” di dalam laman web dan page Malaysiakini.

Saya telah menyebut pada waktu itu bahawa kenyataan Senator DAP dari Pulau Pinang ini mengandungi beberapa kenyataan berunsur fitnah seperti berikut terhadap saya:

  1. “Senator DAP, Dr Ariffin Omar hari ini menempelak tuduhan semberono pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) Dr Kamarul Zaman Yusoff yang mendakwa kononnya barisan kepimpinan baru DAP mengukuhkan lagi dakwaan kononnya DAP mempunyai agenda Kristianisasi.”
  2. “Menurutnya, beliau tidak hairan sekiranya mutu akademik institusi pendidikan di negara ini merosot memandangkan wujud sebilangan ahli-ahli akademik negara ini berfikiran seperti pensyarah berkenaan.”
  3. “Sebelum dia (Dr Kamarul) buka mulut, elok dia fikir dulu sebelum bercakap – elok baca balik Perlembagaan DAP.”
  4. “Dia ni tak ada kerja lainkah? Nak cari pasal pun carilah yang munasabah sikit. Adakah ini tahap ahli akademik kita?”

Saya telah menegaskan pada waktu itu bahawa kenyataan berunsur fitnah tersebut membawa maksud dan difahami bahawa:

  1. Saya adalah seorang ahli akademik yang suka membuat tuduhan semberono.
  2. Saya adalah seorang ahli akademik yang menjadi punca mutu akademik institusi pendidikan di negara ini merosot.
  3. Saya adalah seorang ahli akademik yang tidak berfikir dan tidak menggunakan akal sebelum bercakap atau menulis.
  4. Saya adalah seorang ahli akademik bertahap rendah yang suka menimbulkan isu yang picisan dan tidak munasabah.

Lanjutan dari itu, saya telah mengarahkan peguam saya pada ketika itu menyampaikan surat tuntutan kepada Dr Arifin Omar berikutan fitnah beliau terhadap saya seperti di atas tetapi ia malangnya telah gagal disampaikan kepada beliau.

Saya juga pernah menyatakan hasrat saya untuk menyaman beberapa lagi individu tertentu yang membuat fitnah terhadap saya tetapi kesibukan jadual saya sebagai pensyarah tidak mengizinkan saya berbuat demikian hingga kini.

Hari ini saya ingin mengumumkan bahawa selain dari melantik seorang peguam baru untuk meneruskan tindakan saman fitnah terhadap Dr Arifin Omar saya juga telah mengarahkan peguam baru saya ini untuk memulakan prosiding saman fitnah terhadap empat (4) lagi pemimpin DAP, iaitu Lim Kit Siang,  Teresa Kok, Chong Chieng Jen dan Lim Lip Eng.

Saya tahu bahawa fitnah-fitnah, cemuhan-cemuhan, tuduhan-tuduhan tidak berasas dan penghinaan-penghinaan yang dilemparkan terhadap saya pada ketika itu dan pada tempoh selanjutnya tidaklah terhad kepada lima (5) individu ini sahaja dan masyarakat umum mengetahui bahawa saya juga telah difitnah oleh ramai lagi individu lain pada ketika itu.

Saya tidak menolak kemungkinan mengarahkan peguam saya memperluaskan lagi tindakan saman fitnah ini untuk merangkumi individu-individu lain yang pernah membuat fitnah-fitnah, cemuhan-cemuhan, tuduhan-tuduhan tidak berasas dan penghinaan-penghinaan terhadap saya.

SAMAN FITNAH TERHADAP LIM KIT SIANG

Saman fitnah saya terhadap Lim Kit Siang, Ahli Parlimen Iskandar Puteri, adalah berpunca daripada penerbitan sebuah artikel bertajuk “Kamarul Zaman’s police report against Hannah Yeoh raises the question whether he is fit and proper to be a lecturer of plural Malaysia’s public university” di dalam laman web dan page Lim Kit Siang dan DAP Malaysia, artikel lain bertajuk “Kamarul Zaman, bukti kegagalan wasatiyyah Najib” di dalam laman web dan page RoketKini, artikel lain bertajuk “Is Kamarul Zaman fit to be a lecturer of a public university?” di dalam laman web dan page MalaysiaKini, artikel lain bertajuk “Attack on Hannah Yeoh puts education in spotlight, Kit Siang claims” di dalam laman web dan page Malay Mail serta artikel lain bertajuk “Hannah tidak pernah berbincang tentang agenda Kristian, kata Kit Siang” di dalam laman web dan page MalaysiaDateLine, semuanya pada 18 Mei 2017.

Di dalam artikel-artikel ini, Lim Kit Siang telah:

  1. Mempersoalkan kewajaran dan kelayakan saya menjadi pensyarah “universiti awam Malaysia yang plural” dengan kenyataan “Kamarul Zaman Yusoff’s false and malicious police report against Selangor State Assembly Speaker and DAP assemblyperson for Subang Jaya, Hannah Yeoh, accusing her of proselytisation of Muslims with the publication of her autobiography ‘Being Hannah’, raises the question whether he is fit and proper to be a lecturer of plural Malaysia’s public universities.”
  2. Menegaskan bahawa laporan polis saya terhadap Hannah Yeoh berikutan bukunya Becoming Hannah adalah tidak benar dan berniat jahat dengan kenyataan “It is unimaginable that Yeoh’s autobiography on her personal journey to be a good Christian so as to be a good Malaysian would have caused objections, let alone be the subject of a false and malicious police report of proselytisation to Muslims, in the first five decades of our nationhood.”
  3. Menyimpulkan bahawa saya seterusnya akan mencadangkan pengharaman Bible di negara ini dengan kenyataan “Kamarul Zaman complains that Yeoh’s book had too many verses and quotes from the Bible. Will he next call for the banning of the Bible?”
  4. Menyatakan bahawa laporan polis saya terhadap Hannah Yeoh ketika itu adalah bukti bahawa wasatiyyah gagal dipromosikan di Malaysia dengan kenyataan “Kamarul Zaman’s police report is proof of the failure to promote ‘wasatiyyah’ (moderation) in Malaysia…”
  5. Menyimpulkan bahawa saya tidak mengamalkan toleransi agama, bersifat ekstrimis dan menyebabkan ketegangan dengan kenyataan “Is the Najib cabinet prepared to halt such religious intolerance, extremism and polarisation in Malaysia and place the subject as a top agenda at its meeting…”

Kesemua kenyataan Lim Kit Siang ini membawa maksud dan difahami bahawa:

  1. Saya tidak wajar menjadi dan tidak mempunyai kelayakan dan kesesuaian untuk menjadi pensyarah di universiti-universiti awam di Malaysia.
  2. Saya membuat laporan polis dengan bertujuan tidak benar serta berniat jahat.
  3. Saya menyekat kebebasan beragama penganut Kristian dengan sanggup dan akan mencadangkan pengharaman Bible.
  4. Saya membuat laporan polis adalah disebabkan saya tidak bersifat wasatiyyah dan tidak sederhana dalam tingkah laku saya.
  5. Saya tidak mengamalkan toleransi agama, bersifat ekstrimis dan menjadi punca ketegangan antara kaum di Malaysia.

SAMAN FITNAH TERHADAP TERESA KOK

Saman fitnah saya terhadap Teresa Kok, Ahli Parlimen Seputeh, adalah berpunca daripada penerbitan sebuah posting di dalam page Facebook Teresa Kok pada 17 Mei 2017 serta sebuah artikel bertajuk “Proselytization claim against Hannah Yeoh can be best described with the Chinese proverb “欲加之罪, 何患無辞 (yu jia zhi zui, he huan wu ci)”” di dalam laman web dan page DAP Malaysia pada 18 Mei 2017.

Di dalam posting ini, Teresa Kok telah:

  1. Menyatakan bahawa saya gila dan merbahaya dengan kenyataan “This UUM lecturer is mad. Who ask him to buy and read Hannah Yeoh’s book? If this book will shaken his faith toward his own religion, then he should not read it. This is dangerous, one day he might lodge police report against Bibles or any religious materials sold in the bookshop. There will be no end to it.”

Di dalam artikel bertajuk ini pula, Teresa Kok telah:

  1. Menyatakan bahawa saya ingin kondem Hannah Yeoh dengan mereka-reka cerita palsu dengan kenyataan “Universiti Utara Malaysia’s (UUM) Malaysian Institute for Political Studies director Kamarul Zaman Yusoff’s allegation that the autobiography of Selangor assembly speaker Hannah Yeoh attempted to “coax, influence and instigate” non-Christians to convert or deepen their interest in Christian teachings can be best described with the proverb “欲加之罪, 何患無辞”” dengan terjemahannya sendiri bahawa peribahasa Cina欲加之罪, 何患無辞 (yu jia zhi zui, he huan wu ci) bermakna sekiranya seseorang ingin kondem orang lain maka dia akan mereka-reka cerita palsu terhadapnya dengan maksud saya adalah orang yang mereka-reka cerita palsu terhadap Hannah Yeoh.
  2. Menyatakan bahawa saya tidak tahu membuat hujahan dan tidak logik dalam hujahan saya dengan kenyataan “If Kamarul’s argument or logic can be accepted, does it mean that any books or DVDs on other non-Islamic faith that are sold in the bookshops will be seen as propagating their non-Islam religion to Muslims?”
  3. Menyatakan bahawa saya tidak sesuai atau tidak layak untuk terus menjadi pendidik dengan kenyataan “Being a university lecturer, Kamarul’s narrow and extreme way of looking at Hannah’s book makes one wonder if he is suitable to continue to be an educationist.”
  4. Menyimpulkan bahawa saya melarang penganut agama-agama bukan Islam daripada bercakap mengenai agama mereka dengan kenyataan “Kamarul should be reminded that the federal constitution guarantees freedom of religion and no one should be forbidden to talk about his or her own religion.”

Kesemua kenyataan Teresa Kok ini membawa maksud dan difahami bahawa:

Saya gila dan merbahaya.

  1. Saya ingin kondem Hannah Yeoh dan oleh itu mereka-reka dan menjaja cerita palsu terhadap Hannah Yeoh.
  2. Saya tidak tahu membuat hujahan dan tidak logik dalam hujahan saya sebagai ahli akademik.
  3. Saya tidak sesuai atau tidak layak untuk terus menjadi pendidik atau ahli akademik.
  4. Saya menyekat kebebasan beragama penganut agama-agama bukan Islam dengan melarang mereka bercakap mengenai agama-agama mereka.

SAMAN FITNAH TERHADAP CHONG CHIENG JEN

Saman fitnah saya terhadap Chong Chieng Jen, Ahli Parlimen Stampin, adalah berpunca daripada penerbitan sebuah artikel bertajuk “DAP Sarawak condemns the act of religious bigotry by Kamarul Zaman Yusoff” di dalam laman web dan page DAP Malaysia, artikel lain bertajuk “Mujurlah penyokong Kamarul Zaman bukan dalam Pakatan Harapan – Chieng Jen” di dalam laman web dan page RoketKini serta artikel lain bertajuk “East M’sia DAP leaders: Attacks on Yeoh sign of increasing intolerance” di dalam laman web dan page MalaysiaKini, semuanya pada 18 Mei 2017.

Di dalam artikel-artikel ini, Chong Chieng Jen telah:

  1. Menyatakan bahawa laporan polis saya akan menyekat kebebasan beragama di Malaysia dengan kenyataan “If Kamarul’s reason for lodging the police report can constitute a ground for investigation and prosecution, then all books containing teaching of any religion other than Islam will be made equally culpable. That will spell the death of Freedom of Religion in Malaysia.”
  2. Menyatakan bahawa saya adalah pelampau agama dan oleh itu tidak sesuai atau tidak layak menjadi pensyarah di universiti-universiti di Malaysia serta akan menggunakan kedudukan saya sebagai pensyarah untuk menjadikan generasi muda tidak toleran terhadap agama-agama lain dengan kenyataan “DAP Sarawak is also of the view that a religious bigot like Kamarul Zaman Yusoff is an unfit person to teach in a university in Malaysia. Not only is his bigotry act a shame to a multi-racial country of ours, but he, as a lecturer, will influence the minds of the younger generation to be more intolerant towards other religion.”
  3. Menyatakan bahawa negeri Sarawak selamat tanpa adanya saya dan saya sebagai pelampau agama tidak menghormati kebebasan agama mereka yang bukan Muslim dengan kenyataan “On the one hand, we feel relieved that we in Sarawak is spared from such religious bigot. On the other hand, as Malaysians, we regret and feel sad for the nation that there is such a person in Malaysia, holding a lecturer post in public university, who has not any respect for the Freedom of Religion towards non-Muslims.”
  4. Menyatakan bahawa saya mencetuskan ketegangan antara kaum dan memupuk kebencian antara penganut-penganut agama dengan kenyataan “It is thus the DAP Sarawak’s stand that the Police, instead of investigating YB Hannah Yeoh, should launch a police investigation on Kamarul Zaman Yusoff for inciting racial disharmony and creating hatred against another religion.”

Kesemua kenyataan Chong Chieng Jen ini membawa maksud dan difahami bahawa:

  1. Saya membuat laporan polis bertujuan untuk menyekat kebebasan beragama di Malaysia.
  2. Saya adalah pelampau agama dan oleh itu tidak sesuai atau tidak layak menjadi pensyarah di universiti-universiti di Malaysia.
  3. Saya menggunakan kedudukan saya sebagai pensyarah di universiti awam untuk memupuk ketegangan antara penganut agama-agama berbeza di kalangan pelajar-pelajar universiti.
  4. Saya adalah ancaman kepada perpaduan antara kaum dan penganut-penganut agama berbilang kaum di negeri Sarawak dan di Malaysia.
  5. Saya tidak menghormati hak kebebasan beragama bagi mereka yang bukan Muslim.
  6. Saya mencetuskan ketegangan antara kaum dan menyemarakkan kebencian antara penganut-penganut agama.

SAMAN FITNAH TERHADAP LIM LIP ENG

Saman fitnah saya terhadap Lim Lip Eng, Ahli Parlimen Kepong, adalah berpunca daripada penerbitan sebuah artikel bertajuk “Universiti Utara Malaysia lecturer Kamarul Zaman Yusuf should conduct himself in a sensible and noble manner by retracting his police report immediately and to apologize to Hannah unreservedly” di dalam laman web dan page DAP Malaysia, artikel lain bertajuk “Kamarul Zaman perlekeh kebijaksanaan rakyat Malaysia” di dalam laman web dan page RoketKini serta artikel lain bertajuk “‘Bagaimana pula dengan Oh My God, Kamarul?’” di dalam laman web Free Malaysia Today, semuanya pada 17 Mei 2017.

Di dalam artikel-artikel ini, Lim Lip Eng telah:

  1. Menyimpulkan bahawa laporan polis saya terhadap Hannah Yeoh adalah disebabkan saya terencat akal dan/atau amat lemah iman sampaikan mungkin juga membuat laporan-laporan polis terhadap pelajar-pelajar saya dan mereka yang mendendangkan lagu-lagu Krismas di radio dan TV dengan kenyataan “Will Kamarul make a police report when his students say “Oh my God!” to his face? Or will he make a series of police reports in December when he listens to Christmas songs on the radio or in TV?”
  2. Menyimpulkan bahawa kualiti saya sebagai pensyarah universiti amatlah rendah hingga menyebabkan kebimbangan ramai dengan kenyataan “Many citizens are worried about the quality of our local university lecturers after Kamarul’s statement.”

Kesemua kenyataan Lim Lip Eng ini membawa maksud dan difahami bahawa:

  1. Saya adalah seorang yang terencat akal dan/atau lemah iman hinggakan membuat laporan polis atas sebab-sebab yang tidak munasabah.
  2. Saya adalah seorang pensyarah universiti awam yang berkualiti amat rendah.

DR KAMARUL ZAMAN HAJI YUSOFF
UNIVERSITI UTARA MALAYSIA (UUM)
BERTARIKH: 23 JUN 2020

Bekas Speaker Dewan Negara: Kembalikan Kuasa Raja Seperti Sebelum 1993

Yang Dipertua SA Vigneswaran yang tamat tempoh sebagai speaker Dewan Negara hari ini menyeru kerajaan pusat agar menarik balik pindaan kontroversial pada tahun 1993 berkaitan kuasa raja-raja Melayu.

Dalam ucapan amanat di Bangunan Parlimen hari ini, Vigneswaran yang merupakan speaker Dewan Negara yang ke-14 berkata pindaan kontroversial itu bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Saya sebagai Yang di-Pertua yang bersara untuk menyeru kepada kerajaan agar menarik balik pindaan kontroversial 1993 yang hangat didebatkan sehingga kini.

“Pada pendapat saya, (pindaan) bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan di mana pindaan dibuat tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja dan telah mengurangkan kuasa Raja Melayu dan kedaulatan institusi diraja harus dikembalikan,” kata Vigneswaran.

Sila baca: Kuasa Eksekutif Agong Yang Kurang Diketahui

Pindaan perlembagaan pada 1993 diluluskan oleh parlimen antaranya untuk menghapuskan kekebalan raja-raja Melayu, yang membolehkan mereka didakwa di mahkamah jika melanggar undang-undang.

Sementara itu Vigneswaran yang juga presiden MIC berkata, beliau berharap kuasa raja-raja Melayu akah dikembalikan seperti pada zaman kemerdekaan.

Sila baca: Raja Melayu Payung Negara

“Dalam banyak perkara penting, kuasa raja-raja Melayu sangat jelas diperlukan bagi menjamin kestabilan politik dan masa depan masyarakat majmuk di negara ini,” tambahnya lagi. -{Malaysiakini]

Isu PATI: NGO Perlu Turun Padang, Kerjasama Dengan NTF – Aris

Pihak badan bukan kerajaan (NGO) disaran turun padang untuk melihat sendiri implikasi negatif pencerobohan pendatang tanpa izin terutamanya dalam aspek kedaulatan negara, dan bukan sekadar lantang memperjuangkan hak pendatang tanpa izin serta kemanusiaan di media sosial.

Komander Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF), Laksamana Madya Datuk Aris Adi Tan Abdullah berkata ia pastinya akan membuka mata masyarakat dalam memberikan gambaran sebenar impak negatif kemasukan pendatang tanpa izin terhadap negara kerana pihak NGO mempunyai khalayak penyokong yang ramai dan berpengaruh.

Beliau berkata NGO perlu merujuk kepada sumber sahih sebelum membuat sebarang kenyataan dan tidak menularkan berita tidak tepat kerana ia mengundang persepsi negatif terhadap kredibiliti pasukan keselamatan negara.

“Selain itu, sebagai entiti (NGO) yang didengari di persada antarabangsa, pihak NGO diseru meraih perhatian komuniti antarabangsa terutamanya negara jiran agar bekerjasama menangani masalah pendatang tanpa izin secara bersepadu,” katanya kepada Bernama dalam wawancara khas di ibu pejabat NTF, di sini, baru-baru ini.

Aris berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan segelintir NGO yang menyuarakan ketidakpuasan hati mereka di media sosial berhubung kaedah dan langkah kerajaan dalam mengendalikan pendatang tanpa izin.

“NGO perlu mengetahui bahawa Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan agensi penguatkuasa yang lain ditugaskan untuk menjaga keselamatan negara dan perlu memberi pelindungan kepada rakyat daripada segala bahaya termasuklah wabak COVID-19. 

“Sebenarnya objektif NTF dan NGO adalah sama dan ia bukan persaingan siapa suara lebih lantang, kita boleh bekerjasama cuma keutamaan berbeza yang beruniform ada misi mereka manakala NGO mempunyai penyokong serta mempunyai fungsi tersendiri,” katanya.

Aris berkata NTF tidak sewenang-wenangnya mengusir pendatang tanpa izin memandangkan golongan ini mempunyai pelbagai taktik bagi memastikan diri mereka tidak dihantar pulang sekiranya ditahan. 

“Saya ingin mengambil contoh kes penangkapan Rohingya di perairan Langkawi baru-baru ini, bot yang membawa 269 pendatang tanpa izin bersama mayat seorang wanita itu didapati sengaja dirosakkan menyebabkan NTF menerusi keputusan Majlis Keselamatan Negara tidak meneruskan pengusiran,” katanya.

Beliau berkata disebabkan itu, Malaysia terpaksa menanggung beban untuk melakukan ujian saringan COVID-19 dan menyediakan tempat tahanan sementara untuk mereka di Kem Bina Negara Wawasan Langkawi.

“Sebelum ketibaan pendatang tanpa izin ini di perairan negara mereka perlu melalui beberapa negara tetapi mengapa NGO-NGO ini tidak menyalahkan negara serantau kerana tidak mengambil tindakan awal seperti menyekat bot-bot asing ini?

Setelah tindakan pengusiran dibuat oleh kerajaan, NGO-NGO berkenaan lantang bersuara mengenai kemanusiaan dan menidakkan kepentingan rakyat Malaysia sendiri,” katanya.

Sebelum ini, tular di media sosial terdapat beberapa NGO dilihat mempersoal dan menyalahkan kaedah dan langkah pihak kerajaan dalam menguruskan pencerobohan pendatang tanpa izin. -{BERNAMA]

Kamarudin Md Nor Ganti Husam Terajui KADA

Pengerusi Bersatu Kelantan, Kamarudin Md Nor dilantik sebagai pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) berkuat kuasa 16 Mei lalu bagi menggantikan posisi yang sebelum ini disandang oleh Naib Presiden Amanah, Husam Musa.

Perkara itu didedahkan melalui kenyataan ucapan tahniah Kada melalui laman Facebooknya, semalam.

“Semoga Kada terus mengorak langkah memenuhi agenda untuk kesejahteraan petani seterusnya membantu dalam menjamin bekalan makanan negara,” kata kenyataan itu.

Sementara itu Kamarudin ketika dihubungi mengesahkan perkara itu, namun enggan mengulas lanjut.

“Maaf saya belum masuk pejabat Kada lagi, insya-Allah minggu depan,” katanya.

Terdahulu surat pelantikan Kamarudin itu tular di media sosial sejak semalam.

Ia ditandatangani Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Ronald Kiandee yang menyebut pelantikan itu dibuat selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

“Yang di-Pertuan Agong telah berkenan melantik (Kamarudin) sebagai pengerusi Kada selama 2 tahun berkuat kuasa 16 Mei 2020 hingga 15 Mei 2022,” kata Ronald.

Sebagai rekod sebelum ini Husam yang juga pengerusi PH Kelantan yang dilantik menerajui agensi itu sejak 1 Mac 2019. -{Malaysiakini]

ڤ.ر.ک. چيني: 3 چالون برتنديڠ

Baca versi Rumi di sini.

ڤڠروسي سوروهنجاي ڤيليهن راي مليسيا⹁ ازهر عزيزان هارون مڠعمومکن بهاوا 3 چالون اکن برتنديڠ ڤد ڤيليهن راي کچيل N23 چيني يڠ باکل برلڠسوڠ ڤد بولن دڤن.

چالون٢ ترسبوت اداله⹁ تڠکو زاين الهشام بن تڠکو حسين ﴿بيبس⹁ رومه﴾⹁ محمد شريم بن محمد زاين ﴿باريسن ناسيونل﴾⹁ دان محمد شکري بن محمد راملي ﴿بيبس⹁ کونچي﴾.

ڤيليهن راي کچيل اين مروڤاکن ڤيليهن راي کچيل ڤرتام سجاق کريسيس ڤوليتيک 2020⹁ يڠ مڽکسيکن ڤرتوکرن کراجاءن درڤد کراجاءن ڤاکتن هارڤن کڤد کراجاءن ڤريکاتن ناسيونل.

اين جوݢ مروڤاکن ڤيليهن راي کچيل ڤرتام سجاق ڤنولارن ڤندميک کوۏيد-19⹁ دان سݢالا توݢاسن ڤيليهن راي کچيل اين هندقله مڠايکوت ايس او ڤي ﴾SOP﴿ ڤرينته کاوالن ڤرݢراقن ڤموليهن.

کروسي ديوان اوندڠن نݢري چيني کوسوڠ سوسولن کماتين ڤڽانداڠڽ⹁ ابو بکر هارون⹁ 60⹁ دهوسڤيتل کوالا لومڤور عقيبة سراڠن جنتوڠ ڤد 6 مي لڤس.

ڤد ڤيليهن راي عموم ک-14⹁ ابو بکر يڠ ممڤروليه 10٬027 اوندي⹁ منڠ دڠن ماجوريتي 4٬622 اوندي منوسکن چالون ڤاس⹁ محمد فاضل نور عبدالکريم يڠ ممڤروليه 5٬405 اوندي⹁ دان چالون ڤرتي کعاديلن رعيت محمد غزالي اثنين يڠ منداڤت 1٬065 اوندي.

PRK Chini: 3 Calon Bertanding

Baca versi Jawi di sini.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia, Azhar Azizan Harun mengumumkan bahawa 3 calon akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil N23 Chini yang bakal berlangsung pada bulan depan.

Calon-calon tersebut adalah, Tengku Zainul Hisham bin Tengku Hussin (BEBAS, Rumah), Mohd. Sharim bin Md. Zain (Barisan Nasional), dan Mohd. Shukri bin Mohd. Ramli (BEBAS, Kunci).

Pilihan Raya Kecil ini merupakan Pilihan Raya Kecil pertama sejak Krisis Politik 2020, yang menyaksikan pertukaran kerajaan daripada kerajaan Pakatan Harapan kepada kerajaan Perikatan Nasional.

Ia juga merupakan Pilihan Raya Kecil pertama sejak penularan pandemik Covid-19, dan segala tugasan Pilihan Raya Kecil ini hendaklah mengikut SOP Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan.

Kerusi DUN Chini kosong susulan kematian penyandangnya, Abu Bakar Harun, 60, di Hospital Kuala Lumpur akibat serangan jantung pada 6 Mei lepas.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Abu Bakar yang memperoleh 10,027 undi, menang dengan majoriti 4,622 undi menewaskan calon PAS, Mohd Fadhil Noor Abdul Karim yang memperoleh 5,405 undi, dan calon PKR Mohamad Razali Ithnain yang mendapat 1,065 undi.

ڤڠالمن صلاة جمعة سماس ڤرينته کاولن ڤرݢرقن

Baca versi Rumi di sini.

الحمدلله⹁ هاري اين ساي دبري کسمڤتن اونتوق منونايکن صلاة جمعة دمسجد⹁ سلڤس تيݢ بولن تيدق داڤت کمسجد دان سوراو کران ڤرينته کاولن ڤرݢرقن.

دوا هاري لڤس ساي تله منريما جمڤوتن اونتوق حاضر دصلاة جمعة باݢي تاريخ 19 هاريبولن جون 2020.

سوکر اونتوق ساي ݢمبرکن ڤراساءن ساي کتيک ممباچ جمڤوتن ايت⁏ ساي ترکجوت⹁ ترهارو⹁ ݢمبيرا دان برشکور منداڤت ڤلواڠ کأمسن ترسبوت.

اوليه کران مسجد برکناءن ترلتق دنݢري سلاڠور⹁ مک سݢالا ايس او ڤي صلاة جمعة اداله دباوه بيدڠ کواس جابتن اݢام اسلام سلاڠور ﴿جاءيس﴾⹁ برداسرکن تيته سلطان سلاڠور⹁ سلطان شريف الدين إدريس شاه الهاج.

الحمدلله⹁ ڤڠوروسنڽ اداله امت باءيق سکالي. ساي کسان سجام لبيه اول درڤد ماس مسجد دبوک⁏ مريک دڠن تݢس مماتوهي ايس او ڤي دان هاڽ ممبوک ڤاݢر ڤد وقتو يڠ دتتڤکن سڤرتي دالم جمڤوتن يڠ دهانتر. ببراڤ اورڠ اڠݢوتا ڤوليس دان ڤݢاواي جاءيس تله دتوݢسکن اونتوق ممستيکن سݢالا اوروسن برجالن دڠن لنچر.

ڤݢاواي جاءيس⹁ اڠݢوتا ڤوليس دان ڤتوݢس مسجد ملاين ساي دڠن امت باءيق سکالي سمبيل منچادڠکن ساي اونتوق کساتو تمڤت يڠ تدوه سمنتارا منوڠݢو ڤاݢر دبوک. سمنتارا ايت⹁ سأورڠ ڤݢاواي جاءيس داتڠ اونتوق منجلسکن تنتڠ ايس او ڤي يڠ ڤرلو دڤاتوهي کتيک ماسوق کدالم کاوسن مسجد.

مريک امت تݢس دالم مماتوهي ڤراتورن⹁ جماعه يڠ داتڠ تنڤا کاد جمڤوتن تيدق دبنرکن ماسوق والاوڤون اد يڠ داتڠ دري جاوه باݢي ممستيکن کأداءن اداله سلامت دان ترکاول.

منوروت ڤݢاواي يڠ برتوݢس⹁ سبلوم جمڤوتن دکلوارکن⹁ معلومت جماعه اکن دڤريقسا باݢي ممستيکن مريک برادا دالم ليڠکوڠن عمور يڠ دبنرکن سبلوم اياڽ دهانتر کڤد ڤيهق ڤوليس اونتوق ڤنيلاين لنجوت باݢي ممستيکن کسلامتن جماعه.

اوليه کران ساي ڤاليڠ اول تيبا دمسجد⹁ ساي اداله اورڠ يڠ ڤرتام يڠ دبنرکن ماسوق. ساي دبريکن ڤاس ماسوق دان دباوا کدالم اوليه سأورڠ اڠݢوتا ڤوليس سبلوم دسمبوت اوليه ڤڠوروس مسجد يڠ ملاکوکن ڤمريقساءن سوهو بادن سبلوم ساي ماسوق کدالم ديوان صلاة ستله مڠݢونا ڤنسانيتاسي تاڠن.

اوليه کران مسجد دبوک 45 مينيت لبيه اول درڤد وقتو صلاة⹁ مک ساي برڤلواڠ منونايکن صلاة سنة سرتا ممباچ القرءان⹁ سبلوم ماسوق وقتو ظهر.

اوساي صلاة جمعة⹁ ڤارا جماعه برسوراي سچارا برڤريڠکت سمبيل دسليا اوليه سأورڠ ڤݢاواي ڤوليس باݢي ممستيکن بهاوا ڤنجاراکن سوسيال دجاݢ.

کلوار درڤد ديوان صلاة⹁ سأورڠ ڤتوݢس ممبنتو ساي منسانيتاسي تاڠن سلڤس ساي مڽراهکن سمولا ڤاس ماسوق.

ساي امت کاݢوم مليهت ديديکاسي دان کچکڤن ڤيهق ڤڠوروسن مسجد⹁ ڤوليس سرتا جاءيس يڠ بروسها کراس دالم سيتواسي مڠهادڤي سواسان کبياساءن بهارو اين.

تريما کاسيه دان شباس کڤد سموا يڠ برتوݢس! والاوڤون مريک برسيکڤ تݢس دالم ممستيکن سݢالا ايس او ڤي ترجاݢ⹁ نامون مريک امت برسوڤن دان بربودي بهاس دالم مڽانتوني ڤارا جماعه.

%d bloggers like this: