Kita berbangga dengan semangat membara rakyat Malaysia untuk mengembalikan kegemilangan tulisan Jawi, iaitu tulisan asal bahasa Melayu.
Adanya alat dalam talian seperti laman sesawang Ejawi yang menyediakan khidmat pertukaran tulisan Rumi ke Jawi telah membantu mempermudahkan kerja kita.
Namun, malang sekali apabila ramai yang tidak menyedari bahawa versi Jawi yang dihasilkan melalui aplikasi itu mesti disemak kembali ejaan dan formatnya kerana terdapat beberapa kesalahan yang sering berlaku.
Proses ini bukan senang untuk dilakukan, kerana ia memerlukan pembacaan yang teliti dan juga kesabaran yang tinggi, apatah lagi bagi saya yang masih dalam proses mempelajarinya tulisan Jawi.
Banyak perkara yang harus diambil berat apabila kita mahu menukar tulisan Rumi kepada Jawi dan saya sering merujuk kepada akhbar Utusan versi Jawi untuk memahirkan diri dan lebih memahami proses ini.
Ejaan istilah sasar dalam tulisan Jawi adalah mengikut sebutan, berbeza dengan ejaan Rumi di mana ejaannya akan mirip atau sama dengan ejaan dari istilah sumber dan tidak semestinya mencerminkan sebutannya secara sepenuhnya.
Saya mengambil contoh tangkap layar di bawah:

Saya mengira hantaran tersebut harus dibaca, “Alhamdulillah, kes baru Covid-19 dah makin kurang menurut page official KKM. Harap takda (tiada) gelombang ke-3”.
Kita perhatikan contoh kesalahan ejaan yang sering berlaku hasil penggunaan aplikasi ini:
- Ejaan Covid-19 bukanlah “چۏيد-١٩”, tetapi sebaliknya “کوۏيد-19” kerana sebutannya adalah “/’kəʊvɪd/” dan bukannya “/’tʃɒvɪd/”, namun alat-alat seperti Ejawi akan menukarkan huruf “C” dengan huruf “چ” kerana lazimnya dalam bahasa Melayu huruf “C” berbunyi “/tʃ/”, seperti “cemara” atau “cereka”. Namun Covid-19 ialah kata nama khas yang mana huruf “C” bunyinya “/k/” dan harus dieja menggunakan huruf “ک” dan bukannya “چ”.
- Perkataan “ققم” bukanlah versi Jawi untuk “KKM” iaitu akronim kepada Kementerian Kesihatan Malaysia. Kebanyakan alat penukar tulisan Rumi-Jawi mengidentifikasi akronim sebagai satu perkataan, kerana sistemnya tidak dapat membezakan di antara akronim dan perkataan.
Cara yang sepatutnya adalah sama ada menulis setiap huruf dalam akronim tersebut di dalam ejaan Jawi iaitu “ک.ک.م.”, ataupun yang lebih baiknya menulis nama penuh kementerian tersebut iaitu “کمنترين کصيحتن مليسيا”. - Perkataan singkatan “takda” ditukar kepada “تقد”, satu perkataan yang tidak wujud dan sukar untuk dikenal pasti.
Di bawah adalah satu lagi hantaran di laman Facebook yang sepatutnya berbunyi, “Wah, bangga pulak (pula) rasa bila PM sebut grup Facebook Masak Apa Tak Jadi Hari Ni Official 😅”.

Saya meneka bahawa tulisan ini juga ditulis dengan bantuan aplikasi menukar tulisan Rumi kepada Jawi tanpa disemak ejaannya:
- Perkataan “Facebook” dieja “فاچبووق” yang kalau kita baca berbunyi lebih kurang “Fachebuwuq” atau “/fɑtʃəbuwuk/”. Facebook adalah perkataan Inggeris, maka ianya boleh ditulis dalam tulisan Rumi di dalam tanda petikan, atau jika masih mahu menulis dalam tulisan Jawi, eja perkataan tersebut mengikut sebutannya iaitu “فيسبوک”.
- Perkataan “اوففيچيال” jika dibaca ia akan berbunyi lebih kurang “ofefichiyal” atau “/ofəfitʃiːaːl/”. Maka “official” sepatutnya di eja “اوفيشل”.
Inilah di antara contoh kesalahan ejaan Jawi yang mungkin tidak disedari akibat kita menyerahkan sepenuhnya kerja mengeja Jawi kepada aplikasi komputer tanpa menyemak kembali hasilnya.
Itu belum termasuk istilah-istilah yang belum didaftar ke dalam alat penukar tulisan itu, seperti “Kamaruddin” bagi sesetengah versi alat penukar tulisan, yang akan menukarnya menjadi “کامروددين”, walaupun ejaan sebenarnya ialah”قمر الدين”.
Pada pendapat saya, tidak salah untuk kita menggunakan alat-alat penukar tulisan Rumi ke Jawi untuk memudahkan urusan kita tetapi kita harus menyemaknya kembali dan membuat pembetulan jika ada kesalahan.
Dalam kita bersemangat untuk menggunakan tulisan Jawi, biarlah ianya dilakukan dengan penuh tertib dan teliti. Maka, kita mesti mempelajari ejaan Jawi dengan betul supaya kita mampu menjaga warisan ini dengan sempurna agar tulisan Jawi tidak bertukar menjadi satu sistem tulisan yang cacamarba.
Lihat proses penciptaan versi Jawi bagi rencana ini di sini.
6 thoughts on “Kelemahan “Jawi Converter” Yang Perlu Kita Sedari”