Aturan kehidupan dunia sangat kompleks dan dinamik, ledakan perubahan dan kejadian boleh berlaku dengan sekelip mata, kadang-kala di luar jangkaan akal manusia.
Ada kalanya para remaja merasakan diri mereka tersepit di dalam keganasan putaran dunia, terpenjara, tiada kebebasan, tidak difahami serta dikongkong kehidupan mereka.
Ikut hati mati, ikut rasa binasa, ada yang terkandas akibat gagal mengawal emosi, nafsu dan kehendak, lantas bertindak tanpa berfikir panjang, akhirnya membawa mereka kepada kesesatan akhlak dan moral.
Setelah terbabas dan semakin ketinggalan, mereka mencari dan berkumpul sesama rakan-rakan sehaluan, dalam mencari identiti diri mereka bertindak mengikut rentak hati yang mungkin telah jauh tersasar, lantas membawa diri lebih jauh dari kebenaran yang nyata.
Sehingga ramai yang merasakan bahawa dunia dan manusia di sekeliling tidak lagi dapat memahami mereka; namun alpa untuk melihat bahawa merekalah yang gagal memahami realiti dunia dan kehidupan.
Justeru, anak-anak harus dibimbing sejak kecil, diberikan kefahaman tentang aspek spiritual dan kerohanian, agar dapat berfikir dengan lebih matang serta tidak mudah terpesong daripada jalan kebenaran.
Kehidupan tanpa agama adalah ibarat belayar di lautan luas tanpa arah tuju dan persediaan, dibawa arus akan hanyut, dipukul badai akan karam. Tanpa agama, manusia tidak akan mampu mengharungi dan merentasi laut samudera kehidupan untuk tiba di syurga Allah pada akhirnya.
Lantaran lautan tidak mempunyai laluan yang tetap, tiada papan tanda dan mercu tanda untuk menetapkan arah; maka kita sering melihatnya sebagai satu kotak pasir bagi kehidupan kita. Sekalipun jika kita menghala ke arah yang salah, pada satu masa kita tetap akan sampai jua ke daratan, namun hakikatnya ianya bukanlah destinasinya yang kita kehendaki.
Jika kita mahu ke tanah timur, tetapi perjalanan kita menghala ke utara, tidak mungkin akan kita tiba di tanah timur sehinggalah kita menukar arah dan berlayar ke arah timur; itu pun jika kita sempat bertukar arah sebelum tibanya ribut yang membadai nyawa setiap insan di dalam bahtera.
Begitu juga dengan kehidupan manusia, ada yang jika terpesong arahnya pun masih dianggap sebagai jalan yang benar selagi tiada bencana yang melanda; mereka hanya akan sedar bahawa ia jalan yang salah apabila telah tiba akhirnya ke tempat jauh daripada arah yang dituju.
Ada yang bertuah, mereka sempat melihat dahulu suasana daratan sebelum melempar sauh, lantas masih sempat bertukar arah dan bergegas ke arah yang sebenar; tetapi tidak semua insan bernasib baik sebegitu.
Ada juga yang tidak mahu mengaku kelemahan diri, tak tahu menari, dikatakan lantai jungkang-jungkit; siang dan malam hidupnya meracau, mencari salah orang lain atas kelemahan diri sendiri.
Musang terjun, lantai terjungkat, tiada gunanya berdegil menegakkan benang basah, mengadu domba untuk kesenagan diri, sambil mencari lantai terjungkat. Bangkai gajah bolehkah ditutup dengan nyiru? Jangan sudah terperosok, baru hendak membaiki lantai.
Hidup ini ibarat putaran roda; ada pahit, ada manisnya; ada susah, ada senangnya; ada yang di atas dan ada yang di bawah; kepada yang beriman, kepada Allah kita berserah.
Manusia harus kuat dan berani mengaku kesilapan diri, berjiwa besar untuk bangkit kembali dan berpatah balik menuju jalan yang lurus; sesat di hujung jalan, balik ke pangkal jalan; namun mampukah kita bangkit sebelum terlambat?
Asam rumbia dibelah-belah,
Buah separah dalam raga;
Dunia ikut firman Allah,
Akhirat juga mendapat syurga.