Sejak perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, roti Gardenia telah mendapat perhatian yang sangat istimewa daripada ramai rakyat Malaysia.
Tular berbagai cerita sedih, gembira dan lucu tentang roti kegemaran rakyat Malaysia ini, daripada pembelian panik sehinggalah kepada berbagai aduan tentang kerisauan pengguna apabila timbul berita kehabisan stok produk Gardenia di pasaran.
Terbukti Gardenia bukan sekadar menjadi antara barangan penting di pasaran pada ketika ini, tetapi situasi kehabisan stok produk Gardenia telah diolah kepada pelbagai cerita lucu yang menghiburkan rakyat.
Hari ini, laporan Harian Metro bertajuk, “Hilang di KL, jumpa di Kemaman” telah menarik perhatian saya.
Apalagi gambar lori yang dilaporkan hilang itu seperti sebuah lori Gardenia.
Apakah ini episod terbaharu di dalam drama roti Gardenia?
Hilang di KL, jumpa di Kemaman
Rosli Ilham, Harian Metro

LORI muatan roti yang dilaporkan hilang di Kuala Lumpur ditemui ditinggalkan di tepi jalan di berhampiran Masjid Beris Meraga, Kijal, dekat Chukai, malam tadi.
Lori tiga tan itu ditemui ditinggalkan di situ, kira-kira 8 malam, sebelum orang ramai memaklumkan kepada pekerja syarikat roti berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan ketika dihubungi mengesahkan berhubung penemuan lori terbabit.
Menurutnya, lori terbabit dilaporkan hilang di Jalan Petaling, Kuala Lumpur kira-kira 7 malam pada hari sama.
“Lori terbabit sebelum itu digunakan untuk mengedar lori di sekitar Kuala Lumpur sebelum disedari hilang oleh pemandunya.
“Berikutan itu, pemandu lori terbabit pergi ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk membuat laporan,” katanya.
Hanyan berkata, sebaik lori itu ditemui di daerah Kemaman, kakitangan syarikat terbabit datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman membuat laporan, kira-kira 10 malam tadi.
“Kes terbabit diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk tindakan lanjut dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 379 (A) Kanun Keseksaan,” katanya.
One thought on “Drama Gardenia Berterusan: Lori Hilang di KL, Ditemui di Terengganu!?”