Covid-19: PKP Dilanjut 14 Hari; Polis Diberi "Green Light" Untuk Tangkap

Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan telahpun dilanjutkan sehingga 14 April 2020 dalam langkah untuk mencegah penularan wabak Covid-19.

Perkara itu diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebentar tadi melalui sebuah pengumuman di saluran-saluran TV seluruh negara.

Di dalam sebuah kenyataan Majlis Keselamatan Negara (MKN), rakyat diminta bersabar dan patuh arahan kerajaan demi keselamatan diri dan keluarga.

Keputusan ini dibuat selepas penelitian pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara, yang memutuskan sedemikian selepas melihat keadaan mungkin akan bertambah teruk jika tindakan ini tidak diambil.

Menurut Tan Sri Muhyiddin, keadaan telahpun bertambah teruk apabila jumlah kes sudahpun bertambah sebanyak 172 kes hari ini, menjadikan jumlah keseluruhannya 1,796 kes, manakala jumlah kematian telah meningkat ke 17 kematian.

Tan Sri Muhyiddin turut mengucapkan terima kasih kepada mereka yang mematuhi arahan kerajaan, dan amat memahami cabaran yang dihadapi oleh mereka yang terpaksa duduk diam di rumah selama tempoh masa yang panjang.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador pula mengingatkan rakyat agar kekal mematuhi arahan kerajaan, dan bersedia untuk digari dan bermalam di penjara jika terus ingkar.

Menurutnya, pihak polis telahpun dibenarkan untuk menangkap mereka yang angkuh terus tidak mematuhi arahan kerajaan, dan mereka sudahpun tangkap lebih 107 orang setakat pagi tadi.

“Saya dah beritahu, saya dah mula menangkap. Dah 107 orang ditangkap.

“Bagi mereka yang masih ingat mereka kebal dari penyakit, ataupun sengaja nak tunjuk dia gangster, melepak-lepak di tepi padang, jangan terkejut apabila digari tangan dan dibawa ke lokap.

“Dah dibuat pun, kebanyakan menghalang penjawat awam. Jangan terkejut, jangan marah, untuk duduk di lokap tiga, empat malam,” katanya di dalam sebuah temu bual pada hari ini.

Bagaimanapun, Abdul Hamid memaklumkan bahawa peratus rakyat yang patuh kini pada 92 peratus malah kadar jenayah juga telah menurun sebanyak 70 peratus.

Beliau turut menggesa rakyat agar tidak mendedahkan identiti suspek pesakit Covid-19 melalui media sosial atau mana-mana medium.

“Ini salah, ia akan menakutkan orang ramai.

“Jika pesakit sudah sihat dan dikeluarkan dari hospital, jiran akan hindari pesakit.

“Jika rakyat tahu siapa yang saspek membawa wabak Covid-19, mereka boleh terus lapor dan pihak polis akan datang bawa individu terbabit lakukan pemeriksaan kesihatan,” katanya.

Melihat kepada beberapa jenayah siber berhubung Covid-19, Abdul Hamid berkata pihak berkuasa telah membuka 370 kes berikutan perkara terbabit.

Author: Ahmad Ali Karim

Blogger. Columnist at Utusan Malaysia. RCE Youth Coordinator at RCE Greater Gombak. Secretary at Pertubuhan Permuafakatan Pendidikan Malaysia (ME'DIDIK).

One thought on “Covid-19: PKP Dilanjut 14 Hari; Polis Diberi "Green Light" Untuk Tangkap”

Leave a comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.