Masih Ada Yang Ambil Mudah Impak Covid-19?

Dalam perutusan khas yang disiarkan secara langsung di malam pertama Perintah Kawalan Pergerakan, Tan Sri Muhyiddin Yassin sekali lagi mengingatkan rakyat Malaysia supaya berada di rumah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan untuk membendung penularan wabak Covid-19.

Ini memandangkan ada dalam kalangan rakyat yang tidak mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan dan bertindak meninggalkan ibukota dan bandar-bandar besar untuk pulang ke kampung serta ada juga yang makan di kedai-kedai makan, bersiar-siar dan sebagainya.

Walaupun Perintah Kawalan Pergerakan ini hanya berlangsung selama dua minggu, tetapi jika keadaan bertambah teruk kerajaan mungkin terpaksa memanjangkan tempoh masa kawal pergerakan ini.

Membawa jangkitan wabak Covid-19 ke kawasan-kawasan luar bandar akan membawa masalah yang lebih besar memandangkan pesakit yang dijangkiti virus ini terpaksa dirawat di hospital-hospital yang mempunyai kelengkapan dan kepakaran yang khusus. Perkara ini akan menambahkan lagi bebanan kewangan dan emosi kepada pesakit dan keluarga mereka.

Jangkitan yang tidak terkawal juga sudah tentu akan membebankan perkhidmatan kesihatan secara keseluruhannya seperti yang berlaku di negara China ketika wabak ini sedang menular di wilayah Hubei, khasnya di bandaraya Wuhan.

Sebelum Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan, kesan ekonomi akibat wabak ini sudah dirasai oleh mereka yang terlibat di sektor pelancongan, industri penerbangan, penghotelan, hiburan dan pelbagai industri lain yang berkaitan termasuk mereka yang menjual hasil kraftangan dan pelbagai perkhidmatan kepada pelancong-pelancong.

Beberapa syarikat penerbangan di seluruh dunia telah mula mencadangkan potongan gaji dan cuti tanpa gaji kepada kakitangan mereka untuk mengelakkan keruntuhan syarikat jika keadaan ini berlarutan.

Rakyat yang diberhentikan kerja, terpaksa mengambil cuti tanpa gaji atau peniaga yang tidak dapat menjalankan perniagaan mula mengeluh kerana apabila sudah tidak lagi dapat berkerja, maka sumber pendapatan mereka juga terjeda, mengakibatkan masalah kewangan di dalam keluarga.

Ini menjejaskan kehidupan mereka, apatah lagi bagi mereka yang tidak memiliki tabungan.

Perkara ini bertambah rumit jika mereka mempunyai komitmen yang tinggi termasuk bayaran ansuran rumah, kereta, kad kredit dan pelbagai hutang selain perbelanjaan keluarga yang tinggi.

Anak-anak yang sudah biasa dengan kehidupan yang selesa berkemungkinan akan merasa tertekan dan sukar untuk menerima keadaan yang berubah dengan drastik akibat kehilangan sumber pendapatan keluarga.

Sektor perniagaan barangan mewah dan barangan bukan keperluan asas juga mungkin akan turut terjejas jika wabak ini berlanjutan. Hasilnya seperti kesan domino dan berjangkit kepada sektor-sektor lain termasuk sektor kewangan apabila hutang gagal dibayar; akhirnya ekonomi negara akan lumpuh dan kadar pengangguran akan bertambah.

Pengurusan wabak yang menelan perbelanjaan tinggi akan menambah perbelanjaan kerajaan dengan ketara dan ini amat membebankan kerana di masa yang sama kerajaan juga perlu mengeluarkan perbelanjaan tambahan untuk merangsang ekonomi negara yang jatuh akibat wabak ini.

Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna. Jadilah rakyat yang bertanggungjawab dan hargailah hak orang lain di sekeliling kita dengan tidak hanya mementingkan diri sendiri.

Sebagai seorang anak yang telah merasai kehilangan punca pendapatan keluarga dalam sekelip mata dan terpaksa meneruskan kehidupan tanpa pendapatan bulanan setelah kematian ayah secara tiba-tiba, saya sedar bahawa suasana ini amat mencabar namun kami berusaha untuk terus berjuang.

Jadi saya yakin anda juga boleh mengharungi masa yang sukar ini dengan sikap yang positif.

Semakin lama wabak ini melanda, semakin ramai rakyat yang akan menderita.

Patuhi arahan pihak berwajib dan berdoalah agar kita dilindungi Allah dan diberi kekuatan untuk menempuh saat yang getir ini.

Semoga Allah S.W.T. memelihara negara kita dari segala masalah dan memelihara kita semua dari wabak Covid-19.

Author: Ahmad Ali Karim

Blogger. Official Ambassador at Muafakat Pendidikan Johor (MPJ). Former Columnist at Utusan Online.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.