[Free Malaysia Today}- Solat Jumaat boleh untuk tidak dilakukan sekiranya keadaan wabak koronavirus Covid-19 merebak tanpa terkawal menurut Kementerian Kesihatan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Zulkifli Mohamad.
“Tetapi wajib diganti dengan solat Zohor di rumah masing-masing,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zulkifli menjelaskan terdapat beberapa garis panduan dalam hal itu, pertama sekali larangan perlu dikeluarkan oleh pemerintah berautoriti seperti Kementerian Kesihatan.
Seterusnya, larangan tersebut termasuk juga sebarang bentuk acara dan perhimpunan rasmi atau tidak, wabak sudah menunjukkan kesannya dan ramai disahkan positif Covid-19, dan pihak bertanggungjawab sudah menjalankan pemeriksaan yang rapi jemaah yang menghadiri masjid atau surau dalam tempoh jangkaan penularan wabak.
Terdahulu, Zulkifli pada satu sidang media memaklumkan Jabatan Perdana Menteri sudah menyediakan 5 kertas kerja berkaitan Covid-19 bagi solat Jumaat dan aktiviti keagamaan untuk dibentang di Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan.
Perbincangan mengenai kertas kerja itu, yang juga memasukkan panduan berkaitan, akan diputuskan dalam masa 2 atau 3 hari lagi.
Sebuah badan pemikir, Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial menggesa rumah ibadat, termasuk surau, masjid, kuil dan gereja supaya tidak mengadakan perhimpunan dan majlis keagamaan besar susulan peningkatan kes Covid-19 yang dilaporkan.
Perkembangan ini selepas pihak berkuasa mengesahkan seorang individu yang menghadiri satu perhimpunan tabligh di sebuah masjid antara kes Covid-19 terbaru, dan pihak berkuasa sedang menjejaki ribuan peserta lain.