Kini sudah lebih seminggu rakyat diheret ke dalam krisis politik negara, dan walaupun kemelut pemilihan Perdana Menteri ke-8 telah dapat diselesaikan, namun krisis dalaman parti-parti politik masih belum menemui jalan penyelesaiannya dan kini ramai pula yang menunding jari bagi menyalahkan pihak lain di atas apa yang terjadi.
Mengambil kira situasi semasa, saya menjangkakan kekecohan ini tidak akan berakhir sekurang-kurangnya sehingga tarikh 18 Mei, iaitu hari pertama persidangan Dewan Rakyat.
Terkadang, saya merasa penat menyaksikan perkara-perkara yang dibangkitkan, isu baharu yang timbul bertalu-talu serta ditambah dengan tindakan membuat U-turn yang tiada pengakhirannya oleh ahli-ahli politik.
Sebagai seorang pelajar, biasanya saya menulis apabila ada kelapangan, khasnya di hujung minggu. Pada hujung minggu lepas, saya memilih untuk membuat satu analisa tentang keputusan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan yang memutuskan bahawa Tun Dr. Mahathir akan diberi sebanyak mana masa yang beliau mahukan sebelum melepaskan jawatannya kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Setelah hampir selesai menulis artikel tersebut, saya dikejutkan oleh satu panggilan daripada seorang sahabat menceritakan tentang desas-desus adanya pergolakan politik yang sedang berlaku berdasarkan berita bahawa 5 parti politik telah mengadakan mesyuarat serentak.
Lantas saya menukar naratif tulisan saya dengan mengambil kira situasi semasa.
Sila baca: Apa Sebabnya 5 Mesyuarat Parti Politik Diadakan Serentak Pada Hari Ini?
Ini disusuli oleh berita tergempar tentang satu mesyuarat dan sidang media di Hotel Sheraton, Petaling Jaya pada malamnya, yang kemudiannya dikatakan hanya sekadar sebuah majlis makan malam.
Keesokan harinya, belum pun sempat saya makan tengahari, saya dikejutkan pula oleh satu per satu berita yang menggemparkan, seterusnya diikuti pula oleh U-turn yang berkali-kali sehingga menjadi O-turn oleh pemimpin-pemimpin politik, khasnya tentang arah sokongan mereka sehinggakan memeningkan rakyat.
Jika semua ini hanya sekadar sebuah cerita fiksyen, mungkin plot yang berubah-ubah dengan pantas dan diluar jangkaan akal akan dianggap menarik.
Namun oleh kerana ini adalah satu realiti, maka keadaan sebegini amat menakutkan kerana rakyat terpaksa berhadapan dengan keadaan yang tidak menentu apabila pendirian para pemimpin politik boleh berubah-ubah berkali-kali; sekejap menyokong, sekejap tidak sokong; pagi begini, petangnya begitu; malah SD pun boleh berubah-ubah.
Di media sosial ada yang kata “kita lihat je lah sambil makan popcorn”, namun ada yang kata pula “sekarang bukan popcorn dah, zaman ni kita makan keropok Super Ring pula”!
Saya kira pada zaman popcorn, pergerakan ceritanya lebih perlahan, namun di zaman keropok Super Ring, plot ceritanya bergerak terlalu pantas, tidak terduga dek akal dan penuh kejutan.
Mungkin ceritanya menghiburkan jika semua ini hanyalah sebahagian daripada cerita fantasi, namun bila ianya adalah realiti yang membabitkan soal masa depan negara, keadaan adalah sebaliknya!
Peningnya rakyat sehinggakan ada dalam kalangan kita yang telah menjadi sangat keliru sehinggakan lebih mengenali keropok Super Ring daripada bekas pemimpin parti sendiri yang kini telah menjadi Perdana Menteri!
P.S. Tulisan ini tidak ditaja oleh “keropok Super Ring”, malah saya belum pernah makan keropok tersebut seumur hidup saya.
2 thoughts on “Antara Popcorn dan Keropok Super Ring”