Krisis Peralihan Kuasa: Siapakah PM Seterusnya?

Keputusan Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk meletak jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia sebentar tadi telah menggemparkan seluruh negara, sambil rakyat tertanya-tanya apakah yang bakal berlaku selepas ini.

Baca juga: Ku Li, the Best Choice for Our Nation?

Oleh kerana Pakatan Harapan telahpun secara rasminya hilang majoriti di Dewan Rakyat, mereka tidak lagi merupakan kerajaan yang sah kerana tidak lagi mempunyai sekurang-kurangnya 112 kerusi di Parlimen.

Oleh itu, Parlimen kini sedang berdiri di hujung tebing pembubaran jika satu kerajaan baharu tidak dapat dibentuk dalam masa yang terdekat.

Dalam keadaan sekarang, jika parlimen tidak dibubar, berkemungkinan besar gabungan parti Barisan Nasional, Parti Islam Se-Malaysia, Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Parti Warisan Sabah, Gabungan Parti Sarawak dan ahli-ahli Dewan Rakyat bebas yang baru sahaja keluar atau dikeluarkan daripada Parti Keadilan Rakyat akan membentuk sebuah kerajaan yang baharu dan mengganti kerajaan Pakatan Harapan dalam mentadbir negara seperti biasa.

Gabungan ini yang dinamakan Perikatan Nasional buat setakat ini dikatakan mempunyai 129 kerusi.

Akhbar telah melaporkan bahawa Tun Mahathir bersama ahli-ahli parlimen UMNO dan PAS telah ke Istana Negara untuk mencadang kerajaan baharu ini, seperti yang telahpun disahkan oleh Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan.

Jika perkara ini menjadi kenyataan, maka persoalan seterusnya adalah siapakah yang bakal dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia yang baharu?

Soalan ini telahpun dibicarakan oleh beberapa akhbar.

Harian Metro dalam isu ini telah menamakan Tengku Razaleigh Hamzah, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan juga Dato’ Seri Hishamuddin Hussein.

Di dalam laporan mereka, wartawan Harian Metro menjelaskan bahawa ketiga-tiga nama tersebut telahpun dicadangkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk pernilaian Baginda oleh pihak UMNO dan PPBM.

Pada hemat saya, di antara ketiga-tiga nama tersebut, Dato’ Seri Hishamuddin mempunyai harapan yang paling tipis untuk dilantik sebagai Perdana Menteri, berbanding dengan dua lagi calon yang lebih hebat dan berpengalaman dalam pentadbiran negara.

Sebelum beliau dipecat, Tan Sri Muhyiddin merupakan Timbalan Perdana Menteri Malaysia di bawah pemerintahan Dato’ Seri Najib Razak sejak 2009, maka saya melihat beliau mempunyai peluang yang lebih besar daripada Dato’ Seri Hishamuddin.

Mengambil contoh itu, perkara yang sama sebenarnya boleh dipakai kepada Tengku Razaleigh, kerana beliau sepatutnya telahpun menjadi Timbalan Perdana Menteri semasa zaman pemerintahan Tun Mahathir yang terdahulu, tetapi menolak tawaran tersebut kerana beliau pada masa itu komited di dalam usaha untuk membangunkan PETRONAS dan ekonomi negara.

Beliau yang lama berada di dalam bidang politik mempunyai lebih pengalaman berbanding calon-calon yang lain, malah dihormati oleh bukan sahaja pemimpin tempatan tetapi juga pemimpin luar negara sebagai tokoh yang hebat.

Ini dibuktikan dengan pencapaian cemerlang beliau semasa menjawat jawatan sebagai Menteri Kewangan Malaysia, Pengerusi International Bank for Reconstruction and Development di World Bank, Amerika Syarikat pada tahun 1977, Pengasas PETRONAS, Pengerusi Islamic Development Bank di Arab Saudi, dan banyak lagi.

Oleh itu, beliau mempunyai kelebihan dalam usaha memulihkan keadaan ekonomi Malaysia yang semakin merosot kini.

Saya juga melihat keunggulan peribadi Tengku disamping pengalaman beliau dalam mengharungi pahit maung perjuangan politik membolehkan beliau menstabilkan keadaan suasana politik Malaysia yang sedang dilanda badai pada ketika ini.

Malaysia memerlukan seorang pemimpin yang berwibawa dan berkaliber serta berpengalaman untuk mengetuai satu gabungan politik yang baharu untuk memimpin negara.

Kita sebagai rakyat hanya boleh meneka, walau bagaimanapun, segalanya adalah tertakluk kepada budi bicara dan kebijaksanaan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Di bawah peruntukan yang tersedia di dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia, Yang di-Pertuan Agong mempunyai hak untuk memilih sesiapa sahaja dalam kalangan ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Baginda mempunyai sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat untuk menjadi Perdana Menteri, dan saya yaking bahawa Baginda akan membuat keputusan terbaik bagi rakyat Malaysia.

Author: Ahmad Ali Karim

Blogger. Official Ambassador at Muafakat Pendidikan Johor (MPJ). Former Columnist at Utusan Online.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.