Hari Ahad 23 Februari 2020 adalah satu hari yang penuh dengan kejutan!
Berbagai perkara telah berlaku dan rakyat Malaysia telah menunggu dengan penuh debaran akan apa yang berlaku ekoran perjumpaan pemimpin-pemimpin parti-parti politik daripada Barisan Nasional, PAS, PPBM, PRK, Warisan dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Hotel Sheraton Petaling Jaya.
Sila baca: Apa Sebabnya 5 Mesyuarat Parti Politik Diadakan Serentak Pada Hari Ini?
Petugas-petugas media telah memenuhi hotel tersebut sebaik mendapat berita tentang satu sidang media penting akan diadakan setelah perjumpaan yang kemudiannya disebut sebagai “Majlis Makan Malam Muafakat Ahli Parlimen” itu berlangsung pada sebelah malamnya.
Namun tiada sidang media di Hotel Sharaton selepas majlis tersebut dan media melaporkan bahawa sebilangan pemimpin yang hadir telah bergegas ke mesyuarat-mesyuarat lain termasuk Timbalan Persiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali.
Dalam perkembangan lain, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak iaitu setiausaha politik kepada Presiden PKR, Dato’ Seri Anwar Ibrahim memberitahu Malaysiakini bahawa Presiden PKR itu dijadualkan akan mengadap DYMM Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, Kuala Lumpur pada pukul dua petang hari ini.
Di bawah tajuk ,”‘Mungkin esok’, Anwar sahkan cubaan jatuhkan kerajaan PH” Free Malaysia Today (FMT) pula melaporkan bahawa Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah “mengesahkan ada cubaan menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan, melibatkan ahli politik PPBM dan PKR “yang khianat””.
“Saya jangka kemungkinan itu akan berlaku dalam masa terdekat – mungkin esok – walaupun tiada pengumuman malam ini tapi dari maklumat yang saya terima memang ada usaha demikian,” katanya.
FMT (‘Mungkin esok’, Anwar sahkan cubaan jatuhkan kerajaan PH)
Malaysia Gazette pula melaporkan bahawa, “bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengesahkan telah menandatangani akuan berkanun (SD) bagi membolehkan Tun Dr. Mahathir Mohamad membentuk gabungan parti baharu yang dinamakan Perikatan Nasional”.
“Ya, saya sudah tandatangan, namun bersyarat,” katanya.
Malaysia Gazette (Najib sokong gabungan parti baharu tetapi ada syarat)
Malaysiakini melaporkan bahawa pemimpin-pemimpin politik yang menyokong Anwar pula telah bermesyuarat di kediaman beliau di Segambut untuk membincangkan krisis ini sebelum beliau keluar untuk menghadiri sebuah mesyuarat lain bersama pemimpin-pemimpin Amanah dan DAP.
Persoalannya, apakah benar bahawa sebuah gabungan parti baharu yang diberi nama Perikatan Nasional bakal ditubuhkan dalam jangka masa yang terdekat?
Malah dikatakan bahawa Perikatan Nasional telahpun mendapat sokongan daripada 130 Ahli Parlimen, iaitu melebihi 18 kerusi daripada jumlah majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.
Daripada perkembangan ini, saya menjangkakan dua kemungkinan besar yang bakal berlaku:
- Malaysia bakal mengalami pertukaran kerajaan, daripada kerajaan Pakatan Harapan kepada kerajaan Perikatan Nasional.
- Parlimen akan dibubarkan dan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 akan diadakan dalam masa yang terdekat untuk mendapat mandat baharu daripada rakyat.
Majlis Makan Malam Muafakat Ahli Parlimen semalam telah menzahirkan bahawa Pakatan Harapan sedang bergolak hebat.
Perkara ini telah diakui oleh Presiden PKR sendiri, apabila beliau merujuk pemimpin kerajaan yang hadir sebagai “bekas rakan-rakan kita”, dan mengakui bahawa beberapa ahli PKR telah bertindak mengkhianatinya.
Dalam keadaan sekarang segala-galanya terletak di tangan DYMM Yang di-Pertuan Agong.
Jika Baginda bersetuju dengan pembentukan kerajaan Perikatan Nasional, maka pertukaran kerajaan akan berlaku dengan secepat mungkin; namun jika Baginda berpandangan bahawa PRU harus diadakan untuk menyelesaikan krisis ini, maka Baginda mempunyai kuasa untuk memerintahkan agar Parlimen dibubarkan bagi membolehkan PRU 15 diadakan agar rakyat dapat memilih kerajaan yang baharu.
Apakah akan lahir gerakan reformasi 2.0?
Rakyat tentu mahukan kestabilan politik dan tidak mahu melihat negara terumbang-ambing akibat kapal mempunyai dua nahkoda.
3 thoughts on “Apa Lagi Kejutan Yang Bakal Berlaku Pada Hari Ini?”