RASMI: Tun Mahathir Dilantik Perdana Menteri Interim

[Malaysiakini}- Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali mengesahkan mengumumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah berkenan melantik Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri interim.

Menerusi satu kenyataan, beliau memaklumkan bahawa Seri Paduka juga berkenan menerima perletakan perdana menteri tetapi memutuskan bahawa Dr Mahathir harus terus menerajui negara sehingga kerajaan baru dibentuk.

Terdahulu, Mahathir mengadap Seri Paduka di Istana Negara di Kuala Lumpur.

Krisis Peralihan Kuasa: Siapakah PM Seterusnya?

Keputusan Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk meletak jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia sebentar tadi telah menggemparkan seluruh negara, sambil rakyat tertanya-tanya apakah yang bakal berlaku selepas ini.

Baca juga: Ku Li, the Best Choice for Our Nation?

Oleh kerana Pakatan Harapan telahpun secara rasminya hilang majoriti di Dewan Rakyat, mereka tidak lagi merupakan kerajaan yang sah kerana tidak lagi mempunyai sekurang-kurangnya 112 kerusi di Parlimen.

Oleh itu, Parlimen kini sedang berdiri di hujung tebing pembubaran jika satu kerajaan baharu tidak dapat dibentuk dalam masa yang terdekat.

Dalam keadaan sekarang, jika parlimen tidak dibubar, berkemungkinan besar gabungan parti Barisan Nasional, Parti Islam Se-Malaysia, Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Parti Warisan Sabah, Gabungan Parti Sarawak dan ahli-ahli Dewan Rakyat bebas yang baru sahaja keluar atau dikeluarkan daripada Parti Keadilan Rakyat akan membentuk sebuah kerajaan yang baharu dan mengganti kerajaan Pakatan Harapan dalam mentadbir negara seperti biasa.

Gabungan ini yang dinamakan Perikatan Nasional buat setakat ini dikatakan mempunyai 129 kerusi.

Akhbar telah melaporkan bahawa Tun Mahathir bersama ahli-ahli parlimen UMNO dan PAS telah ke Istana Negara untuk mencadang kerajaan baharu ini, seperti yang telahpun disahkan oleh Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan.

Jika perkara ini menjadi kenyataan, maka persoalan seterusnya adalah siapakah yang bakal dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia yang baharu?

Soalan ini telahpun dibicarakan oleh beberapa akhbar.

Harian Metro dalam isu ini telah menamakan Tengku Razaleigh Hamzah, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan juga Dato’ Seri Hishamuddin Hussein.

Di dalam laporan mereka, wartawan Harian Metro menjelaskan bahawa ketiga-tiga nama tersebut telahpun dicadangkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk pernilaian Baginda oleh pihak UMNO dan PPBM.

Pada hemat saya, di antara ketiga-tiga nama tersebut, Dato’ Seri Hishamuddin mempunyai harapan yang paling tipis untuk dilantik sebagai Perdana Menteri, berbanding dengan dua lagi calon yang lebih hebat dan berpengalaman dalam pentadbiran negara.

Sebelum beliau dipecat, Tan Sri Muhyiddin merupakan Timbalan Perdana Menteri Malaysia di bawah pemerintahan Dato’ Seri Najib Razak sejak 2009, maka saya melihat beliau mempunyai peluang yang lebih besar daripada Dato’ Seri Hishamuddin.

Mengambil contoh itu, perkara yang sama sebenarnya boleh dipakai kepada Tengku Razaleigh, kerana beliau sepatutnya telahpun menjadi Timbalan Perdana Menteri semasa zaman pemerintahan Tun Mahathir yang terdahulu, tetapi menolak tawaran tersebut kerana beliau pada masa itu komited di dalam usaha untuk membangunkan PETRONAS dan ekonomi negara.

Beliau yang lama berada di dalam bidang politik mempunyai lebih pengalaman berbanding calon-calon yang lain, malah dihormati oleh bukan sahaja pemimpin tempatan tetapi juga pemimpin luar negara sebagai tokoh yang hebat.

Ini dibuktikan dengan pencapaian cemerlang beliau semasa menjawat jawatan sebagai Menteri Kewangan Malaysia, Pengerusi International Bank for Reconstruction and Development di World Bank, Amerika Syarikat pada tahun 1977, Pengasas PETRONAS, Pengerusi Islamic Development Bank di Arab Saudi, dan banyak lagi.

Oleh itu, beliau mempunyai kelebihan dalam usaha memulihkan keadaan ekonomi Malaysia yang semakin merosot kini.

Saya juga melihat keunggulan peribadi Tengku disamping pengalaman beliau dalam mengharungi pahit maung perjuangan politik membolehkan beliau menstabilkan keadaan suasana politik Malaysia yang sedang dilanda badai pada ketika ini.

Malaysia memerlukan seorang pemimpin yang berwibawa dan berkaliber serta berpengalaman untuk mengetuai satu gabungan politik yang baharu untuk memimpin negara.

Kita sebagai rakyat hanya boleh meneka, walau bagaimanapun, segalanya adalah tertakluk kepada budi bicara dan kebijaksanaan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Di bawah peruntukan yang tersedia di dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia, Yang di-Pertuan Agong mempunyai hak untuk memilih sesiapa sahaja dalam kalangan ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Baginda mempunyai sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat untuk menjadi Perdana Menteri, dan saya yaking bahawa Baginda akan membuat keputusan terbaik bagi rakyat Malaysia.

UMNO, PAS, Tun Mahathir Bersama-sama Persembah Kerajaan Baharu ke YDPA

[Sinar Harian}- Semua ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan Pas akan ke Istana Negara pada jam 5 petang ini bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Perkara itu disahkan oleh Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan ketika ditemui media di Menara Dato Onn di sini hari ini.

Ahli Parlimen Kota Bharu itu mendakwa, UMNO dan Pas sudah memiliki majoriti mencukupi untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Ya kita ada jumlah yang cukup iaitu 129 (ahli Parlimen). Petang ini kami akan menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara,” katanya.

Beliau juga mengesahkan pertemuan itu akan turut dihadiri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sementara itu beberapa pemimpin UMNO dan Pas dipercayai sudah berada di Menara Dato Onn bagi menantikan ‘isyarat’ tindakan seterusnya daripada pemimpin atasan mereka.

Difahamkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bertanggungjawab menyampaikan perkembangan kepada pemimpin tersebut setelah selesai pertemuan berlangsung di Istana Negara.

Rencana berkaitan:

TERKINI – PH Hilang Majoriti Dewan Rakyat, PRU-15 Selepas Ini?

Tidak dapat dinafikan bahawa permainan politik Tun Dr. Mahathir memang hebat.

Setelah Azmin Ali dan Zuraida Kamaruddin dipecat keahlian daripada PKR, Tun M telah mengumunkan perletakan jawatan beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Tan Sri Muhyiddin Yassin pula mengumumkan bahawa PPBM secara rasminya telah keluar daripada Pakatan Harapan.

Ini bermakna jumlah kerusi Pakatan Harapan di Dewan Rakyat tidak lagi mencapai majoriti mudah iaitu 112 kerusi.

Maka, Pakatan Harapan sudahpun tidak lagi mempunyai majoriti mudah di Dewan Rakyat untuk membentuk kerajaan.

Apakah tindakan yang bakal diambil oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selepas ini? Apakah Baginda akan membubar parlimen?

Rencana berkaitan:

SAH Parti BERSATU Keluar PH

KENYATAAN MEDIA

PRESIDEN
PARTI PRIBUMI BERSATU MALAYSIA

24 APRIL 2020

Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dalam mesyuarat khas yang diadakan pada 23 Februari 2020 telah membuat keputusan untuk keluar daripada Pakatan Harapan.

Semua Ahli Dewan Rakyat dari parti BERSATU juga dengan ini keluar Pakatan Harapan. Semua mereka telah menandatangani Akuan Bersumpah untuk terus menyokong dan memberi kepercayaan kepada YAB Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Keputusan ini dibuat dengan mengambil kira perkembangan politik semasa dan masa depan negara.

TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HJ MOHD YASSIN
Presiden
Parti Pribumi Bersatu Malaysia

PKR Sah Pecat Azmin – Apakah Gerakan Pilihan Azmin?

Terkini, Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail telah mengumumkan bahawa Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali telah dipecat keahlian parti (PKR) berkuat kuasa serta merta.

Persoalannya apakah jalan yang akan dipilih Azmin selepas ini?

Menariknya, hari ini akhbar Astro Awani melaporkan bahawa sedang timbul semula spekulasi Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan menyertai Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN).

Terbaharu, Presiden Gerakan, Dominic Lau berkata parti tersebut akan membincangkan kemungkinan bagi Mohamed Azmin dan kemnya untuk menyertai parti berkenaan.

Memetik laporan Malaysiakini, perbincangan tersebut akan diadakan tatkala berlangsungnya mesyuarat jawatankuasa pusat Gerakan di ibu negara pada pukul 4 petang Isnin.

Astro Awani – (Spekulasi Azmin Ali sertai Gerakan timbul sekali lagi)

Menariknya, saya pernah menulis tentang perkara ini pada pertengahan tahun lepas, apabila krisis dalaman PKR mula meruncing dan seolah-olah tidak boleh diselesaikan lagi, di bawah tajuk “Gerakan Lebih Sesuai Untuk Azmin Berbanding PPBM? – Satu Analisa“.

Sebagai penulis amatur yang meminati bidang politik, saya tidak melihat bahawa Azmin akan menyertai parti PPBM seperti yang dispekulasikan oleh ramai pihak pada ketika itu, sebaliknya saya berpendapat bahawa beliau akan memilih sebuah parti politik lain yang lebih menguntungkannya.

Jadi, apakah benar Timbalan Presiden PKR ini akan menyertai bekas ahli komponen Barisan Nasional tersebut, atau adakah ini hanyalah sekadar satu lagi khabar angin di kala keadaan politik negara sedang bergolak?

Spekulasi tentang Azmin akan meninggalkan parti PKR semakin diperkatakan apabila beliau tidak hadir pada mesyuarat parti yang dipengerusikan oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di ibu pejabat parti itu hari ini.

Nampaknya isu peralihan kuasa politik di antara Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir dan Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah benar-benar memanaskan keadaan politik Malaysia.

Mahathir Sah Letak Jawatan

Tun Dr. Mahathir Mohamad telahpun sah meletak jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Perkara ini telahpun disahkan oleh Pejabat Perdana Menteri sebentar tadi.