Coronavirus: KKM Mencatat Kes Pertama di Malaysia

Baca versi Jawi di sini.

[Malaysiakini}- Kementerian Kesihatan Malaysia mengesan kes jangkitan novel coronavirus (2019-nCoV) yang pertama di negara ini.

Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad berkata ujian pengesanan dan pengesahan melibatkan tiga individu itu diperolehi dari pihak Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) Sungai Buloh lewat malam semalam.

Beliau memberitahu sidang akhbar bahawa tiga pesakit itu mempunyai kaitan dengan bapa dan anak dari Wuhan, China, yang telah disahkan positif dengan virus itu di Singapura tiga hari lalu.

“Tiga kes positif adalah isteri lelaki berusia 66 tahun yang diuji positif di Singapura pada 22 Jan, dan dua cucu mereka berumur 11 dan 2 tahun.

“Mereka melancong dalam kumpulan 10 orang dari Wuhan, sebelum kedua-dua lelaki itu ditahan dan diuji positif di Singapura.

“Berikutan itu, lapan orang yang tidak menunjukan sebarang gejala telah dibebaskan oleh Kementerian Kesihatan Singapura (KKS) dan mereka datang ke Johor Bahru pada 23 Jan.

“Kami dimaklumkan oleh KKS dan segera menempatkan lapan individu itu, dan mengasingkan mereka untuk pemeriksaan,” kata Dzulkefly kepada media.

Menurutnya, keputusan ujian lapan individu itu diperoleh lewat malam tadi, dan pihak berkuasa kesihatan telah membawa dua kanak-kanak itu dan nenek mereka ke Hospital Sungai Buloh untuk dimasukkan ke wad pengasingan.

Ibu kanak-kanak itu, yang berumur 36 tahun, telah disahkan positif tetapi turut dibawa ke hospital untuk menjaga anak-anaknya di bawah pengawasan ketat.

Dzulkefly berkata empat pelancong lain yang ujian mereka negatif adalah pasangan suami isteri dan dua anak mereka. Mereka telah meninggalkan negara ini pagi tadi untuk kembali ke China.

Sementara itu, ditanya sama ada KKM mempunyai data mengenai bilangan pelawat dari Wuhan yang berada di Malaysia atau jumlah individu yang telah melawat ibu kota wilayah Hubei itu baru-baru ini, menteri itu berkata mereka perlu berhubung dengan Jabatan Imigresen.

Beliau berkata mereka bagaimanapun mempunyai data mengenai individu yang baru-baru ini melawat Wuhan yang mendapatkan rawatan di hospital dalam negara ini.

Menurut Dzulkefly, sejak 22 Jan, mereka telah menemui 11 suspek kes 2019-nCov di negara ini, tetapi 10 telah disahkan sebagai negatif.

Mereka adalah tujuh rakyat Malaysia yang baru-baru ini mengunjungi China, dua warga China dari Wuhan, dan seorang warga Jordan.

“Ujian yang keputusannya masih belum diperoleh melibatkan seorang rakyat Malaysia, yang baru-baru ini mengunjungi China.

“Dia kini ditahan di Hospital Kuala Lumpur,” katanya.

Dzulkefly tidak memberikan butiran lanjut mengenai identiti individu yang disyaki dijangkiti virus berkenaan, namun berjanji akan mengemaskini maklumat kepada media dari semasa ke semasa.

كوروناۏيروس: كمنترين كصيحتن منچاتت كيس ڤرتام دمليسيا

Baca versi Rumi di sini.

کمنترين کصيحتن مليسيا مڠسن کيس جڠکيتن نوۏيل چوروناۏيروس ﴿‮VoCn-٩١٠٢﴾ يڠ ڤرتام د نݢارا اين‮.

منتري کصيحتن دوکتور ذلکفلي احمد برکات اوجين ڤڠسنن دان ڤڠصحن مليبتکن تيݢ اينديۏيدو ايت دڤراوليهي دري ڤيهق معمل کصيحتن عوام کبڠسأن سوڠاي بولوه ليوات مالم سمالم‮.‮

بلياو ممبريتاهو سيدڠ اخبار بهاوا تيݢ ڤساکيت ايت ممڤوڽاءي کاءيتن دڠن باڤ دان انق دري ووهن، چينا، يڠ تله دصحکن ڤوسيتيف دڠن ۏيروس ايت د سيڠاڤورا تيݢ هاري لالو‮.‮

‮”تيݢ کيس ڤوسيتيف اداله استري للاکي بروسيا ٦٦ تاهون يڠ داوجي ڤوسيتيف د سيڠاڤورا ڤد ٢٢ جانواري، دان دوا چوچو مريک برومور ١١ دان ٢ تاهون.‮

‮”مريک ملنچوڠ دالم کومڤولن ١٠ اورڠ دري ووهن، سبلوم کدوا-دوا للاکي ايت دتاهن دان داوجي ڤوسيتيف د سيڠاڤورا.

‮”برايکوتن ايت، لاڤن اورڠ يڠ تيدق منونجوکن سبارڠ ݢجالا تله دبيبسکن اوليه کمنترين کصيحتن سيڠاڤورا دان مريک داتڠ ک جوهر بهرو ڤد ٢٣ جانواري.‮

‮”کامي دمعلومکن اوليه کمنترين کصيحتن سيڠاڤورا دان سݢرا منمڤتکن لاڤن اينديۏيدو ايت، دان مڠاسيڠکن مريک اونتوق ڤمريقسأن،” کات ذلکفلي کڤد ميديا.‮

منوروتڽ، کڤوتوسن اوجين لاڤن اينديۏيدو ايت دڤراوليه ليوات مالم تادي، دان ڤيهق برکواس کصيحتن تله ممباوا دوا کانق-کانق ايت دان نينيق مريک ک هوسڤيتل سوڠاي بولوه اونتوق دماسوقکن ک ود ڤڠاسيڠن.‮

ايبو کانق-کانق ايت، يڠ برومور ٣٦ تاهون، تله دصحکن ڤوسيتيف تتاڤي توروت دباوا ک هوسڤيتل اونتوق منجاݢ انق-انقڽ د باوه ڤڠاواسن کتات.‮

ذلکفلي برکات امڤت ڤلنچوڠ لاين يڠ اوجين مريک نيݢاتيف اداله ڤاسڠن سوامي استري دان دوا انق مريک. مريک تله منيڠݢلکن نݢارا اين ڤاݢي تادي اونتوق کمبالي ک چينا.‮

سمنتارا ايت، دتاڽ سام اد کمنترين کصيحتن مليسيا ممڤوڽاءي داتا مڠناءي بيلڠن ڤلاوات دري ووهن يڠ برادا د مليسيا اتاو جومله اينديۏيدو يڠ تله ملاوات ايبو کوتا ولايه هوبيا ايت بارو-بارو اين، منتري ايت برکات مريک ڤرلو برهوبوڠ دڠن جابتن ايميݢريسين.‮

بلياو برکات مريک باݢايماناڤون ممڤوڽاءي داتا مڠناءي اينديۏيدو يڠ بارو-بارو اين ملاوات ووهن يڠ منداڤتکن راوتن د هوسڤيتل دالم نݢارا اين.‮

منوروت ذلکفلي، سجق ٢٢ جانواري، مريک تله منموءي ١١ سوسڤک کيس ﴿‮VoCn-٩١٠٢﴾ د نݢارا اين، تتاڤي ١٠ تله دصحکن سباݢاي نيݢاتيف.‮‮

مريک اداله توجوه رعيت مليسيا يڠ بارو-بارو اين مڠونجوڠي چينا، دوا ورݢ چينا دري ووهن، دان سأورڠ ورݢ الأردن.‮

‮”اوجين يڠ کڤوتوسنڽ ماسيه بلوم دڤراوليه مليبتکن سأورڠ رعيت مليسيا، يڠ بارو-بارو اين مڠونجوڠي چينا.‮

‮”‮دي کيني دتاهن د هوسڤيتل کوالا لومڤور،” کاتڽ.‮

ذلکفلي تيدق ممبريکن بوتيرن لنجوت مڠناءي ايدينتيتي اينديۏيدو يڠ دشکي دجڠکيتي ۏيروس برکنأن، نامون برجنجي اکن مڠمسکيني معلومت کڤد ميديا دري سماس ک سماس.‮

%d bloggers like this: