
Sekolah sepatutnya menjadi medan untuk mendidik generasi pelapis yang akan menentukan nasib negara di masa hadapan.
Namun kejayaan akademik semata-mata tidak akan menjamin seseorang pelajar menjadi rakyat yang bertanggungjawab dan setia kepada negara jika sifat patriotisme gagal ditanam di jiwa mereka.
Gambar di atas diambil pada hari Sabtu ketika saya dalam perjalanan pulang selepas mengikuti sebuah kelas di Batu Caves. Dalam keadaan kereta bergerak dengan agak laju, saya terpandang lukisan mural tersebut, lantas saya terus keluarkan telefon bimbit saya bagi mengambil gambar di atas.
Oleh kerana sekolah jenis kebangsaan ini terletak di negeri Selangor, saya kira bendera pada lukisan mural tersebut adalah lukisan bendera negeri Selangor.
Namun sejak bila bendera negeri Selangor mempunyai bintang pecah enam? Kalau bukan bendera negeri Selangor, bendera apa yang dilukis pada mural tersebut?
Semua pihak mesti sedar bahawa bendera negeri adalah lambang negeri dan bukannya perkara remeh yang boleh dipandang ringan.
Saya amat terkilan walaupun jika perkara ini merupakan satu lagi kesilapan pada bendera yang tidak disengajakan kerana ia berlaku pada mural sekolah yang sepatutnya mendidik murid-murid untuk mengenal jati diri negara bangsa termasuk bendera negeri yang menjadi simbol identiti negeri.
Untuk rekod, bendera negeri Selangor direkabentuk semasa pemerintahan Almarhum Sultan Abdul Samad ibni Almarhum Raja Abdullah, di mana:
- Warna merah iaitu warna yang sangat simbolik di dalam budaya Melayu, melambangkan keberanian, kepahlawanan dan kesetiaan.
- Warna kuning iaitu warna diraja melambangkan institusi diraja yang telahpun wujud sejak tahun 1753 lagi.
- Warna putih pula melambangkan kesucian.
- Bintang pecah lima melambangkan agama Islam, dan secara khususnya setiap mata pada bintang tersebut melambangkan lima rukun Islam iaitu mengucap dua kalimah syahadah, solat lima waktu sehari semalam, mengeluarkan zakat, berpuasa di bulan Ramadan dan mengerjakan haji di Baitullah.
Pada pandangan saya, pihak pentadbiran sekolah haruslah mengambil tindakan segera untuk membetulkan gambar pada mural tersebut serta memohon keampunan daripada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj dan seluruh rakyat Selangor di atas kesilapan ini.