ڤيليهن راي كچيل كيمنيس: ٢ چالون سهاج

Baca versi Rumi di sini.

ڤيليهن راي كچيل كيمنيس مڽقسيكن ڤرتنديڠن ساتو لاون ساتو انتارا چالون واريثن، كريم بوجڠ دان چالون باريسن ناسيونل محمدالأمين‮.

اين سلڤس تياد چالون بيبس حاضر د ڤوست ڤنمءن چالون د ديوان داتوق سري ڤڠليما محمد دون بانير، بياوفورت اڤابيلا ڤروسيس ڤڽرهن بورڠ ڤنچلونن دتوتوڤ ڤد جم ١٠ ڤاڬي‮.

ڤڬاواي ڤڠوروس ڤيليهن راي كچيل كيمنيس جوڤاري @جوڤري ايتوق مڠومومكن بهاوا سوروهنجاي ڤيليهن راي منريما ڤنچلونن درڤد كدوا-دوا چالون‮.

محمد مروڤاكن چالون ڤرتام تيبا ڤد جم ٩.٠٧ ڤاڬي دان سلساي مڽراهكن بورڠ ڤنچلونن ڤد جم ٩.٢٧ ڤاڬي‮.

مانكالا كريم يڠ تيبا ڤد جم ٩.١٣ ڤاڬي سلساي مڠيسي بورڠ ڤنچلونن ڤد جم ٩.٣٠ ڤاڬي‮.

ڤيليهن راي كچيل ڤرليمين كيمنيس داداكن سلڤس محكمه ڤرسكوتوان ڤد ٢ دسيمبر لڤس مڠكلكن كڤوتوسن محكمه ڤيليهن راي ‮كوتا كينبالو يڠ ممبطلكن كمناڠن انيفه امان باڬي كروسي ايت ڤد ڤيليهن راي عموم ك-١٤ لڤس.

محكمه ڤيليهن راي كوتا كينبالو ڤد ١٦ اوڬوس تاهون لڤس مموتوسكن كمناڠن انيفه د كروسي ايت سباڬاي تيدق صح دان ‮تربطل سلڤس منداڤتي اد كرتس اوندي تمبهن يڠ بوليه منجيجسكن كڤوتوسن ڤيليهن راي.

ڤد ڤيليهن راي عموم ٢٠١٨، انيفه ممنڠي كروسي ايت دڠن ماجوريتي ١٥٦ اوندي‮.

بلياو منداڤت ١١،٩٤٢ اوندي بربنديڠ ١١،٧٨٦ اوندي يڠ دڤراوليه كريم مانكالا سأورڠ لاڬي چالون، جعفر اسماعيل دري ڤرتي هارڤن رعيت سابه، منداڤت ١،٣٠٠ اوندي‮.

PRK Kimanis: Hanya 2 Calon Bertanding, BN & Warisan

Baca versi Jawi di sini.

[Malaysiakini}- Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Warisan, Karim Bujang dan calon BN Mohamad Alamin.

Ini selepas tiada calon bebas hadir di pusat penamaan calon di Dewan Datuk Seri Panglima Mohd Dun Banir, Beaufort apabila proses penyerahan borang pencalonan ditutup pada jam 10 pagi.

Pegawai Pengurus PRK Kimanis Jupari@Jupry Etok mengumumkan bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima pencalonan daripada kedua-dua calon.

Mohamad merupakan calon pertama tiba pada jam 9.07 pagi dan selesai menyerahkan borang pencalonan pada jam 9.27 pagi.

Manakala Karim yang tiba pada jam 9.13 pagi selesai mengisi borang pencalonan pada jam 9.30 pagi.

PRK parlimen Kimanis diadakan selepas Mahkamah Persekutuan pada 2 Dis lepas mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu yang membatalkan kemenangan Anifah Aman bagi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas.

Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu pada 16 Ogos tahun lepas memutuskan kemenangan Anifah di kerusi itu sebagai tidak sah dan terbatal selepas mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya.

Pada PRU 2018, Anifah memenangi kerusi itu dengan majoriti 156 undi.

Beliau mendapat 11,942 undi berbanding 11,786 undi yang diperoleh Karim manakala seorang lagi calon, Jaafar Ismail dari Parti Harapan Rakyat Sabah, mendapat 1,300 undi.