Ke Mana Remaja Tanpa Agama?

Negara kita meletakkan konsep asas bagi agama iaitu “Kepercayaan Kepada Tuhan” sebagai prinsip pertama Rukun Negara. Maka, mempercayai akan kewujudan Tuhan yang berkuasa terhadap makhluk dan seluruh alam adalah satu bahagian integral Rukun Negara.

Laman Web Rasmi Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional di bawah tajuk “Perisytiharan Rukun Negara” menulis:

Bangsa dan Negara ini telah diwujudkan atas kepercayaan yang kukuh kepada Tuhan. Sesungguhnya dengan nama Tuhanlah, Bangsa dan Negara ini diwujudkan sebagai sebuah Bangsa dan Negara yang berdaulat.

Saya melihat asbab “Kepercayaan Kepada Tuhan” dipilih sebagai prinsip pertama Rukun Negara adalah kerana agama memainkan peranan yang amat besar di dalam mengatur dan membentuk sistem kehidupan manusia yang bertamadun, lantas menjadi teras perpaduan dalam pembentukan negara bangsa.

Perkara ini bertepatan dengan Perlembagaan Persekutuan yang mana dalam Perkara 3(1) telah meletakkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan.

Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan .

Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan

Malah, sejarah dunia membuktikan bahawa agama merupakan aspek yang integral di dalam pembentukan peraturan dan undang-undang masyarakat yang membawa kepada kehebatan sesebuah tamadun.

Remaja adalah penentu masa hadapan negara; maka demi memastikan masa hadapan negara yang cemerlang, negara perlu mempunyai para remaja yang bukan sekadar cemerlang dari aspek akademik, tetapi juga cemerlang dari sudut agama, akhlak dan kerohanian.

Kata Saidina Ali ibn Abi Talib R.A.:

“Jika kamu mahu melihat masa depan sesebuah negara, maka lihatlah pemuda-pemudinya pada hari ini.”

Namun kini, di dalam keghairahan mengejar kejayaan akademik, kadang kala pendidikan agama seakan dipinggirkan dan kurang diberi penekanan oleh para remaja dan sesetengah golongan masyarakat.

Lebih malang lagi, sudah ada suara-suara lantang yang bukan sahaja mahukan masa mata pelajaran Pendidikan Islam di sekolah-sekolah dikurangkan malah ada yang mencadangkan agar mata pelajaran ini dihapuskan daripada kurikulum sekolah dan hanya diajar di Sekolah Agama.

Golongan ini gagal melihat pentingnya agama sebagai teras pembinaan sahsiah diri serta membina kekuatan jiwa khasnya ketika remaja menghadapi dugaan dan rintangan hidup.

Remaja yang jauh daripada agama juga lebih mudah terpengaruh dengan kehidupan yang bebas dan liar serta mudah terjebak dalam budaya hedonisme dan pemikiran liberal.

Akibatnya, semakin ramai remaja yang terjebak dalam kegiatan yang tidak sihat seperti menghisap rokok atau vape, menipu, mencuri, merompak, melaku musnah, penyalahgunaan dadah dan sebagainya.

Malah, banyak laporan yang menunjukkan peningkatan masalah mental dalan kalangan remaja akibat gagal menghadapi tekanan perasaan sehingga mengakibatkan kes-kes kemurungan dan bunuh diri.

Remaja bermasalah bukan sahaja berpunca akibat kurangnya bimbingan dan perhatian daripada ibu bapa akibat tuntutan kehidupan moden yang telah merenggangkan ikatan kekeluargaan tetapi juga berpunca daripada kekosongan jiwa akibat kurangnya pengisian kerohanian.

Agama adalah teras kehidupan yang akan melahirkan para remaja yang hebat akhlaknya dan tanpa benteng agama, para remaja akan merasakan bahawa mereka bebas untuk mengatur kehidupan mereka sendiri tanpa batasan atau tanpa terikat kepada peraturan atau undang-undang.

Justeru, amat sukar untuk memupuk sifat ketaatan sama ada sifat taat dan patuh kepada negara, pemimpin, ibu bapa mereka sendiri atau sesiapa sahaja dalam diri remaja yang berfahaman liberal sebegini.

Hal ini akan membawa remaja kepada fahaman anarkisme di mana mereka tidak mahu lagi mematuhi undang-undang atau aturan hidup yang telah ditetapkan serta bersikap memberontak dan ganas.

Masyarakat akan bermasalah jika undang-undang dan arahan oleh pihak berwajib tidak lagi dipatuhi dan langsung tidak diambil peduli.

Sikap suka memberontak dan hanya mementingkan diri sendiri dalam kalangan remaja bukan hanya akan merosakkan kehidupan para remaja tetapi juga akan menimbulkan berbagai masalah kepada keluarga, masyarakat dan negara.

Kita tidak akan dapat membina negara bangsa yang hebat hanya melalui kejayaan dan kehebatan teknologi serta kekayaan dunia kerana manusia mempunyai akal dan nafsu yang boleh menimbulkan kerosakan kepada dunia jika tidak dididik dengan ilmu kerohanian.

Tamadun-tamadun yang hebat dan berkuasa telah dibina berteraskan agama dan apabila lenyapnya pegangan agama dalam kalangan rakyat dan pemimpin, maka akan timbul berbagai masalah sosial yang akhirnya meruntuhkan zaman kegemilangan mereka.

Negara sekular yang berteraskan kebebasan seperti Amerika Syarikat walaupun maju, kaya dan mempunyai sistem pendidikan yang baik, namun berdepan dengan berbagai masalah sosial, akhlak dan jenayah yang serius serta membawa kepada kes-kes pembunuhan secara rambang di tempat awam termasuk di sekolah serta pusat-pusat pengajian tinggi.

Oleh itu, remaja harus sedar dan kembali semula kepada landasan agama, agar masa hadapan negara bangsa kita tidak akan runtuh akibat masalah dalam masyarakat serta keruntuhan akhlak.

Ambillah iktibar daripada sejarah keruntuhan tamadun-tamadun besar dunia dan janganlah kita ulangi kesilapan yang lalu.