Abu Chin Peng vs. Kedaulatan Undang-Undang

30 11 2019

Belum reda isu bendera dengan bintang berbucu lima MABA, negara telah dikejutkan pula dengan gambar dan berita sambutan abu bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng dibawa pulang ke Malaysia.

Perkara ini membangkitkan kemarahan dan bantahan dalam kalangan ramai rakyat Malaysia; namun ada juga golongan yang bukan sahaja mempertahankan tindakan tersebut malah menyelar rakyat yang marah dan membantah.

Tidak boleh dinafikan bahawa rakyat mempunyai hak untuk merasa marah, terutamanya mereka yang pernah mengalami atau mempunyai keluarga yang pernah berdepan dengan kekejaman komunis.

Jika kita ketepikan sentimen, apakah perkara ini betul di sisi undang-undang negara?

Kerajaan tidak pernah membenarkan abu mayat bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng, dibawa pulang ke Malaysia, kata Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Beliau berkata, berdasarkan panduan membawa balik dan keluar abu mayat, ahli keluarga atau sesiapa sahaja perlu memaklumkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Astro Awani – Kerajaan tidak pernah benar abu Chin Peng dibawa pulang ke Malaysia – Muhyiddin

Perkara yang sama juga diperkatakan oleh Timbalan Perdana Menteri (TPM):

“Berdasarkan maklumat yang saya terima, Kementerian Pertahanan tidak pernah menerima permohonan atau meluluskan permohonan untuk membawa masuk abu Chin Peng”.

Berita Harian Online – Kerajaan tidak pernah luluskan permohonan bawa masuk abu mayat Chin Peng – TPM

Berdasarkan kenyataan TPM dan Menteri Dalam Negeri:

  • Kerajaan Malaysia tidak pernah membenarkan abu Chin Peng dibawa pulang ke Malaysia.
  • Kelulusan daripada pihak berkuasa contohnya Jabatan Kastam Diraja Malaysia diperlukan untuk membawa balik abu mayat sesiapa sahaja ke Malaysia.

Justeru, jelas kes abu Chin Peng melibatkan kedaulatan undang-undang negara, oleh itu pihak berkuasa mesti menyiasat kes ini dengan sebaik mungkin demi mempertahankan undang-undang.

PDRM telah mengeluarkan kenyataan bahawa mereka telah menyoal siasat beberapa individu berkaitan kes ini.

Menjadikan isu abu Chin Peng sebagai isu perkauman adalah ibarat mencurah garam ke luka, ibarat mencurah minyak ke dalam api.

Walaupun ramai yang tidak dapat menerima kepulangan Rashid Maidin dan Shamsiah Fakeh tetapi rakyat terpaksa menerima hakikat bahawa kedua-dua mereka adalah warganegara Malaysia. Noordin Mohammad Top juga adalah warganegara Malaysia yang sah.

Perkara sebegini jika tidak ditangani dengan baik, boleh mengancam keharmonian negara serta mengundang perasaan tidak puas hati dalam kalangan rakyat yang nenjunjung kedaulatan undang-undang serta cintakan negara.

Hargailah keamanan negara dan jangan memperkecikan jasa serta pengorbanan darah dan nyawa perwira terdahulu demi keamanan dan kemajuan yang kita nikmati hari ini.

Jangan biarkan kemarahan memakan diri kita. Ikut hati mati, ikut rasa binasa.

Rencana berkaitan:





(Video) Tun M – Bukan Chin Peng Boleh Buat Apa Dah, Cuma Abu Dia Sahaja

28 11 2019

(Sinar Harian) – SHAH ALAM – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan isu abu mayat Chin Peng yang dibawa pulang ke Malaysia tidak perlu diperbesarkan oleh mana-mana pihak.

Katanya, pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) itu sudah meninggal dunia dan tiada apa yang boleh dilakukan.

“Dia (Chin Peng) sudah mati. Banyak orang yang dulu dera kita macam orang Jepun apa semua. Tetapi kita lupakan yang lama. Bukan dia boleh buat apa dah.

“Cuma abu dia sahaja yang balik. Kita beri Shamsiah Fakeh balik pun tiada siapa complaint. Kenapa? Sebab dia Melayu kot? Ada lain lagi. Tapi Chin Peng memang kita tak mahu terimalah sebab dia ketua,” katanya memetik laporan Astro Awani hari ini.

Dr Mahathir dilaporkan berkata demikian dalam sidang media bersama media Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, Seoul Korea.

Menurut laporan itu, Dr Mahathir tidak menolak kemungkinan terdapat pihak yang mempunyai agenda tersendiri terhadap isu berkenaan.

“Benda semacam ini, yang nak bangkit ini untuk apa? Nak puaskan hati siapa? Nak suruh kita pergi kutip dan hantar ke luar negeri? Benda yang kecil macam itu korek nak memburukkan kerajaan. Benda ini berlaku macam masa (zaman) Najib dulu tetapi tiada apa. Namun sekarang semua berbalik kepada PH,” katanya.

Katanya lagi, tindakan membawa masuk abu mayat Chin Peng adalah di luar kawalan mana-mana pihak.

Sebelum ini, kerajaan dilaporkan tidak pernah menerima atau meluluskan permohonan untuk membawa masuk abu mayat Chin Peng ke Malaysia.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, beliau yakin Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selaku pihak yang bertanggungjawab terhadap keselamatan dalam negara akan menjalankan siasatan terperinci terhadap perkara tersebut.





Waktu Subuh di Selangor Tambah 8 Minit Mulai 29 Nov 2019

28 11 2019

(Berita Harian) – SHAH ALAM: Bermula esok, masuk waktu Subuh bagi seluruh negeri Selangor ditambah selama lapan minit berbanding takwim sedia ada.

Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dalam satu kenyataan berkata, ia susulan hasil kajian kecerahan langit pada waktu Subuh yang dilakukan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bersama penyelidik Universiti Malaya (UM).

Perubahan berkenaan disebabkan penukaran nilai kedudukan matahari bagi kiraan waktu Subuh daripada 20 darjah di bawah ufuk kepada 18 darjah.

“Perkara ini sudah dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) ke-116.

“Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah juga sudah memperkenankan perubahan waktu solat untuk dikuatkuasakan,” katanya.





Ini Komen Menteri Pertahanan Mohamad Sabu Tentang Abu Chin Peng

27 11 2019

(Sinar Harian) – KUALA LUMPUR – Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu menegaskan beliau menunggu kenyataan Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkenaan kepulangan abu Chin Peng ke Malaysia yang tular semalam.

Menurutnya, selepas KDN mengeluarkan kenyataan dan hasil siasatan, barulah beliau bersedia menyatakan komennya dalam isu tersebut.

“KDN siasat, minta KDN siasat. Saya tak buat apa apa kenyataan sehingga KDN mengeluarkan hasil siasatan,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Meskipun terus diasak dengan soalan-soalan berkaitan isu tersebut, Ahli Parlimen Kota Raja itu tetap konsisten dengan jawapannya.

“Sehingga KDN mengeluarkan hasil siasatan, saya akan komen.

“(Adakah ia akan mengguris hati perajurit negara?) Sehingga KDN mengeluarkan hasil siasatan,” katanya.

Semalam, tular laporan mendakwa abu mayat mendiang bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng dibawa pulang ke Perak pada 16 September lalu selepas enam tahun kematiannya.

Penyelaras kumpulan yang menguruskan abu mayat berkenaan, Chan Kan Fook, 81, berkata, mereka membawa pulang abu mayat Chin Peng dari Thailand ke Malaysia dua bulan lalu.

Menurutnya, mereka menganjurkan majlis peringatan yang dihadiri lebih 150 orang pada hari yang sama abu mayat itu tiba di Ipoh.

Penularan berita itu mendapat respons negatif daripada warganet yang mengecam tindakan tersebut.





Maksud Tersurat dan Tersirat Di Sebalik Jalur Gemilang Yang Harus Kita Fahami

27 11 2019

Insiden demi insiden yang menghina Bendera Malaysia, Jalur Gemilang, telah berlaku sejak akhir-akhir ini. Ianya menunjukkan sikap segelintir rakyat Malaysia yang tidak patriotik dan tidak menjunjung kedaulatan negara. Bendera Malaysia merupakan panji persekutuan dan mesti dihormati, malah bendera negara mempunyai protokol-protokolnya tersendiri yang mesti dipatuhi.

Saya bukanlah pakar vexilollogi, tetapi saya amat berminat tentang bidang ini sejak kecil dan banyak membaca dan membuat kajian tentang bendera-bendera di seluruh dunia. Saya menulis rencana ini untuk kolum saya di Utusan Online Premium pada 18hb September 2019. Semoga perkongsian saya ini dapat memberi manfaat.


Tidak lama dahulu, telah tular di pelbagai media sosial gambar-gambar Jalur Gemilang yang dikibarkan secara terbalik di pelbagai lokasi di seluruh negara. Ketika itu, ramai dalam kalangan rakyat Malaysia bangkit membantah tindakan tersebut yang secara jelas membawa maksud penghinaan terhadap Jalur Gemilang serta menggesa tindakan tegas diambil ke atas mereka yang melakukannya. Malah berbagai teori and andaian telah dibuat mengenai perkara ini, dan masing-masing memberikan pendapat mereka tentang maksud di sebalik pengibaran Jalur Gemilang secara terbalik.

Dari sudut vexillologi atau kajian bendera, setiap simbol, jalur, warna, malah apa sahaja elemen yang tertera pada sesehelai bendera itu mempunyai makna yang tersendiri, malah bendera juga mempunyai protokol yang harus difahami dan dihormati oleh orang ramai, khasnya rakyat negara tersebut.

Asas kenegaraan, latar belakang dan sejarah negara dilakarkan dengan begitu simbolik dan penuh bermakna dalam reka bentuk Jalur Gemilang, di mana hubung kait di antara agama Islam iaitu agama bagi Persekutuan dan Baginda Raja-Raja Melayu sebagai ketua kerajaan dan ketua agama Islam jelas terukir di dalam setiap elemen dan warna yang dipilih.

Sejarah Bendera Malaysia bermula daripada pertandingan mereka Bendera Persekutuan Tanah Melayu yang dibuka kepada khalayak umum untuk memberi cadangan tentang reka bentuk bendera yang akan membawa nama negara baharu yang bakal ditubuhkan.

Hasil karya seorang arkitek Jabatan Kerja Raya Negeri Johor, Mohamed bin Hamzah yang menggabungkan elemen jalur dalam Bendera Kerajaan Majapahit, Sang Saka Getih-Getah Samudera dan elemen bulan bintang di dalam ‘canton’ merah di sudut atas kepala bendera daripada Bendera Johor telah dipilih sebagai asas reka bentuk Bendera Persekutuan Tanah Melayu.

Reka bentuk asal bendera ini kemudiannya telah melalui beberapa pindaan, di mana warna jalur biru dan putih digantikan dengan warna merah dan putih, ‘canton’ merah ditukar kepada ‘canton’ biru, dan bintang pecah 5 diubah kepada bintang pecah 11 untuk menggambarkan 11 negeri-negeri yang bersekutu di bawah satu payung iaitu Persekutuan Tanah Melayu.

Pada 26hb Mei 1950 Bendera Persekutuan Tanah Melayu telah dikibarkan buat pertama kalinya di hadapan Istana Sultan Selangor di Kuala Lumpur, dan bendera tersebut dinaikkan dan berkibar secara rasminya pada 31 Ogos 1957 di Padang Kelab Selangor seiring dengan berkumandangnya Lagu Negaraku buat pertama kali di dalam sejarah.

Menjelang saat Sabah, Sarawak dan Singapura menyertai Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1963, Bendera Persekutuan Tanah Melayu dipinda dengan menambah 3 jalur baharu dan menggantikan bintang pecah 11 dengan bintang pecah 14 sebagai mewakili 3 buah negeri-negeri baharu yang akan bergabung dengan sebelas negeri-negeri yang sedia ada untuk membentuk Persekutuan Malaysia.

Kini, 14 jalur merah dan putih serta 14 bucu bintang menggambarkan perpaduan 13 buah negeri-negeri dan sebuah Persekutuan, bulan sabit pula melambangkan agama Islam, manakala bintang yang berwarna kuning turut melambangkan kedudukan dan kedaulatan Raja-Raja Melayu sebagai penaung dan ketua kerajaan-kerajan negeri dan Persekutuan.

Warna-warna pada Jalur Gemilang juga ada maknanya, warna kuning ialah warna diraja yang melambangkan kedaulatan Raja-Raja Melayu, warna putih ialah lambang kesucian, warna merah melambangkan keberanian manakala warna biru menjadi lambang perpaduan rakyat Malaysia.

Namun kalau dikaji dari sudut vexillologi, kita akan dapat membaca banyak makna tersirat yang amat dalam maksudnya di sebalik reka bentuk Jalur Gemilang yang jarang diberi perhatian oleh rakyat Malaysia.

Di antaranya ialah saiz bintang yang lebih kecil daripada saiz bulan sabit, ini melambangkan kedaulatan Raja-Raja Melayu adalah bertunjangkan agama Islam.

Saiz ketinggian ‘canton’ biru di mana terletaknya bulan dan bintang yang melebihi daripada separuh saiz tinggi bendera menggambarkan betapa besar dan pentingnya kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan serta Raja-Raja Melayu sebagai tonggak peraduan rakyat.

Kedudukan ‘canton’ biru di sudut atas bahagian kepala bendera juga melambangkan kemuliaan, ketinggian serta kedudukan istimewa agama Islam dan institusi diraja di negara ini yang menjadi asas kenegaraan Malaysia .

Bagi sesetengah negara, benderanya akan dikibarkan secara terbalik ketika darurat atau peperangan.

Namun Jalur Gemilang tidak boleh dikibarkan secara terbalik dalam apa keadaan sekalipun kerana elemen-elemen yang menjadi lambang kepada prinsip asas kenegaraan Malaysia iaitu agama Islam dan Raja-Raja Melayu mestilah berada di bahagian atas kepala bendera dan tidak boleh direndahkan kedudukannya.

Maka, jika Jalur Gemilang dikibarkan secara terbalik, elemen yang melambangkan agama Islam dan Raja-Raja Melayu akan berada di bahagian bawah bendera, justeru satu penghinaan terhadap maruah dan kedaulatan negara bangsa.

Perkara ini juga diberi perhatian di dalam reka bentuk banner ataupun bendera tegak Jalur Gemilang di mana bulan dan bintang berada di bahagian atas banner.

Pada amnya, sebahagian daripada kejadian pengibaran Bendera Malaysia secara terbalik adalah disebabkan oleh kekhilafan dan kecuaian akibat sikap tidak bertanggungjawab serta sikap tidak ambil peduli tentang kemuliaan serta protokol bendera, dan bukannya disengajakan kerana maksud tertentu.

Namun, perkara ini tidak boleh dipandang ringan atau dibiarkan terus berlaku tanpa apa-apa tindakan oleh pihak berkuasa.

Ini ialah kerana menurut pakar sejarah, Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam, secara tersirat pemasangan bendera terbalik ini ialah ibarat melawan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara dan mempermainkan maruah negara; juga mencabar kedaulatan negara dan keagungan Malaysia sebagai negara merdeka.

Maka pihak berkuasa perlu melakukan siasatan yang menyeluruh serta mengambil tindakan yang lebih tegas ke atas kesalahan ini, manakala pihak kerajaan pula mestilah mengambil langkah yang lebih proaktif dalam mendidik rakyat supaya memahami dan menghormati protokol bendera berdasarkan kepentingan Bendera Malaysia sebagai lambang maruah negara.

Sebenarnya, sebelum tularnya isu bendera terbalik, saya telah beberapa kali menulis di blog saya tentang insiden-insiden di mana saya melihat bendera negeri dan bendera-bendera daerah dikibarkan secara terbalik dan juga insiden di mana bendera-bendera tegak yang digantung di dalam sebuah dewan yang saya kunjungi adalah salah reka bentuknya.

Saya juga pernah menulis tentang saiz ketinggian ‘canton’ biru pada ’emoji’ Jalur Gemilang dalam aplikasi WhatsApp yang hanya setengah daripada saiz ketinggian bendera, yang pada pendapat saya mesti diperbetulkan oleh pihak terbabit memandangkan ianya memberi implikasi yang salah tentang maksud yang tersirat di sebalik saiz ‘canton’ pada Jalur Gemilang; namun ’emoji’ tersebut masih tetap digunakan sehingga ke hari ini.

Malangnya, dalam banyak perkara kita selalunya cuma bersikap hangat-hangat tahi ayam di mana setelah masa berlalu kita tidak lagi merasakan kepentingan perkara ini dan beralih pula kepada perkara-perkara lain yang bakal ditularkan di media sosial.

Hormatilah Jalur Gemilang, bendera negara ialah identiti negara bangsa, lambang kewujudan serta kedaulatan negara; dan tanamkan kesedaran bahawa penghormatan ke atas bendera negara adalah satu simbol nasionalisme yang perlu dihayati oleh setiap rakyat yang berada di tanah air ini.





Apa Tersirat Di Sebalik Bendera Bintang Pecah Lima?

26 11 2019

Permainan apakah ini, Malaysia Basketball Association (MABA)? Sila rujuk: BIADAP !!! Sejak Bila Bendera Malaysia Bintang Pecah Lima?

Semasa upacara pembukaan Piala Lum Mun Chak MABA, sebuah bendera yang menyerupai Bendera Malaysia telah dipaparkan menggantikan Jalur Gemilang ketika lagu kebangsaan, Negaraku dimainkan dan kegagalan pihak MABA memaparkan panji negara yang sebenar telah menaikkan rasa marah dalam kalangan rakyat.

Kejadian ini merupakan satu penghinaan bukan sahaja terhadap bendera dan negara, tetapi ianya juga merupakan suatu penghinaan terhadap institusi diraja dan agama Islam sebagai agama bagi Persekutuan serta seluruh rakyat Malaysia yang setia kepada negara.

Persoalannya:

  • Kenapakah bendera yang dipaparkan itu mempunyai bintang pecah lima?
  • Apakah MABA sudah tidak tahu bagaimanakah corak bendera Malaysia yang sebenarnya?

Ketika sidang media selepas merasmikan Majlis Perasmian Program Reben Kuning di Bandar Saujana Putra, Kuala Langat hari ini, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dilaporkan berkata:

“Pertamanya, tindakan mempamerkan bendera salah sangat memalukan dan sama sekali tidak melambangkan budaya Malaysia. Ia sangat memalukan,” katanya …

Harian Metro – ‘KBS akan ambil tindakan’ – Syed Saddiq

Saya amat kesal jika benar Menteri Belia dan Sukan merasakan insiden biadap sebegini hanya sekadarsangat memalukan dan sama sekali tidak melambangkan budaya Malaysia“; sedangkan insiden biadap ini bukan setakat memalukan tetapi telah menghina negara, institusi diraja, agama Islam dan rakyat Malaysia.

Saya buntu memikirkan bagaimana kesilapan ini boleh berlaku di Malaysia kerana ianya adalah satu perkara yang amat tidak logik memandangkan:

  • Semua rakyat Malaysia yang waras sepatutnya tahu bagaimana corak Jalur Gemilang.
  • Bendera yang dipaparkan itu adalah menyerupai cadangan corak Bendera Persekutuan Tanah Melayu yang telah ditolak pada tahun 1950.

Kalau ada rakyat Malaysia yang tidak tahu berapakah bilangan jalur merah putih pada Jalur Gemilang sekalipun, paling tidak mereka tentu tahu bahawa bendera negara tidak mempunyai bintang pecah lima.

Mungkin ada rakyat yang melihat perkara ini hanya secara tersurat di mana kesilapannya hanya setakat bendera ini mempunyai bintang pecah lima dan jalur yang tidak mencukupi; namun jika kita tahu sejarah bendera negara, kita akan bertanya apakah ada perkara yang tersirat di sebalik kejadian ini?

Sila klik untuk membesarkan imej

Maka ini membawa kepada persoalan, permainan apakah ini apabila corak bendera yang telah lama ditolak disebabkan keserupaannya dengan simbol komunis digunakan bagi menggantikan Jalur Gemilang?

Siapakah yang ‘tersilap’ sehingga mengambil corak cadangan yang telah ditolak pada tahun 1950 kerana keserupaan lambang komunis untuk digunakan pada hari itu menggantikan Bendera Malaysia?

Mengimbas kembali sejarah Bendera Malaysia, sebuah bendera yang direka oleh seorang arkitek daripada Johor, Mohamed bin Hamzah telah dipilih sebagai pemenang pertandingan cadangan corak Bendera Persekutuan Tanah Melayu.

Corak bendera itu mempunyai enam jalur biru dan lima jalur putih berselang-seli serta sebuah kotak merah di sudut atas bahagian kepala bendera yang mengandungi bulan sabit dan bintang pecah lima berwarna kuning. Sila rujuk, “The Meaning Behind the Flag of Malaysia

Pindaan dibuat di mana jalur biru putih kemudiannya telah ditukar kepada jalur merah putih merah seperti bendera Syarikat Hindia Timur Inggeris.

Memandangkan pada ketika itu Tanah Melayu sedang berperang dengan komunis, corak ini ditolak kerana ia mempunyai bintang pecah lima seperti simbol komunis; justeru, bintang pecah lima kemudiannya digantikan dengan bintang pecah sebelas.

Bendera negara merupakan satu elemen yang amat penting bagi sesebuah negara di mana bendera merupakan panji negara tersebut.

Dalam hal negara kita, Bendera Malaysia merupakan Panji Persekutuan, yang menjadi simbol kepada identiti negara ini, di mana setiap elemen pada Bendera Malaysia mempunyai makna tersurat dan tersirat yang melambangkan kepentingan institusi diraja, agama Islam dan rakyatnya dalam sistem kenegaraan Malaysia.

Malah, setiap bendera negara mempunyai protokol yang mesti dipatuhi; oleh itu kesilapan yang besar sebegini sama ada disengajakan atau tidak telah memberi implikasi yang amat buruk dan bukan sekadar memalukan kerana ianya boleh mengganggu gugat keamanan negara.

Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) sebagai sebuah NGO yang sering diberi sokongan oleh kerajaan Malaysia harus dikenakan tindakan yang serius di atas kesalahan ini.

Perkara serius sebegini jika dibiarkan sudah tentu akan menjadi teladan yang buruk kepada rakyat khasnya para remaja di mana asas kenegaraan dan panji negara akan diperkotak-katikkan dan tidak lagi dijunjung tinggi.

Keruntuhan akhlak akan membawa kepada keruntuhan tamadun bangsa.


Rencana berkaitan:





(Video) – BIADAP !!! Sejak Bila Bendera Malaysia Bintang Pecah Lima?

26 11 2019
Tangkap layar daripada daripada video ketika upacara pembukaan Piala Lum Mun Chak MABA, semalam. (Gambar ihsan Laman Facebook HarimauMalaya)

Sila baca ulasan saya: Apa Tersirat Di Sebalik Bendera Bintang Pecah Lima?

[Harian Metro}- PERSATUAN Bola Keranjang Malaysia (MABA) dalam laman webnya memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia dan pencinta sukan bola keranjang di atas kesilapan Jalur Gemilang ketika upacara pembukaan Piala Lum Mun Chak MABA, semalam.

MABA dalam kenyataan di Facebook berkata, krew siaran langsung tersilap memaparkan bendera pada skrin besar ketika upacara itu.

“Kami minta maaf dan bertanggungjawab sepenuhnya di atas kesilapan ini,” katanya.

Pada masa sama, MABA turut menegaskan kesungguhan mereka membangun dan memajukan lagi sukan bola keranjang di negara ini.


Bagi saya kejadian ini amat serius kerana ianya bukan sahaja telah menghina bendera tetapi juga negara kita.

Insya-Allah saya akan membuat ulasan selepas ini.








%d bloggers like this: