Hilang Bahasa, Lenyap Bangsa

31 10 2019

Yang kurik itu kundi,
Yang merah itu saga;
Yang baik itu budi,
Yang indah itu bahasa.

Bahasa Melayu merupakan salah satu bahasa yang penting di dunia sejak zaman dahulu lagi, di mana ia pernah menjadi bahasa pengantara bagi pedagang dari seluruh dunia yang berdagang di rantau Alam Melayu.

Faktor ini turut menyumbang kepada perkembangan perbendeharaan kata dan kehebatan bahasanya sehingga menjadi satu bahasa ilmu yang sangat penting.

Pada saat kegemilangan kerajaan-kerajaan Melayu, Semenanjung Tanah Melayu sangat terkenal kerana kekayaan hasil bumi dan kemakmuran rakyatnya sehingga dikenali sebagai ‘the Golden Chersonese’ atau Χρυσῆ Χερσόνησος dalam bahasa Yunani yang bermaksud, ‘Semenanjung Emas’.

Hakikatnya orang Melayu di Tanah Melayu pada ketika itu bukan sahaja kaya dari sudut harta benda, tetapi juga kaya dari segi peradaban bahasa dan budaya.

Orang Melayu terkenal dengan ketinggian budi bahasanya serta amat menitik beratkan budi pekerti yang mulia.

Maka ini menjadikan bahasa Melayu satu bahasa yang indah dan halus, dituturkan dalam nada dan irama yang lembut serta sopan.

Manusia tahan kias, binatang tahan palu. Bahasa Melayu kaya dengan bahasa berkias dan berlapis yang sehingga kini masih digunakan dalam percakapan sehari-hari, khasnya dalam kalangan masyarakat yang menitik beratkan kesantunan bahasa dan ketinggian budaya bangsa.

Dahulu, percakapan harian orang Melayu sering disulami dengan pantun yang indah iramanya serta dalam maksudnya; dan pantun serta bahasa berkias merupakan salah satu cara untuk menyampaikan mesej dalam bahasa yang terhormat tanpa perkataan yang kasar atau biadap.

Sayangnya, walaupun di sesetengah tempat seperti di Johor dan Melaka masih wujud budaya berpantun dalam kalangan generasi lama, namun budaya ini semakin lama semakin terhakis dan dilupai oleh generasi baharu kerana dianggap budaya lama yang ketinggalan zaman.

Sebahagian besar golongan muda, khasnya para remaja pada hari ini sudah tidak berkemampuan untuk berpantun sepertimana nenek moyang mereka dahulu.

Adapun yang mencuba, namun kebanyakan pantun-pantun moden tidak lagi membawa maksud tersurat dan tersirat sedalam pantun-pantun dahulu yang mana rangkap-rangkap pembayang pun bukan sahaja indah berirama tetapi sarat dengan maksud yang tersirat.

Bahasa Melayu kaya seninya, bahasanya elok, tak terperi indahnya; jika marah berlapit ayatnya, bila memuji berbunga madahnya.

Dahulu orang Melayu jika menegur, tidak mahu berkasar; jika marah, tidak mahu biadap; begitu indah, halus dan berseninya bahasa Melayu. Mereka berkias, berpantun dan berseloka untuk menegur, memuji atau memberi nasihat.

Kini peribahasa, kata-kata bidalan, perumpamaan, simpulan bahasa, syair dan sebagainya sudah semakin jarang digunakan; malah ramai yang hanya menggunakannya sekadar untuk mendapatkan markah yang lebih tinggi di dalam peperiksaan tanpa berminat untuk menghayati akan pengajaran dan keindahan bahasanya.

Lebih malang lagi, keindahan dan peradaban tinggi bahasa Melayu kini semakin hari semakin tercemar dengan penggunaan bahasa pasar dan slanga yang berbagai versi dalam pertuturan sehari-hari khasnya dalam kalangan generasi muda.

Ada yang tidak lagi segan menggunakan perkataan-perkataan mencarut serta istilah-istilah kasar, kesat, biadap dan kotor di dalam pertuturan harian mereka; malah perkataan yang tidak beradab sebegini kini turut digunakan di dalam penulisan novel, khasnya novel indie serta di media sosial seperti WhatsApp, Twitter, Facebook dan Instagram serta dipertuturkan dalam sesetengah filem dan rancangan televisyen.

Penghakisan bahasa Melayu bukanlah perkara yang boleh dipandang enteng oleh mana-mana pihak termasuk pihak berwajib kerana Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukkan kedudukan dan kepentingan bahasa Melayu di dalam sistem kenegaraan kita.

Justeru, sepatutnya semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing agar warisan kita tidak hilang ditelan zaman.

Kini ada golongan yang tinggal di Malaysia tetapi gagal atau tidak mahu menghormati penggunaan bahasa Melayu, malah, bahasa Melayu sering dipinggirkan oleh sesetengah pihak yang pada waktu yang sama melaungkan bahawa mereka adalah warganegara yang setia.

Sukar diterima dek akal apabila terdapat warganegara Malaysia yang lahir di negara ini tetapi tidak boleh dan tidak mahu bertutur dalam bahasa Melayu yang merupakan Bahasa Kebangsaan dan bahasa rasmi negara.

Malah dalam persidangan di Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri yang sepatutnya menggunakan Bahasa Kebangsaan, sudah ada wakil-wakil rakyat tidak bertutur di dalam bahasa Melayu tetapi menggunakan bahasa Inggeris tanpa meminta izin Dewan.

Bak nyiru bak tampian, bak guru bak anak sasian. Kalau pemimpin tidak menghormati penggunaan bahasa Melayu dalam urusan rasmi, ianya sudah tentu menjadi teladan yang buruk kepada rakyat marhaen, khasnya pengundi mereka.

Seluruh rakyat Malaysia mesti sedar bahawa bahasa Melayu merupakan bahasa pengantara yang telah menyatukan seluruh rakyat berbilang kaum di negara ini sehingga Malaysia mampu menjadi sebuah negara bangsa yang maju dan progresif pada hari ini.

Bahasa menunjukkan bangsa. Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Sedarlah bahawa bahasa Melayu merupakan identiti seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.

Sempena bulan Bahasa Kebangsaan negara, saya nahu meningkatkan iltizam dalam menunaikan tanggungjawab saya untuk menjunjung tinggi bahasa Melayu sebagaimana dijunjung oleh leluhur kita dahulu.

Bahasa Melayu ialah bahasa warisan kita, maka kita mesti belajar untuk menghayati, menghargai serta merasa bangga dengan keindahan dan kehebatan bahasanya.

Hilang bangsa, lenyaplah bangsa. Jangan biarkan kemegahan bahasa warisan kita hilang begitu sahaja kerana kealpaan kita yang gagal memilih antara kaca dengan permata.








%d bloggers like this: