GERAKAN Nak Kacau Daun di Tanjung Piai?

24 10 2019

Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN) telah mengumumkan bahawa mereka akan turut bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) P165 Tanjung Piai yang bakal berlangsung pada 16hb November ini.

Dalam satu kenyataan yang dibuat presidennya, Datuk Dr Dominic Lau pada 12hb Oktober yang lalu, beliau mengatakan bahawa parti tersebut akan menjadi blok ketiga di dalam pertandingan kerusi Parlimen Tanjung Piai.

Ini adalah kali pertama parti GERAKAN bertanding di dalam PRK sejak parti itu kalah semua kerusi yang ditandingnya dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) yang lalu.

Kenapakah GERAKAN berminat untuk bertanding di dalam PRK P165 Tanjung Piai sedangkan peluang GERAKAN untuk memenangi PRK ini dilihat amat tipis?

Untuk rekod, P165 Tanjung Piai mempunyai 56-57% pengundi Melayu dan ianya bukanlah merupakan kerusi tradisi bagi parti GERAKAN; malah parti GERAKAN tidak pernah bertanding di kerusi ini.

Oleh itu, apakah parti GERAKAN mempunyai agenda tersirat di sebalik keputusannya untuk meletakkan calon di dalam PRK ini?

Setakat ini saya tidak nampak di manakah kekuatan baharu parti ini untuk menandingai sama ada PPBM atau BN untuk kerusi P165 Tanjung Piai.

Namun, saya percaya segala keputusan parti mestilah bersebab, sama ada ianya semata-mata sekadar satu percubaan untuk mendapatkan kerusi pertama GERAKAN di Parlimen ataupun ianya sebahagian daripada satu ‘grand scheme’ yang lebih besar di sebalik pergeseran terbuka yang berlaku di dalam beberapa parti politik tanah air ketika ini.

Baru-baru ini, Timbalan Presiden GERAKAN, Oh Tong Keong membuat kenyataan bahawa parti GERAKAN akan meletakkan calon muda di bawah umur 40 tahun untuk PRK ini.

“Kami menawarkan alternatif kepada rakyat yang tidak berpuas hati dengan prestasi pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang gagal menunaikan janji dalam manifesto PRU-14, selain kegagalan Barisan Nasional (BN) dalam menangani sentimen perkauman,” katanya.

Oh Tong Keong – Berita Harian (GERAKAN tampil calon muda di Tanjung Piai)

Namun ada pemerhati politik yang berpendapat bahawa tindakan parti GERAKAN yang merupakan bekas komponen BN itu adalah untuk memecah undi Barisan Nasional dan seterusnya menolong PPBM memenangi kerusi Parlimen Tanjung Piai.

PRK P165 Tanjung Piai berlangsung ketika kem Ketua Umum Pakatan Harapan, yang juga merupakan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) menuntut supaya Perdana Menteri menyerahkan jawatan PM kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim selewat-lewatnya pada tahun hadapan.

Perkara ini juga melibatkan tuduh-menuduh di antara kem Presiden PKR dan kem Timbalan Presiden PKR iaitu Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sehingga melibatkan berbagai spekulasi lain.

Malah, beberapa bulan yang lalu, beberapa media utama melaporkan bahawa Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai memperakui bahawa beberapa orang pemimpin PKR yang mewakili Menteri Hal Ehwal Ekonomi menemui beliau untuk berbincang tentang kemungkinan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyertai parti GERAKAN.

Akhbar Sinar Harian pula telah melaporkan kenyataan Naib Presiden GERAKAN, Datuk G Parameswaran dan Setiausaha Agung GERAKAN, Mak Kah Keong mengalu-alukan kedatangan Timbalan Presiden PKR itu sekiranya benar beliau mahu bersama GERAKAN.

Rencana berkaitan:








%d bloggers like this: