Pilihan Raya Kecil (PRK) P165 Tanjung Piai akan berlangsung dalam masa kurang sebulan lagi, dan pada malam 16hb November ini kita akan mengetahui siapakah calon yang berjaya memenangi kerusi P165 Tanjung Piai.
PRK ini menjadi amat penting dan bermakna di dalam sejarah negara kerana ia merupakan pilihan raya pertama yang membenarkan seseorang yang berumur 18 tahun menjadi calon.
Mengikut statistik Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), jumlah peratusan pengundi belia berdaftar di kawasan Parlimen Tanjung Piai adalah lebih kurang 36%, manakala 64% selebihnya adalah pengundi yang berumur empat puluh tahun ke atas.
Menariknya, jika calon belia berumur 18 tahun diturunkan, apakan beliau akan berjaya mendapat undi sokongan daripada kebanyakan golongan belia disana?
Setakat ini parti politik yang sah akan bertanding ialah Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), dan bagi pihak PH, kerusi P165 Tanjung Piai dikatakan milik PPBM manakala BN belum mengumumkan sama ada akan menurunkan calon dari MCA atau pun UMNO.
Saya ternanti-nanti apakah akan ada parti politik yang berani mengenengahkan calon yang berusia 18 tahun untuk bertanding di dalam PRK P165 Tanjung Piai nanti.
Dari segi akademiknya, perkara ini amat menarik kerana jika belia muda berjaya memenangi pilihan raya, kita akan dapat menilai apakah faktor umur muda merupakan satu kriteria dalam menentukan kewibawaan seseorang wakil rakyat kerana setakat ini kita cuma bercakap secara teori.
Namun secara realitinya, perkara ini membuka banyak persoalan lain, contohnya beranikah golongan yang lebih dewasa untuk mengundi calon yang berumur 18 tahun walaupun calon tersebut datang daripada parti politik mereka sendiri?
Dan persoalannya seterusnya ialah apakah wajar bagi seorang belia berusia 18 diberi kepercayaan untuk memikul tugas sebagai seorang wakil rakyat?
Menurut definisi Dewan Bahasa dan Pustaka, “wakil rakyat” bermakna seseorang yang telah dipilih dalam pilihan raya untuk menjadi wakil penduduk di kawasan pilihan rayanya.
Maka dalam kes ini, calon yang memenangi kerusi P165 Tanjung Piai akan membawa suara hati dan memperjuangkan untung nasib rakyat Tanjung Piai ke peringkat pentadbiran Persekutuan.
Justeru, beliau bukan sahaja akan membawa suara hati dan kehendak belia tetapi juga mereka yang lebih dewasi dan telahpun melepasi umur belia.
Apakah belia yang berumur 18 tahun mampu memahami suara hati rakyat yang berumur lebih 60 tahun dan memperjuangkan nasib mereka di Parlimen?
Tepuk dada tanya selera. Pada pandangan saya dari perspektif seorang pemerhati politik tanah air yang belum layak mengundi, belia yang hebat mestilah bersikap terbuka dalam menimba pengalaman hidup daripada mereka yang lebih lama makan garam.
Belia mesti amanah dalam memikul tanggungjawab mereka dan bukannya sekadar mahukan jawatan dengan harapan dapat menjadi seorang menteri pada usia yang muda.
Apakah akan ada calon belia 18 tahun di PRK P165 Tanjung Piai?
One thought on “PRK Tajung Piai Bakal Menyaksikan Calon 18 Tahun?”