Masalah Remaja – Di Mana Silapnya?

13 10 2019

Realiti kehidupan dalam dunia tanpa sempadan telah mendedahkan remaja kepada berbagai pengaruh dari dalam dan luar negara, dan tanpa persediaan mental yang kuat, sahsiah diri yang murni serta jati diri yang jitu, ramai remaja akan bercelaru mindanya dan boleh terpengaruh dengan berbagai ideologi yang bercanggah dengan prinsip-prinsip agama dan negara.

Semua pihak yang terbabit termasuk kami golongan remaja, biasanya lebih suka menunding jari ke arah orang lain daripada bermuhasabah diri dan jujur dalam mencari jalan untuk menyelesaikan masalah.

Apa gunanya dibuat pelbagai kajian, kempen dan slogan jika pihak yang terbabit tidak mahu menjalankan tanggungjawab masing-masing untuk mengatasi masalah ini.

Remaja ada kalanya merasakan bahawa perasaan dan kehendak mereka gagal difahami oleh golongan dewasa, lantas merasa lebih selesa bergaul bersama rakan sebaya berbanding bersama keluarga.

Namun hakikatnya, ramai remaja gagal memahami perasaan, hasrat dan harapan ibu bapa yang telah bersusah payah membesarkan anak-anak mereka dan sering lupa akan tanggungjawab kita sebagai seorang anak terhadap ibu bapa.

Kegusaran masyarakat tentang masalah remaja sememangnya berasas di mana kini, kanak-kanak seawal usia di sekolah rendah telah terlibat dalam gejala berbasikal lajak, menghisap vape, merokok, peras ugut, membuli, mencuri, gangsterisme dan sebagainya.

Jika mereka dibiarkan terus lalai, kanak-kanak ini berkemungkinan akan menjadi remaja yang bermasalah dan terjebak dalam berbagai masalah sosial lain seperti merempit dan penyalahgunaan dadah serta juga aktiviti-aktiviti jenayah.

Saya lebih suka melihat masalah ini dari perspektif mencari penyelesaian secara komprehensif dan efektif daripada mencari siapakah yang patut dipersalahkan.

Prosesnya tidak mudah dan akan mengambil masa yang panjang dan kita harus bermula daripada puncanya, iaitu mencari faktor yang mendorong remaja ke arah itu.

Sebagai seorang remaja, saya akan cuba membawa suara hati remaja dan menulis tentang perkara-perkara yang boleh menyebabkan seseorang remaja terjebak dalam masalah sosial dan jenayah dari perspektif remaja.

Tekanan perasaan ketika menghadapi sesuatu krisis seperti kematian ahli keluarga terdekat atau rakan karib adalah salah satu dugaan hebat kepada remaja dan boleh menjadi punca seseorang remaja berubah menjadi remaja yang bermasalah.

Tambahan pula, dalam banyak situasi, ahli keluarga terdekat yang juga sedang bersedih dan tertekan gagal menyedari, memahami dan menyelami perasaan remaja tersebut yang mengakibatkan remaja itu tidak diberi bantuan dan sokongan untuk mengatasi keadaan itu.

Kehilangan tempat bergantung dan perubahan cara hidup yang mendadak adalah suatu cabaran yang besar kepada para remaja; apatah lagi jika terdapat unsur-unsur penindasan ataupun cubaan untuk menafikan hak anak-anak yatim, yang biasanya akan membawa kepada situasi yang amat menjengkelkan di mana akan terdapat usaha untuk memfitnah mangsa jika mangsa cuba bersuara.

Perasaan sedih, kecewa, marah namun tidak berupaya untuk membela diri dan nasib keluarga yang ditindas oleh ahli keluarga yang lain kerana faktor remaja itu masih di bawah umur dari segi undang-undang adalah sangat membebankan dan mengecewakan bagi remaja yang berhadapan situasi begini.

Begitu juga bebanan akibat penekanan yang terlalu berat ke atas kejayaan remaja di dalam peperiksaan tanpa mengambil kira kemampuan dan masalah pembelajaran yang di hadapi oleh remaja telah mengakibatkan remaja mengambil bahan terlarang; malah seperti yang dilaporkan, hal ini juga telah menjadi punca kepada kes-kes bunuh diri.

Penderaan sama ada dari segi mental dan fizikal ke atas remaja oleh ibu bapa, ahli keluarga, rakan, guru atau sesiapa sahaja secara sengaja atau tidak disengajakan juga menjadi punca para remaja bertindak balas dengan cara yang salah.

Buli dan segala bentuk penindasan terhadap remaja secara sengaja atau tidak disengajakan baik daripada rakan sebaya dan anggota masyarakat mahupun mereka yang sepatutnya melindungi remaja termasuk ibu bapa, ahli keluarga, guru dan sebagainya adalah satu masalah sosial yang kadang-kalanya sukar untuk diketengahkan oleh remaja yang menjadi mangsa.

Biasanya mangsa buli akan diugut, dan kerap kali jika remaja itu ditindas oleh orang dewasa, lebih-lebih lagi oleh ahli keluarga sendiri, orang ramai akan membiarkan sahaja remaja itu ditindas kerana mereka biasanya lebih mempercayai kata-kata orang yang menindas atau dalam keadaan lain, mereka berpegang kepada pepatah, ‘jangan jaga tepi kain orang’ kerana ‘itu hal rumahtangga mereka’.

Kegagalan sistem sokongan juga menjadi penyebab kepada kenapa para remaja yang dilanda masalah mencari jalan keluar sendiri yang kadangkalanya mengakibatkan ada di antara mereka yang tersilap langkah dan memilih jalan yang salah.

Persekitaran yang tidak sihat dari segi fizikal dan mental, contohnya kawasan yang bising serta tidak selamat, kadar jenayah yang tinggi, ramai kaki botol, penagih dadah dan lain-lain juga akan mengganggu pelajaran dan kehidupan remaja serta boleh mempengaruhi remaja ke jalan yang salah atau remaja dipaksa untuk terlibat dalam berbagai aktiviti tidak sihat dan aktiviti jenayah.

Suasana kehidupan keluarga yang tidak tenang dan tidak ceria, tiada perasaan kasih-sayang yang ikhlas, kehidupan yang hanya mementingkan kebendaan dan ibu bapa yang tidak menitik beratkan pengisian agama dan kerohanian akan menjadikan remaja hanyut dan mengisi kekosongan jiwa dengan perkara yang salah.

Remaja juga terdedah kepada iklan tanpa kawalan di media sosial yang menawarkan bahan-bahan seperti cecair isian vape dan vape pod yang amat mudah dibeli secara atas talian atau secara fizikal oleh peniaga yang tidak bertanggungjawab.

Banyak aktiviti perniagaan yang mengeksploitasikan ketidak matangan minda remaja, peniaga menggambarkan sesuatu yang dipromosikan itu sebagai suatu kemestian atau sebahagian daripada gaya hidup agar mereka dipandang hebat dan bergaya, walaupun barang yang dijual itu tidak bernilai dan membahayakan pengguna.

Semua perkara ini harus dipandang berat oleh ibu bapa, ahli keluarga, guru-guru dan seluruh masyarakat agar semua pihak boleh bekerjasama dalam membantu remaja yang menghadapi masalah sebelum ianya menjadi lebih parah.

Kerajaan juga harus mengambil langkah yang lebih proaktif dalam menangani masalah remaja seperti menghisap vape, merokok dan berbasikal lajak, serta memastikan mereka yang mendedahkan kanak-kanak dan para remaja kepada bahaya akan dikenakan tindakan yang tegas.

Ibu bapa terutamanya mestilah menjalankan apa yang telah diamanahkan kepada mereka dan tidak membiarkan anak-anak mereka hidup tanpa didikan dan pedoman serta sentiasa memberikan perhatian dan sokongan ketika remaja berhadapan dengan masalah.

Remaja yang dibesarkan tanpa didikan agama dan adab yang baik, diberi kebebasan tanpa kawalan dan mendapat apa sahaja yang mereka inginkan, berkemungkinan akan lupa diri, bersikap kasar, tidak beradab dan berjiwa kosong walaupun mereka itu berjaya dari sudut akademik dan karier.








%d bloggers like this: