MCA Beri Laluan Kepada UMNO Di PRK Tanjung Piai?

Apakah benar Barisan Nasional (BN) akan meletakkan calon dari UMNO dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P165 Tanjung Piai?

Desas-desus ini semakin kencang selepas Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memberi bayangan bahawa kerusi P165 Tanjung Piai mungkin akan ditandingi calon daripada UMNO.

Utusan Online melaporkan beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang diadakan selepas merasmikan Konvensyen UMNO Johor 2019 yang diadakan di Hotel Trove, di sini sebentar tadi.

“MCA perlu berlapang dada, sepertimana MIC berlapang dada di Parlimen Cameron Highlands”.
“Kita tidak menolak sebarang kemungkinan, apa yang paling penting adalah untuk mengalahkan Pakatan Harapan (PH) dan memenangkan BN,” katanya.

Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (Utusan Online)

Ramai pemerhati politik meramalkan peluang BN untuk memenangi PRK ini lebih besar sekiranya BN meletakkan calon dari UMNO memandangkan hampir 57 peratus daripada pengundi Parlimen Tanjung Piai ialah orang Melayu.

Perkara ini menjadi lebih penting kerana BN akan menentang calon dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang sudah tentunya orang Melayu.

Dalam PRU14, di Johor ramai calon PPBM telah berjaya mendapat sokongan daripada mereka yang dahulunya menyokong UMNO; dan dengan pertolongan PPBM, kubu kuat UMNO di Johor telah berjaya diruntuhkan.

Tambahan pula, realitinya sokongan pengundi Cina kepada calon MCA di dalam PRU14 adalah amat rendah di seluruh negara termasuk di Johor dan MCA kalah hampir di kesemua kerusi tradisinya.

Namun, persoalannya sekarang, apakah MCA sanggup berlapang dada melepaskan kerusi tradisinya, sepertimana MIC berlapang dada ketika PRK Parlimen Cameron Highlands dahulu?

Author: Ahmad Ali Karim

Blogger. Columnist at Utusan Malaysia. RCE Youth Coordinator at RCE Greater Gombak. Secretary at Pertubuhan Permuafakatan Pendidikan Malaysia (ME'DIDIK).