Jangan Hilang Rasa Cinta Kepada Negara

27 08 2019

Berkat sikap toleransi dan hormat-menghormati, rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum telah dapat hidup dengan aman dan damai sejak berzaman yang lalu di bumi yang bertuah ini.

Dahulunya rakyat Tanah Melayu dengan penuh semangat kenegaraan telah bangun membantah pembentukan Malayan Union.

Bantahan ini membawa kepada pembentukan Persekutuan Tanah Melayu, hasil daripada usaha dan pengobanan besar Raja-Raja Melayu.

Malang sekali, kini ramai di antara rakyat negara ini yang tidak lagi menghargai apa yang kita ada dan tidak lagi mempunyai semangat kenegaraan yang jitu serta perasaan taat setia terhadap negara.

Maka, sempena Hari Kebangsaan Malaysia yang ke-62, kita mesti berusaha menyemai semula perasaan cinta terhadap negara dalam erti kata yang sebenarnya.

Rentetan peristiwa yang berlaku akhir-akhir ini telah memperlihatkan bahawa kini, bukan hanya remaja yang tidak mempunyai semangat kenegaraan, tetapi ramai dalam kalangan golongan dewasa juga bersikap sedemikian dan memandang enteng nikmat keamanan yang kita kecapi selama ini.

Ini membawa kepada terhakisnya perasaan cinta terhadap negara, bilamana nilai-nilai kenegaraan diketepikan; yang dianggap penting hanyalah kejayaan material semata-mata.

Apa yang merisaukan saya ialah apabila keamanan negara dipertaruhkan akibat sikap pentingkan diri sendiri dan hilangnya sifat patriotisme serta semangat kenegaraan dalam kalangan sebahagian rakyat Malaysia.

Nilai dan identiti negara juga gagal dihayati, malah lebih buruk lagi apabila ada yang menentang dan berusaha merobohkan tiang seri negara yang menjadi pasak kepada keutuhan negara bangsa selama ini.

Pembentukan Persekutuan Malaysia adalah berpaksikan Perlembagaan Persekutuan; ini membawa maksud Perlembagaan inilah yang menjadi teras dan tunggak kepada pembentukan negara ini.

Rakyat mesti sedar bahawa Perlembagaan Persekutuan ialah tiang seri negara; penegak dan pengukuh keutuhan negara bangsa.

Ini merupakan asas kenegaraan yang mesti dihayati dan difahami oleh setiap warganegara Malaysia.

Tetapi malang sekali perkara asas ini juga tidak lagi dilihat sebagai satu perkara yang penting oleh sesetengah rakyat Malaysia; sedangkan inilah pasak yang mengukuhkan sistem negara selama ini.

Berjayakah kita memelihara keluhuran Perlembagaan jika Perlembagaan Persekutuan tidak lagi dirujuk?

Malah ramai yang tidak faham akan kepentingan Perlembagaan kepada sesebuah negara dan ada pula pihak yang memperalatkan Perlembagaan Persekutuan dengan membuat tafsiran sendiri dengan sesuka hati demi kepentingan diri sendiri.

Kealpaan inilah yang membawa kepada kekeliruan yang menyesatkan pemikiran rakyat tentang apakah sebenarnya tanggungjawab kita terhadap negara.

Ini menunjukkan betapa ramainya rakyat yang tidak mengambil kisah tentang asal usul negara kita dan mereka tidak merasa perlunya berusaha untuk memahami makna tiang seri yang membentuk negara kita, Malaysia.

Kini semakin ramai rakyat yang mempertikaian perkara yang telah jelas termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan, contoh yang paling ketara ialah mempertikaikan hak dan kepentingan Raja-Raja Melayu di Tanah Melayu ini.

Padahal, banyak peruntukan-peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan yang memperincikan kepentingan serta kedudukan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong serta Raja-Raja Melayu di dalam sistem pemerintahan negara.

Hakikatnya, Persekutuan Malaysia tidak dapat lahir tanpa pengorbanan besar Baginda Raja-Raja Melayu yang sanggup mengorbankan kuasa mutlak baginda ke atas negara masing-masing demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat.

Saya sering menyebut apa yang dikatakan oleh pakar Perlembagaan, Prof Dr. Shamrahayu Abdul Aziz bahawa, “Persekutuan (Malaysia) asalnya tidak mempunyai apa-apa, tiada tanah atau kekuasaan; Persekutuan terbentuk atas tanah dan kekuasaan dan kedaulatan negeri”.

Negara ini duhulunya bernama Tanah Melayu, manakala nama Malaysia pula berasal daripada dua patah perkataan Yunani (Greek) iaitu ‘Malay’ (Μαλαι) yang bermaksud Melayu dan ‘-sia’ (-σία) yang bermaksud tanah.

Maka terjemahan harfiah (literal translation) untuk Malaysia ke dalam Bahasa Melayu ialah ‘Melayu tanah’ atau lebih tepatnya ‘Tanah Melayu’; bermakna nama baharu untuk Persekutuan Tanah Melayu iaitu Malaysia tetap membawa maksud Tanah Melayu.

Inilah identiti negara bangsa, namun ianya tidak pernah menidakkan hak kaum-kaum lain yang menjadi warganegara Malaysia seperti yang telah termaktub di dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Sayangnya, sejak kebelakangan ini banyak pihak seperti tidak lagi menghargai semangat toleransi dan perpaduan kaum; mereka hanya mahukan hak kebebasan bersuara, hak asasi dan bermacam-macam hak lagi tanpa memikirkan hak orang lain sedangkan hak masing-masing telah jelas tertulis di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ada juga yang mahu mengangkat musuh negara sebagai wira dan wira negara dimusuhi.

Hampir setiap hari kita mendengar berita pertikaian demi pertikaian, cabar-mencabar yang ada kalanya berpunca daripada perkara yang langsung tidak masuk akal tetapi dibakar menjadi seolah-olah satu masalah negara.

Persoalannya, apakah untungnya kepada seluruh rakyat jelata jika berlakunya pergaduhan kaum?

Apakah adil jika masa depan remaja seperti saya dipertaruhkan akibat sifat tamak, ego dan kealpaan mereka yang tidak tahu menghargai keamanan dan kesejahteraan negara?

Tahu gadung itu mabuk, mengapa diratah-ratah?

Masing-masing terlalu sibuk untuk mencari salah orang lain sampaikan lupa untuk muhasabah diri dan bertindak dengan bijaksana dan bukannya hanya mengikut nafsu amarah. Apakah ini budaya kita?

Sejarah negara jangan diperlekehkan kerana mereka yang buta sejarah akan kehilangan identiti diri.

Kenalilah identiti negara bangsa, kita orang beragama dan beradap, kita hidup di bumi yang bertuah, kita hidup di negara yang berdaulat, di bawah naungan Raja-Raja Melayu.

Orang Melayu dahulunya bukan hanya bertanjak tetapi juga bijak menulis tulisan Jawi; apa salahnya kita perbaiki diri kita dahulu daripada hanya lantang bersuara berbalah sesama kita?

Nenek moyang kita telah berkorban harta dan nyawa demi membina negara bangsa, janganlah gadaikan keamanan yang kita ada sekarang dan perjudikan nasib negara.

Menentang asas negara bermakna memerangi negara sendiri.

Kita bercakap tentang jasa rakyat kepada nusa dan bangsa, tetapi jarang sekali kita membincangkan tentang jasa negara kepada rakyat jelata.

Sesal dulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna; jangan sampai kita menjadi bagai anjing dengan bayang-bayang.

Amat mudah untuk menghancurkan negara tetapi amat perit untuk membina semula negara yang telah kita hancurkan. – UTUSAN ONLINE








%d bloggers like this: