Kecelaruan Nilai Dalam Kalangan Remaja

22 08 2019

Realiti kehidupan dalam dunia tanpa sempadan di era kemajuan teknologi maklumat yang pesat pada hari ini telah memberi kesan kepada kehidupan remaja baik secara langsung mahupun tidak langsung.

Ia telah membuka seluas-luasnya pintu kepada kemasukan nilai dan ideologi luar yang ada kalanya mencemari nilai, tradisi dan budaya tempatan; perkara ini jelas dilihat bukan sahaja di negara kita, tetapi juga di negara-negara lain.

Ideologi Barat seperti fahaman liberalisme, hedonisme dan anarkisme yang telah menjadikan para remaja semakin bebas, lalai dan liar telah menular ke negara kita.

Akibat penularan pengaruh fahaman sebegini, telah berlaku perubahan dari segi pemikiran dan penilaian pada sesetengah kelompok masyarakat dan mengakibatkan mereka menjadi semakin senang terpengaruh dengan idea yang baharu daripada luar tanpa menghiraukan batasan agama dan nilai kenegaraan.

Apabila semakin ramai anggota masyarakat menerima ideologi dan fahaman yang baharu ini, maka ianya akan menjadi semakin popular dan akhirnya menjadi budaya yang harus diterima orang sekeliling agar mereka tidak dianggap asing.

Contoh yang amat mudah ialah ramai remaja kini tidak mahu bergaul dengan orang tua dan ramai yang merasakan bahawa orang tua berfikiran kolot dan tidak memahami perasaan remaja.

Maka ia menjadi seolah-olah satu budaya baharu bagi remaja di mana mereka tidak lagi berminat untuk berbincang atau meminta nasihat daripada orang yang sudah banyak makan garam; sedangkan orang muda belum tahu dimasin garam, belum tahu dipedas lada.

Konsep ketetapan kelompok masyarakat ke atas sesuatu perkara dalam konteks ‘society dictates’ ini menjadikan para remaja mengikut apa sahaja nilai dan cara yang ditetapkan oleh kelompok mereka supaya mereka tidak dipulaukan; apalagi kalau mereka terpaksa tinggal bersama di dalam kelompok itu.

Kelompok itulah yang mentafsirkan sesuatu perkara itu mesti begini dan begitu, dan remaja yang mahu diterima akan menurut sahaja walaupun ianya bertentangan dengan prinsip dan pegangan mereka.

Perkara ini akan membawa kesan yang buruk jika remaja berada di dalam kelompok yang salah; apatah lagi ramai remaja sangat mudah tertarik dengan ideologi fahaman liberalisme, hedonisme dan anarkisme kerana mereka sukakan kebebasan dan tidak suka dikongkong oleh peraturan; sama ada oleh undang-undang negara mahupun undang-undang agama.

Penggunaan perkataan-perkataan yang mencarut serta istilah-istilah kasar dan kotor, bebas menghina dan mengeji orang lain, tidak menghormati orang tua dan pemimpin mungkin dianggap biasa oleh sesetengah masyarakat luar; tetapi ia adalah perbuatan yang biadap menurut budaya kita yang tinggi nilai adab dan sopan santunnya serta kaya dengan budi bahasa.

Dalam konteks masyarakat yang lebih besar, keadaan ini menjadi lebih parah kerana ianya akan melibatkan dasar negara.

Contohnya hari ini, di sesetengah tempat budaya LGBTQ+ tidak lagi dianggap salah; sehinggakan bukan setakat seluruh masyarakat dipaksa menerima idea ini, tetapi mereka yang tidak menyokong LGBTQ+ pula yang dianggap salah.

Sedangkan dahulu transgender disenaraikan sebagai satu penyakit mental sehingga edisi ke-10 International Classification of Diseases (ICD-10) yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia atau ringkasnya WHO.

Kini pejuang LGBTQ+ giat mendesak supaya penerimaan budaya songsang itu dianggap sebagai nilai sejagat yang harus diterima dan dihormati oleh setiap insan di seluruh dunia.

Inilah contoh bagaimana konsep nilai sejagat digunakan untuk memaksa masyarakat supaya menerima sesuatu ideologi walaupun ianya bertentangan dengan nilai tempatan.

Perkara beginilah yang sedang menghakis nilai-nilai tradisi negara bangsa, meruntuhkan ketamadunan manusia serta membawa kita kembali ke zaman kegelapan di mana manusia hidup tanpa undang-undang dan peraturan yang mengawal dan menghindari kita daripada kesesatan dan kejahilan.

Ramai remaja terlalu mengagungkan nilai-nilai dan budaya luar, seolah-olah itulah nilai moden yang unggul walaupun ianya bertentangan dengan nilai dan pegangan kita.

Nilai sejagat seperti keamanan, kemajuan sosial ialah nilai yang baik, namun perkara seperti kebebasan, hak kesamarataan dan kemuliaan manusia (human dignity) mestilah diinterpretasikan mengikut nilai dan pegangan agama masyarakat setempat.

Asas kenegaraan dan ideologi negara kita adalah berpaksikan Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang memaktubkan bahawa, “Islam ialah agama bagi Persekutuan” dan prinsip pertama Rukun Negara ialah, “Kepercayaan kepada Tuhan”; maka kebebasan mutlak dan budaya songsang yang bertentangan dengan nilai agama khasnya agama Persekutuan tidak boleh diterima di Tanah Air kita dan tidak boleh diangkat sebagai nilai sejagat kita.

Remaja mesti berhati-hati di dalam pergaulan supaya terhindar daripada terperangkap ke dalam budaya yang dicemari oleh pengaruh-pengaruh negatif sebegini kerana alangkah malangnya jika kita menjadi generasi yang rosak, lalai, tiada jati diri, tidak sopan, biadap dan tidak tahu menghormati orang lain.

Hargailah dan pertahankanlah nilai budaya negara bangsa dan jangan terikut-ikut dengan budaya songsang dan liar atau leka dan hanyut dalam budaya hedonisme yang jika tidak dibendung akan meruntuhkan tamadun bangsa kita.

Nilai sejagat harus ditafsirkan berdasarkan identiti negara, jangan biarkan minda kita dijajah oleh ideologi asing.








%d bloggers like this: