Penerbitan Utusan Malaysia diteruskan, tidak henti operasi

20 08 2019

Alhamdulillah, dimaklumkan bahawa penerbitan akhbar pertama berbahasa Melayu, Utusan Malaysia akan berterusan dan tidak akan dihentikan operasinya.


KUALA LUMPUR 20 Ogos – Syarikat akhbar berbahasa Melayu berusia 80 tahun, Utusan Melayu (Malaysia) Berhad (Kumpulan Utusan) akan terus beroperasi dengan menerbitkan dua akhbar dibawahnya, Utusan Malaysia dan Kosmo!.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Datuk Abd. Aziz Sheikh Fadzir berkata, langkah itu diteruskan sekalipun syarikat akhbar itu berada dalam situasi sukar terutama peralihan dunia pemberitaan dalam bentuk media sosial.

Beliau mengakui Kumpulan Utusan sebelum ini banyak dibantu UMNO, namun selepas kekalahan parti itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) syarikat penerbitan akhbar itu kembali kepada realiti model perniagaan media.

“Tidak benar kita hendak tutup (henti operasi). Betul kita hadapi masalah. Tetapi kita ada pelan untuk meningkatkan perniagaan,” katanya selepas Taklimat Khas oleh Pengerusi Eksekutif di Dewan Besar Kumpulan Utusan di sini hari ini.

Perkembangan itu sekali gus memadamkan spekulasi liar kononnya Kumpulan Utusan akan menghentikan operasinya bermula esok susulan ketidakmampuan menanggung kos operasi.

Abd. Aziz berkata, syarikat turut mengambil keputusan untuk menaikkan harga akhbar Utusan Malaysia daripada RM1.50 senaskhah kepada RM2.00 senaskhah manakala Kosmo! daripada RM1.00 kepada RM1.50 senaskhah mulai Jumaat ini.

Beliau mengharapkan rakyat Malaysia membantu Kumpulan Utusan dengan membeli akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo! walaupun dengan kenaikan harga. – UTUSAN ONLINE

Advertisements




Kau Pergi di Ambang 31 Ogos

20 08 2019

――― ☙~•∽❧ ―――

Pilu hatiku saat tibanya berita hitam,
Kedengaran di telingaku pada detik tengah malam,
Sedih, sayu dan kesal bercampur baur,
Secebis sejarah negara sudah hampir terkubur.

Dahulunya dikaulah akhbar perdana negara,
Akhbar pertama Tanah Melayu,
Akhbar pertama orang Melayu,
Namun kerana masalah melanda,
Bakal ditutup buat selamanya.

Dahulu dikaulah pejuang kemerdekaan,
Dahulu dikaulah pembawa kegemilangan,
Dahulu dikaulah obor negara bangsa,
Tapi malang, dikau tewas jua akhirnya.

Sedih hatiku, mengenang nasibmu,
Tatkala senang dikau disayang,
Ketika susah, dikau dibuang.
Lapanpuluh tahun dikau berjuang,

Ironinya,
Bulan kemerdekaan,
Itulah titik noktah hayatmu.

――― ☙~•∽❧ ―――









%d bloggers like this: